MILESTONES
SAF GONDOL ANUGERAH PENGGALAKAN KESIHATAN
11 Oct 2017
Selama enam bulan bermula Ogos 2016, beras perang telah diperkenalkan oleh Ibu Pejabat Bekalan sebagai makanan utama di 20 tempat memasak Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Satu tinjauan membuktikan bahawa percubaan tersebut membuahkan hasil positif di mana hampir 90 peratus anggota menerima baik campuran beras perang. Susulan tinjauan tersebut, campuran beras perang telah dihidangkan di seluruh tempat memasak SAF sejak September ini.
"Matlamatnya bukan sekadar untuk (askar) menikmati faedah memakan beras perang selama dua tahun bersama kami, malah membiasakan diri mereka dan menjadikan mereka menggemarinya," jelas Komander Institut Perubatan Ketenteraan, Leftenan Kolonel Kanan (SLTC) (Dr) Lim Hou-Boon.
"Apa yang paling penting ialah selepas mereka ORD (Tarikh Sedia Beroperasi)… mereka terus mengamalkan amalan gaya hidup sihat ini."
Ini adalah cuma satu contoh daripada banyak inisiatif penggalakan kesihatan yang diterajui oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan SAF untuk memenangi tiga Anugerah Kecemerlangan dan satu anugerah Juara Kesihatan individu di majlis Anugerah HEALTH Singapura (SHA).
Inisiatif oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), majlis dwitahunan SHA mengiktiraf syarikat-syarikat yang menerapkan amalan kesihatan yang luar biasa di tempat kerja.
Pada majlis anugerah yang dilangsungkan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) College Central pada 10 Okt., Ketua Pegawai Eksekutif HPB Zee Yoong Kang memuji pemenang anugerah atas dasar dan program mereka dalam menggalakkan kesihatan di tempat kerja.
En. Zee menambah: "Dua orang penerima Juara Kesihatan kami telah membuktikan diri mereka individu yang sangat berdedikasi yang telah berusaha sedaya upaya menggalakkan rakan sejawat mereka mengamalkan gaya hidup sihat di luar waktu kerja."
Penerima Juara Kesihatan Pegawai Waran 1 (1WO) Alex Quah memperuntukkan masa beliau memberi khidmat nasihat kepada askar tentang pelbagai isu berkisar dari masalah ketagihan kepada perhubungan dan juga menyokong intervensi gaya hidup sihat.
Sebagai contoh, Komander Platun di Institut Sumber Manusia (Perkhidmatan) di Kem Kranji memulakan satu program untuk mengurangkan bilangan perokok di kalangan anggota beliau, membenarkan mereka merokok sebatang sahaja sehari. Dengan jurulatih lain, 1WO Quah memantau anggota yang sudah biasa merokok sehingga satu atau dua kotak sehari.
"Dengan menggunakan kaedah 'pengurangan', kami membantu mereka daripada terjebak kembali … Dan saya telah mendapat maklum balas yang kebanyakan daripada mereka berjaya mengurangkan tabiat merokok walaupun setelah kami berhenti memantau mereka.
"Saya sangat gembira melihat perkembangan diri mereka dan saya akan sentiasa mencuba yang terbaik untuk terus melakukan usaha ini."
ALSO READ IN MILESTONES
Menyahut seruan untuk mempertahankan Singapura
21 Jan 2026
Upacara Penyerahan Senjata mewakili detik yang penuh bermakna apabila rekrut diamanahkan dengan senapang mereka dan mula memikul beban pertahanan negara.
TENTERA LAUT MELANCARKAN KAPAL TEMPUR PELBAGAI PERANAN PERTAMA
21 Oct 2025
APA YANG ANDA PERLU TAHU MENGENAI CMPB BAHARU
14 Oct 2025
Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB) baharu di Bukit Gombak dibuka secara rasmi pada 14 Okt, mengalu-alukan pra-pendaftar, anggota askar dan orang ramai ke hab sehenti terkini untuk semua perkara Perkhidmatan Negara (NS).





