PEOPLE
COVID-19 TIDAK MENGHALANG ADIK-BERADIK INI DARIPADA MEMBANTU ORANG LAIN
09 Sep 2020
Bersama-sama berjuang dalam pertempuran menentang COVID-19: ME4 Sivakumar S/O Kanagasundaram telah diinspirasikan oleh abangnya CPT Deeban bagi membantu pekerja asing yang terkesan dengan pandemik ini.
Dari dataran perarakan dan padang kosong kepada kemudahan yang boleh memuatkan secara selesa lebih kurang 500 pekerja asing yang hampir pulih daripada COVID-19: Unit Kapten (CPT) Deeban – Institut Latihan Infantri Bermotor – mempunyai tiga minggu untuk membuka Kemudahan Pemulihan Masyarakat (CRF) di Kem Guillemard.
Khemah perlu dipasang, bersama-sama dengan katil, tempat minum, tempat mandi dan titik elektrik. Apabila papan tanda mengenai langkah-langkah keselamatan dipasang, CPT Deeban meminta adiknya mendapatkan bantuan kawan-kawannya bagi menyemak terjemahan dalam bahasa Myanmar dan Hindi.
Dalam beberapa minggu pada awal April, pelatih Pegawai Bantuan Kebakaran ini akan meninggalkan rumah pada 6.30am dan kembali hampir pukul 2am.
Setiap malam, ibunya akan sentiasa menunggunya pulang. Walaupun dia risaukan anaknya, dia memahami kenapa anaknya ingin memainkan peranannya dalam operasi COVID-19.
"Walaupun saya sampai ke rumah lewat malam, ibu saya akan menunggu saya untuk makan. Perkara kecil seperti sokongan daripada keluarga mendorong kami untuk lebih berusaha," kata anggota berusia 33 tahun itu.
Sebaik sahaja pekerja asing mula memasuki CRF, pasukan ini mendapati mereka tidak membawa baju yang mencukupi untuk selama mereka berada di sana. Jadi pelatih mula mengumpul baju, dengan keluarga CPT Deeban juga turut menyumbang.
"Kami tidak boleh keluar untuk berjumpa dengan orang lain (semasa tempoh pemutus litar) pada waktu itu, jadi semuanya datang dari keluarga pasukan," dia mengingati kembali.
Selepas membuka CRF, pasukannya menguruskan kebajikan pekerja, seperti memantau pengedaran makanan dan pengumpulan sisa.
Pengalaman selama dua bulan pengerahannya memberi semangat kepada adiknya untuk menyertainya di barisan hadapan.
Pakar Tentera (ME) 4 Sivakumar, 28, berkata: "Saya melihat dia pulang lewat malam dari tugasnya, dan menyaksikan keletihannya. Namun dia sungguh bertekad (untuk meneruskannya) dan ini membuatkan saya ingin menjadi sebahagian daripada usaha tersebut dan membantu dengan apa cara yang termampu."
Pada 4 Mei, dia menyertai Pasukan Sokongan Jaminan Ke Hadapan (FAST) di asrama Kranji Lodge 1 bagi menyokong pengurusan asrama dalam menangani penularan COVID-19.
Memandangkan jumlah kes tinggi, ME4 Sivakumar memilih untuk menetap di penginapan di luar rumah. Dia tidak mahu mengambil risiko menyebarkan virus kepada bapanya yang berusia 67 tahun.
Ini merupakan masa yang mencabar bagi keluarga yang sangat rapat ini. CPT Deeban menerangkan: "Saya masih pulang setiap malam, tetapi adik saya duduk di luar selama dua bulan. Hati kami ditenangkan oleh panggilan videonya, terutamanya Ibu saya yang akan menunggu panggilannya."
ME4 Sivakumar menambah bahawa panggilan telefon kepada keluarga dan kawan-kawan membantu menaikkan semangatnya dan mengelakkan dia daripada menjadi terlalu tertekan dengan kerjanya.
Pengerahan FAST bekerja rapat dengan pasukan perubatan bagi memantau kesihatan pesakit dan menguruskan pergerakan mereka, serta memperkenalkan langkah-langkah penjarakan selamat bagi membendung penularan virus.
Mereka juga menjaga kebajikan pekerja asing serta membantu mereka dalam isu seperti pengiriman wang dan perbankan.
"Situasi COVID-19 sesuatu yang baharu dan ops ini belum pernah dijalankan sebelum ini. Kami hanya memfokus kepada tugas dan sentiasa berkomunikasi (dengan pekerja)," kata ME4 Sivakumar.
Bagi Jurutera Tentera Udara dari Skuadron 507, ia membantu kerana abangnya berjuang di sisinya di barisan hadapan dalam perjuangan Singapura menentang virus ini.
"Sebenarnya, ia terasa seperti ketika saya mula menyertai SAF (Pasukan Bersenjata Singapura) –saya gementar dan bertanya kepadanya bagaimana keadaannya nanti.
"Memahami keadaan yang abang saya telah lalui sangat membantu."
ALSO READ IN PEOPLE
Membawa kepakaran awam mereka untuk menyumbang lebih banyak dalam NS
22 Jan 2026
Pada 21 Januari, SAF mengalu-alukan kumpulan terbesar anggota NS atau NSmen yang menamatkan pengajian di bawah Skim Pengerahan Kepakaran Dipertingkat. Temui ME4 (NS) Muhammad Arief Aditya dan ME4 (NS) Mohamed Najid Bin Mohamed Sultan, yang merupakan antara pakar tentera yang baru dilantik ini.
Penjaga warisan
15 Dec 2025
Beliau membantu membina pesawat pertama RSAF. Beliau pula merupakan antara wanita pertama yang menyertai tentera laut. Beliau menguruskan krisis komunikasi ketika bunyi bip pager membawa masalah. Temui veteran-veteran ini yang melihat Singapura melalui zaman pergolakan untuk membina SAF yang kuat.
Bangkit mengatasi arus & melangkah ke hadapan untuk memimpin
13 Dec 2025
Mereka antara kumpulan graduan pegawai SAF yang terbaru tahun ini. Temui 2LT Mohamad Wira Kuriniawan dan 2LT Ryan Ong, yang masing-masing akan mengetuai Skuadron 180 Tentera Laut dan Batalion Pertama, Pengawal Singapura.



