Finding their bearings amid choppy seas

https://www.defencepioneer.sg/images/default-source/_migrated_my/17jan22_news1_photo1_v2a040a574-8ae5-4bc0-87ef-97a6a423d125.jpg?sfvrsn=38981fa5_2 https://www.defencepioneer.sg/pioneer-articles/KELUARGA-TENTERA-BERBILANG-GENERASI
https://www.defencepioneer.sg/pioneer-articles/KELUARGA-TENTERA-BERBILANG-GENERASI
KELUARGA TENTERA BERBILANG GENERASI
17 Jan 2022 | PEOPLE

KELUARGA TENTERA BERBILANG GENERASI

SEPASANG SEPUPU, MAJ VANDERPUT IAN JAMES VALENCE DAN 3WO AERIA TIMOTHY JAMES BERKONGSI PENGALAMAN MEMBESAR DALAM KELUARGA BESAR YANG PENUH DENGAN SEJARAH KETENTERAAN.

MAJ Vanderput (kanan) dan 3WO Aeria merupakan sepupu rapat yang membesar dalam keluarga tentera yang besar.

Apabila datuk anda ialah seorang bekas Panglima Tentera Laut (CNV) dan bapa saudara anda merupakan pesara juruterbang pejuang daripada Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), sudah tentu perbualan semasa pertemuan keluarga sentiasa tertumpu pada pengalaman dan kisah tentera.

Semasa membesar, Mejar (MAJ) Vanderput Ian James Valence dan Pegawai Waran Ketiga (3WO) Aeria Timothy James sering mendengar kisah tentang datuk mereka – Kolonel (COL) James Aeria – yang menjadi sukarelawan untuk menyertai angkatan tentera laut Singapura yang baru bermula ketika Konfrontasi (suatu tempoh pada pertengahan 1960-an apabila Indonesia melancarkan kempen untuk menentang pembentukan Persekutuan Malaysia) dan akhirnya bangkit menjadi Panglima Tentera Laut yang pertama di Singapura.

COL Aeria (keempat dari kiri) dan isterinya (sebelah kanan beliau) semasa zaman muda ketika majlis Tahun Baharu di atas sebuah kapal.

Apabila bapa 3WO Aeria, iaitu MAJ (Bersara) Ralph Aeria, dan bapa saudaranya, MAJ (Bersara) David Aeria, masing-masing menjadi juruterbang Hawker Hunter dan juruterbang A4 Skyhawk, angkatan udara juga menjadi sebahagian daripada perbualan keluarga.

Keadaan menjadi semakin meriah lagi apabila ahli keluarga generasi ketiga – MAJ Vanderput dan 3WO Aeria, kedua-duanya berumur 33 tahun – menyertai Tentera Singapura. Adik lelaki 3WO Aeria pernah menyertai Unit Penyelam Tentera Laut tetapi telah meninggalkan Khidmat.

Kami berbual dengan MAJ Vanderput, iaitu seorang pegawai S3 briged dalam Briged Infantri Singapura ke-3 dan 3WO Aeria, seorang pegawai waran platun di Sekolah Kadet Pegawai (OCS), tentang pengalaman membesar dan kehidupan dalam keluarga tentera yang besar.

COL Aeria (kanan) dengan kadet SAF dan isterinya semasa beliau bertugas sebagai atase pertahanan di Manila, Filipina.

Hai semua! Keluarga anda amat penuh dengan sejarah tentera. Bagaimanakah pengalaman pertemuan keluarga anda semua?

MAJ Vanderput: Jika anda membesar dalam keluarga tentera, memilih kerjaya tentera bukan perkara yang luar biasa. Oleh itu, tidak hairanlah hampir semua daripada kami, kecuali abang saya, akhirnya telah masuk tentera. Dan oleh sebab kebanyakan daripada kami merupakan anggota tentera, itulah satu-satunya topik perbualan kami semasa keluarga bertemu!

Ibu dan ibu saudara saya juga membesar semasa datuk saya masih berkhidmat, jadi topik perbualan sentiasa tertumpu pada bidang tentera, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan berbakti untuk negara.

Adakah bapa saudara anda sering membandingkan pengalaman tentera mereka dengan pengalaman anda?

MAJ Vanderput: (ketawa) Saya mungkin akan menerima padah kerana jawapan ini, tetapi mereka mirip pak cik biasa di kedai kopi yang sentiasa mengatakan, "Pada zaman dulu, kami lebih susah…" Tetapi mereka biasa bergurau. Mereka cuba memerihalkan pengalaman mereka sebanyak mungkin, tetapi pada asasnya, mereka berdua merupakan anggota angkatan udara, manakala Timothy dan saya berkhidmat dalam angkatan tentera, jadi masih terdapat perbezaan dari segi pengalaman.

Selain daripada itu, kami sering membincangkan perkembangan terkini, sama ada keadaan semakin bertambah baik dan tentang keadaan pada masa dahulu. Kami semua amat bersemangat tentang hal ketenteraan jadi kami sentiasa berbincang tentang cara untuk memperbaik lagi keadaan.

3WO Aeria: Ya, mereka sentiasa berkata bahawa pengalaman pada zaman mereka lebih sukar! Pada zaman itu, Pak Cik David sebenarnya menjalani Latihan Asas Tentera sebagai komando manakala bapa saya menyertai tentera laut untuk Khidmat Negaranya sebelum menyertai angkatan udara. Jadi mereka memang arif tentang sifat tahan lasak.

MAJ (Bersara) David Aeria semasa zaman muda, bergaya di hadapan sebuah A4 Skyhawk.

Dan isteri anda berdua dapat menahan perbualan yang sentiasa tentang topik tentera? 3WO Aeria, saya mendengar khabar bahawa anda berkenalan dengan isteri anda kerana bapa anda!

3WO Aeria: Bapa mertua saya juga seorang anggota RSAF, jadi bapa saya dan bapa mertua saya sudah berkawan sebelum saya bertemu dengan isteri saya pun! Semasa saya berumur 11 tahun, keluarga kami berpindah ke Tamworth, Australia kerana bapa saya ditugaskan di sana sebagai pengajar kemahiran memandu kapal terbang untuk menilai juruterbang pelatih yang berpotensi. Bapa dia juga ditugaskan di sana dan saya berkenalan dengan isteri saya semasa dia sedang melawat bapanya. Saya jatuh hati dengan serta-merta tetapi saya tak pasti tentang pandangan dia. Jadi kami mula berkawan rapat dan saya akhirnya berjaya meyakinkan dia untuk memberi saya peluang. (ketawa)

MAJ Vanderput: Bapa mertua saya ialah seorang pegawai infantri yang telah bersara, jadi isteri saya juga sebenarnya membesar dalam keluarga tentera. Saya harap dia sama bersemangat seperti saya. Walaupun di rumah, saya berbual tentang topik kerja dan sentiasa menjawab panggilan telefon kerana sentiasa ada kerja untuk dibuat dan masalah untuk diselesaikan. Saya rasa dia sudah biasa.

3WO Aeria (tengah) bersama-sama ibu bapanya di perbarisan tamat pengajian kadet pakar pada 2010.

Adakah anda menghadiri banyak pameran dan rumah terbuka tentera semasa membesar?

3WO Aeria: Sebelum berpindah ke Tamworth, bapa saya membawa kami ke rumah terbuka RSAF di Pangkalan Udara Paya Lebar bila-bila rumah terbuka itu diadakan. Semasa kami di Australia, tiada majlis rumah terbuka. Sebaliknya, kami sering berkumpul sebagai komuniti warga Singapura dan semua juruterbang berbincang tentang pengalaman mereka. Itu membuatkan saya benar-benar berminat untuk menyertai tentera.

MAJ Vanderput: Bagi saya pula, bukan begitu. Saya rasa ini disebabkan oleh rumah ibu bapa dan bapa saudara saya yang seakan-akan muzium tentera kecil. Ibu saya mempamerkan pingat datuk saya dalam bingkai, manakala Pak Cik David mempunyai pedang dan kep birai datuk saya.

Rumah Pak Cik David juga mempunyai gambar dan model A4 Skyhawk, gambar semasa dia bergaya di hadapannya, serta gambar dia dengan datuk saya. Rumah lama Pak Cik Ralph mempunyai banyak pakaian seragam juruterbang dan model Hawker Hunter, dan biasanya sukar untuk mereka berhenti menceritakan pengalaman mereka.

Terdapat juga barang perak dan kristal di rumah ibu bapa saya, yang digunakan semasa nenek saya menganjurkan makan malam di Manila (COL Aeria ditugaskan di sana sebagai atase pertahanan selama 2.5 tahun selepas menamatkan jawatan sebagai Panglima Tentera Laut pada 1975).

Jadi bukan sahaja terdapat kisah tentera, malah terdapat sejarah sudu garpu dan pinggan mangkuk yang digunakan. Saya rasa inilah sebab kami semua bersemangat tentang tentera, kerana kami membesar dengan semua perkara yang kami amat sayangi ini.

Pingat COL Aeria kini dipamerkan dalam bingkai di rumah ibu bapa MAJ Vanderput.

Adakah ini sebab anda berdua menjadi Pegawai Tetap?

MAJ Vanderput: Mendengar pengalaman manis bapa saudara saya dalam khidmat ketenteraan mereka semasa saya membesar telah membuatkan saya mahu turut serta. Walaupun mungkin dianggap agak lurus bendul, saya menganggap khidmat tentera sebagai kerjaya yang mulia dan saya percaya kepada kehormatan, kewajipan dan berbakti.

Semua orang amat menggalakkan. Malah, Pak Cik Ralph menemani saya ke Central Manpower Base untuk menandatangani kontrak kerana ibu bapa saya berada di luar negeri. Ibu bapa saya pada mulanya mahu saya menunggu sehingga mereka pulang, tetapi Pak Cik Ralph berkata "Tak perlu tunggu, Pak Cik akan teman kamu!"

3WO Aeria: Saya sebenarnya ingin menjadi juruterbang pejuang seperti bapa saya, kerana saya banyak menerima inspirasi daripada kisah pengalamannya. Filem kegemaran saya ialah Top Gun dan filem itu adalah antara filem pertama yang saya tonton bersamanya. Walaupun saya tidak berjaya menjadi juruterbang, saya menemui minat baharu sebagai pakar infantri semasa saya menyertai Khidmat Negara (NS) dan membuat keputusan untuk menceburi kerjaya tersebut.

MAJ Vanderput tamat pengajian daripada Maktab Pemerintahan dan Kakitangan Goh Keng Swee pada Oktober yang lalu.

Apakah beberapa detik yang sukar dilupakan atau mencabar sepanjang kerjaya anda?

MAJ Vanderput: Pengalaman paling memuaskan hati setakat ini adalah semasa saya bertugas sebagai pengajar OCS dari bulan Mei 2013 hingga Januari 2015. Latihan pegawai amat penting bagi diri saya kerana pada asasnya, kami pengelola organisasi ini. Jika dilakukan dengan betul, kadet yang dilatih akhirnya akan memimpin askar lain dan menimbulkan perubahan dalam hidup mereka.

Anda akan berpuas hati jika dapat menimbulkan perubahan dalam hidup anggota yang lebih muda – terutamanya apabila anda menyaksikan seseorang yang tidak menikmati NS akhirnya menyedari tujuan sebenar NS dan mula menikmati pengalaman tersebut.

3WO Aeria: Sepanjang kerjaya saya, saya telah berpeluang melatih kadet pakar dan kadet pegawai. Membentuk kelompok bakal pemimpin akan datang adalah amat memuaskan hati.

MAJ (Bersara) Ralph Aeria (kanan) menyematkan pangkat 3WO pada 3WO Aeria semasa upacara kenaikan pangkat 3WO Aeria pada bulan Julai 2021.

Adakah kerjaya dalam tentera membuatkan anda lebih rapat?

3WO Aeria: Kami sentiasa berkongsi tempat tugasan kami atau tugas yang kami lakukan dalam pelbagai peringkat kerjaya kami! Kadangkala saya akan menelefon dia dan memberitahu lokasi tugasan saya yang seterusnya. Ada juga masa apabila kami bekerja di tempat yang sama buat seketika waktu, seperti di MINDEF, jadi kami akan berjumpa untuk berbual-bual.

Dan oleh sebab kami berdua berada di OCS baru-baru ini (saya seorang pengajar, manakala Ian berada di sana untuk kursus), kami keluar makan bersama-sama beberapa kali. Pada hujung minggu, saya membawa anak lelaki saya yang berumur 2 tahun ke rumahnya untuk bermain dengan sepupunya, dan kami akan berbual tentang kerja juga.

MAJ (Bersara) Ralph Aeria (hujung kiri), MAJ (Bersara) David Aeria (ketiga dari kiri) dan 3WO Aeria (kedua dari kanan) di majlis perkahwinan MAJ Vanderput (memakai jaket hitam) pada 2013.

MAJ Vanderput, saya dengar bahawa anak perempuan anda yang berumur 7 tahun ingin masuk tentera! Dan 3WO Aeria, apakah yang akan anda katakan kepada anak lelaki anda jika dia ingin menyertai angkatan tentera pada masa depan?

MAJ Vanderput: Ya, anak perempuan saya memberitahu kami bahawa dia mahu masuk tentera dan saya mahu bayangkan bahawa sayalah motifnya. (ketawa) Saya dan isteri saya menyokong dia! Kami beritahu kepada dia bahawa dia tentu boleh mula berkhidmat, asalkan dia menjadi doktor terlebih dahulu. Kemudian dia boleh menyertai angkatan tentera dan menjadi doktor tentera.

3WO Aeria: Saya pasti akan menggalakkan dia! Malah, saya akan sangat gembira jika anak saya ingin menyertai angkatan tentera. Kerjaya ini stabil, memuaskan dan memandangkan keluarga ini mempunyai pengalaman tiga generasi dalam tentera, sudah pasti bagus jika dia meneruskan tradisi ini. Namun, jika ini bukan keinginan dia, saya tidak akan paksa. Selagi dia gembira dan tahu hala tuju kehidupannya, saya tidak akan mengganggu.

Suggested Reading
GRADUAN MAKTAB MARKAS DAN STAF BERSEDIA MENGAMBIL PERANAN KEPIMPINAN KANAN
PEOPLE
17 Jan 2022

Mengimbangi tuntutan keluarga, kerja dan pelajaran adalah sukar, tetapi ia merupakan pengalaman yang memperkayakan bagi kedua-dua MAJ (NS) (Dr) Ramesh Wijaya dan MAJ Muhammad Zacky Bin Razali, yang baru menamatkan pengajian dari Maktab Markas dan Staf Goh Keng Swee.

Cover story
Dua kapal selam kelas Invincible pertama RSN kini beroperasi sepenuhnya
PEOPLE
17 Jan 2022

Kapal selam kelas Invincible ini adalah kapal selam buatan khas pertama Singapura dan akan meningkatkan keupayaan RSN untuk menjaga perairan kita. 

MENYAMBUT 50 TAHUN JASA & PERSAUDARAAN
PEOPLE
17 Jan 2022

NS telah meninggalkan kenangan yang tidak dapat dilupakan untuk perintis SAF ini dari kumpulan Pegawai Kadet Jurutera ke-8, yang menyambut ulang tahun ke-50 mereka sejak mereka ditauliahkan pada 1974.

KISAH PENERBANGAN SUPER PUMA
PEOPLE
17 Jan 2022

Juruterbang helikopter MAJ (Bersara) Robert Tan yang bersara adalah antara beberapa kumpulan pertama juruterbang Super Puma terlatih tempatan. Kereta sukan atau bas lancar – teka kenderaan yang dia ibaratkan pesawat itu?

Pertahanan Mutlak adalah kewajipan setiap perniagaan Singapura
PEOPLE
17 Jan 2022

Setelah mengalami komitmen yang menuntut Perkhidmatan Negara, LTC (NS) Suhaimi Zainul-Abidin dan Encik Gaurav Keerthi berkongsi mengapa penting bagi setiap perniagaan Singapura untuk menyokong NSmen mereka.

Cover story
Dia mendaki gunung berapi bersama rakan OCS & menulis buku tentang NS
PEOPLE
17 Jan 2022

LTC (NS) Leow Kah Shin dan rakan-rakan NSnya pergi ke "Latihan Longwalk" tahunan sebagai komitmen untuk melakukan sesuatu yang mencabar bersama-sama. 

Memetakan laluan mereka di langit
PEOPLE
17 Jan 2022

Dari semangat kepada penerbangan: Pelajar Cherie Goh dan Alexey Cher memenuhi aspirasi zaman kanak-kanak mereka untuk mencapai "sayap" mereka. 

Lawatan perisai Ayah di tempat kerja!
PEOPLE
17 Jan 2022

Dalam acara istimewa PIONEER Kids tahun ini, Mejar Justin Tan membawa tiga anaknya – Danielle, Thaddeus dan Asher – dalam pengembaraan tentera di Home of the Armour.

Feature
PERTAMA DI LATIHAN WALLABY 2024
PEOPLE
17 Jan 2022

She used to serve on the Lelaran terbesar latihan luar negara unilateral terbesar SAF juga menandakan kemunculan sulung beberapa aset baharu dan model latihan.

Dia adalah salah seorang anggota kapal selam wanita pertama RSN
PEOPLE
17 Jan 2022