MILESTONES

NCC menandakan 125 tahun dengan kampus baharu & kurikulum dipertingkatkan

26 Aug 2026

Kumpulan beruniform belia tertua di Singapura ini akan melihat kurikulum NCC2030 yang diperbaharui bagi melengkapkan generasi kadet akan datang dengan kemahiran penting untuk menghadapi cabaran keselamatan yang sentiasa berubah.

Ahli kadet melafazkan ikrar NCC semasa meraikan ulang tahun ke-125 Kor tersebut di Pangkalan Pusat Tenaga Manusia  pada 26 Ogos.

Artikel oleh Tedd Jong

Foto oleh Lim Ian


Sebut sahaja “NCC” kepada mana-mana pelajar dan besar kemungkinan mereka akan tahu dengan tepat maksud tiga huruf tersebut.

Pasukan Kadet Kebangsaan (NCC) ialah kumpulan beruniform belia tertua dan terbesar di Singapura, dengan lebih 10,000 ahli dari 119 sekolah yang menyertai Perkhidmatan darat, udara dan laut.

Sejak penubuhannya pada tahun 1901, Kumpulan Beruniform Kebangsaan ini – yang menjadi kegiatan ko-kurikulur (CCA) wajib bagi sekolah menengah sejak 1975 – telah melahirkan generasi pemimpin pelajar.

Ketika Kor ini meraikan ulang tahunnya yang ke-125, ia melihat ke hadapan untuk meneruskan misinya mempersiapkan pemimpin belia menghadapi cabaran masa hadapan, melalui transformasi kurikulumnya dan dengan kampus baharu di Kem Bedok.

Skuad Dril Kepersisian  dan Skuad Dril Gaya Bebas NCC mengadakan persembahan gabungan semasa acara ulang tahun tersebut.
NCC pertama kali ditubuhkan sebagai Cadet Corps di Institusi Raffles  pada tahun 1901. Misinya adalah untuk memupuk disiplin dan kecergasan dalam kalangan kadet, serta menjadi medan latihan bagi Singapore Volunteer Corps. Unit kedua ditubuhkan di St Joseph’s Institution pada tahun 1906 (seperti dalam gambar). Menjelang tahun 1917, Kor tersebut telah berkembang ke enam sekolah. [Foto: Facebook Singapore Army]
Para kadet menjalani latihan bersama British Royal Artillery. Semasa Perang Dunia II, ramai kadet menggunakan latihan ketenteraan mereka dan bertempur menentang pencerobohan Jepun untuk mempertahankan Singapura. [Kredit foto: Facebook Singapore Army]

Mempersiapkan pemimpin muda untuk dunia baharu

Bagi Komandan NCC, Leftenan Kolonel Kanan (SLTC) Mohd Nizam bin Yahya, transformasi ini merupakan evolusi yang tepat pada masanya untuk misi yang kekal.

“Apa yang kekal ialah komitmen kami untuk membangunkan pemimpin muda yang berwibawa,” kata lelaki berusia 49 tahun itu.

Sukatan pelajaran NCC2030 yang akan datang bertujuan melengkapkan para kadet dengan kemahiran untuk menghadapi ancaman hari ini dan ketidakpastian masa hadapan, melalui pembelajaran digital serta pendedahan secara langsung kepada dron dan robotik.

Ia juga akan memberikan mereka pengalaman yang lebih menyeluruh tentang Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

SLTC Mohd Nizam percaya peranan utama NCC adalah membantu golongan muda memahami kepentingan pertahanan negara dan mengapa setiap rakyat Singapura mempunyai peranan untuk dimainkan dalam menyumbang kepada keselamatan dan kejayaan negara.

Sebagai contoh, pada masa lalu, sekolah akan memilih sukatan pelajaran NCC sama ada jenis udara, darat atau laut, jelas SLTC Nizam.

“Pada masa akan datang, kami akan berusaha untuk membolehkan sekolah – tanpa mengira sama ada mereka memilih aliran udara, darat atau laut – mempunyai asas teras yang sama (dan) mempelajari sedikit tentang semua Perkhidmatan dalam SAF.”

Bagi menyokong kurikulum yang diperluaskan ini, NCC akan berpindah dari kampusnya yang sekarang di Kem Amoy Quee ke tempat baharu di Kem Bedok.

Kampus tersebut, yang terletak berhampiran MRT Sungei Bedok, dijangka mula beroperasi pada tahun 2032.

Encik Chan (berbaju putih) berinteraksi dengan para pelajar di sebuah reruai  pameran semasa sambutan ulang tahun ke-125 NCC di CMPB.

Semasa sambutan ulang tahun di Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB) pada 26 Ogos, Menteri Pertahanan Chan Chun Sing mengumumkan pelaksanaan NCC2030 pada tahun 2027.

Dalam ucapannya, beliau menekankan keperluan untuk mempersiapkan para kadet dengan kemahiran baharu bagi menghadapi trend dan cabaran yang sedang muncul.

“Jelas bahawa dunia yang sedang dilalui oleh para kadet kita hari ini sangat berbeza daripada dunia yang dilalui oleh generasi terdahulu mereka. Maklumat palsu, serangan siber dan risiko berkaitan iklim adalah kompleks, tidak mengenal sempadan dan berkembang dengan pantas… Kita mesti mempersiapkan pemimpin muda kita untuk dunia ini, bukan dunia yang lalu.”

C/CPT (NCC) Muhammad Raiyaan Arshad terus berkhidmat sebagai Pegawai Kadet walaupun selepas tamat sekolah menengah kerana beliau mahu menyumbang kembali dan membantu membangunkan generasi pemimpin kadet seterusnya.

Menyumbang kembali & memberi inspirasi kepada generasi seterusnya

Jambatan antara tradisi NCC yang dibanggakan dan masa hadapan diteruskan oleh pemimpin pelajar seperti Kapten Kadet (C/CPT) (NCC) Muhammad Raiyaan Arshad.

Pelajar Politeknik Nanyang berusia 20 tahun itu berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pegawai Kadet.

Mengenang perjalanan peribadinya, pegawai kadet itu melihat tahun-tahunnya dalam Kor tersebut sebagai satu tempoh yang membawa perubahan dan membentuk peribadinya.

“Sebelum menyertai NCC, saya sememangnya lebih pemalu (dan) tidak begitu yakin dengan diri sendiri... NCC banyak membantu saya dari segi kemahiran berinteraksi dengan orang lain dan mengubah diri saya menjadi lebih baik.”

Nasihatnya kepada pelajar muda yang mempertimbangkan untuk menyertai NCC?

“Jangan teragak-agak dan beranikan diri untuk mencuba. Ia akan menjadi satu pengembaraan yang penuh keseronokan dan keterujaan. Dan anda pastinya tidak akan melaluinya seorang diri!”

Para pelajar NCC (Udara) dan Singapore Youth Flying Club dari pelbagai sekolah menyertai Program Pengalaman Penerbangan yang dianjurkan oleh Tentera Udara Republik Singapura pada Ogos 2024. [Foto: Facebook RSAF]

Batu loncatan untuk kehidupan

Mungkin kesan NCC yang paling jelas dapat dilihat melalui kehidupan mereka yang pernah mengikuti jejak langkahnya.

Bagi Mejar (MAJ) Brandon Lim, tahun-tahun awalnya sebagai kadet NCC menjadi asas kepada kerjayanya sebagai Pegawai Pengawal dalam SAF.

“(NCC) merupakan titik permulaan yang mengajar saya bahawa apabila anda mengutamakan anggota bawahan anda, mereka akan melaksanakan misi anda,” kata lelaki berusia 31 tahun itu, sambil menambah bahawa pengalamannya dalam NCC membantu memupuk nilai seperti ketabahan dan keazaman.

MAJ Lim, Penolong Pengarah (Komunikasi Awam & Digital) di Kementerian Pertahanan, berkata pengalaman beliau dalam NCC memberi inspirasi kepadanya untuk memilih kerjaya dalam SAF.

Ketika NCC menandakan ulang tahunnya yang ke-125 tahun ini, MAJ Lim berharap Kor tersebut akan terus melahirkan generasi pemimpin seterusnya bukan sahaja dalam SAF, tetapi dalam semua bidang masyarakat.

“Sungguh menggembirakan melihat sejauh mana NCC telah berkembang sebagai sebuah organisasi, dan mengetahui bahawa mereka masih terus melabur secara meluas untuk memastikan para kadet kita pada masa hadapan mendapat pengalaman yang terbaik.

Saya sangat berharap NCC akan melengkapkan para kadet dan generasi pemimpin kita yang akan datang dengan pelbagai nilai dan kemahiran bagi mempersiapkan mereka untuk berfungsi sebagai pemimpin dan sebagai bapa, isteri, adik-beradik, anak lelaki dan anak perempuan Singapura.

Share this story:

Got a great story to share?
Send it our way — we might feature it!

Share Your Story