PEOPLE
LATIHAN KOMANDO MENGUBAH HIDUPNYA
22 Feb 2021
Komando merangkap pegawai perubatan Kapten (KPT) (NS) (Dr) Ramesh Wijaya berkongsi pelajaran hidupnya sebagai anggota pasukan elit ini.
Pada mulanya, dia ingin menuntut pengajian kejuruteraan sesudah tamat Perkhidmatan Nasional (NS) sepenuh masanya pada 2002 tetapi bila tiba masanya, Koperal (CPL) Ramesh Wijaya mengubah fikirannya dan memilih bidang perubatan.
Alasannya? Dia sedar keinginan sebenarnya dan betapa penting untuk mendahulukan bangsa sebelum dirinya semasa dia berkhidmat di NS sebagai komando.
"Menyertai Komando mengajar saya dua perkara penting. Pertama, saya pasti tidak dapat menguruskan tugasan di pejabat kerana saya adalah jenis orang yang tidak boleh duduk diam.
"Keduanya ialah kepentingan NS dan perkhidmatan awam. Banyak orang di negara kita memainkan peranan mereka dalam diam bagi memastikan pengendalian negara kita berjalan lancar. Ada di antara kami yang mendapat kepuasan dalam hal ini," jelas KPT (NS) (Dr) Wijaya. Kapten berusia 39 tahun itu sekarang adalah pakar bedah perunding di Hospital Besar Changi.
Sejak menamatkan pengajiannya di Universiti Nasional Singapura pada 2007, dia berkhidmat dalam perkhidmatan awam, bertugas di beberapa hospital awam.
Dan setelah melengkapkan khidmat NS Sedia Beroperasi pada 2012, dia melanjutkan perkhidmatan NSnya di bawah Skim ROVERS (Askar Simpanan dalam Skim Simpanan Lanjutan Sukarela) – dalam peranan yang berlainan, iaitu sebagai pegawai perubatan komando.
Dia berkhidmat sebagai ROVERS selama lapan tahun, didorong oleh rasa tanggungjawab yang mendalam untuk berkhidmat kepada negara. Baginya, inilah masa untuk berbakti kepada negara yang telah memberinya banyak manfaat dalam latihannya sebagai komando.
Menerapkan nilai Komando dalam hidup
Sebagai komando, KPT (NS) (Dr) Wijaya telah menjalani beberapa latihan paling menjerihkan di SAF.
Katanya lagi, selain memperoleh kemahiran taktikal dan kecergasan dari NS – latihan Komando telah membentuk cara dia menjalani hidupnya.
Jelasnya: "Kekuatan mental dan daya tahan untuk melakukan perkara yang betul walaupun dalam keadaan yang paling meletihkan adalah penting. Kami selalu melatih diri untuk menjalani tugasan yang diperlukan ... bukan sekadar tahap kesempurnaan, tetapi juga sehingga ke peringkat ingatan otot.
"Kombinasi keupayaan fizikal dan ketabahan mental ini memupuk tabiat dan budaya yang baik. Contohnya, keperluan untuk latihan telah menjadi suatu kebiasaan bagi saya sebagai pakar bedah. Saya berusaha untuk berlatih secara mental sebelum setiap pembedahan dan cuba mengenalpasti sekiranya timbul masalah yang perlu ditangani jika perlu, sebelum memulakan pembedahan.”
Sejak mendaftar di Batalion Komando Pertama, dia telah menerapkan nilai-nilai Komando dalam kehidupan hariannya dan memberi khidmat terbaik dalam tugasannya.
Dia merupakan Pelatih Terbaik dalam Kursus Pengendali Mortar 120mm semasa Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF)nya. Sebagai Anggota Perkhidmatan Negara Sedia Beroperasi (NSman), dia adalah penerima Pedang Kehormatan untuk Kursus Kadet Pegawai Perubatan NS pada 2015.
Dalam pekerjaan awam sebagai doktor, dia menerima Anugerah Prihatin Perikatan Kesihatan Timur (Emas) pada tahun 2015 atas usahanya dalam perawatan pesakit.
"Disiplin untuk memastikan anda melakukan apa yang perlu dilakukan, walaupun anda bekerja berjam-jam lamanya atau perlu melakukan pembedahan yang lama – adalah berkat Komando (latihan), saya dapat mengasah sejak dari kecil," katanya.
Kini sebagai pegawai perubatan di Ibu Pejabat Komando, KPT (NS) (Dr) Wijaya menggunakan kepakaran perubatannya untuk membantu membangunkan Perubatan Pasukan Khas –bidang perubatan ketenteraan yang memberi sokongan perubatan dalam persekitaran kekurangan sumber dan taktikal di mana kemungkinan ada musuh yang berdekatan.
Dia juga bertugas sebagai Penolong (Aide-de-Camp) Kehormat kepada Presiden Halimah Yacob. Peranannya adalah untuk membantu mengatur acara negara dan menerima tetamu yang merangkumi pegawai kanan dan orang kenamaan asing.
Ingin tahu apakah tugasan KPT (NS) (Dr) Wijaya sebagai doktor tentera dan awam? Tontoni video yang memaparkan perkongsian kisahnya dalam perjalanan NSnya:
ALSO READ IN PEOPLE
Menjadi pegawai & mengikut jejak langkah Ayah
14 Mar 2026
Diinspirasikan oleh kenangan indah dalam perkhidmatan ayah mereka, 2LT Aleena Binte Aidil dan 2LT Timothy Ng bertekad untuk berjaya dalam Kursus Pegawai Kadet.
Mengapa saya memilih untuk berkhidmat
06 Mar 2026
Sempena Hari Wanita Antarabangsa ini, rekrut dari Kompeni Pegasus Sekolah BMTC 3 memberitahu kami mengapa mereka memilih kerjaya dalam pakaian seragam.
Pembela ruang siber dan laut
20 Feb 2026
Seorang sedang memenuhi kecintaannya terhadap laut sejak kecil; seorang lagi menemui minatnya secara kebetulan dan kini sedang berusaha keras untuk memupuknya.



