PEOPLE

Menghasilkan adunan sempurna untuk komedi yang popular

09 Sep 2026

Para pelakon  drama mikro Hard Mode  mempersembahkan kehidupan Singapura ke pentas dunia dengan satu soalan mudah: “  Anda mahu yuan yang ais anda panas atau sejuk?”

PIONEER duduk bersama (dari kiri) Koperal (NS) Tay, Encik Teo dan Encik Cheng untuk berbual tentang apa yang menjadikan kita rakyat Singapura, dan kenangan mereka tentang pengalaman lelaki Singapura yang sebenar – Perkhidmatan Negara (NS).

Cerita oleh Benita Teo

Gambar oleh Kenneth Lin & ihsan daripada responden yang ditemu bual


Mereka mempopularkan soalan yang kini tular yang sama-sama mengelirukan barista dan pelanggan dahaga: "Anda mahu yuan yang* ais anda panas atau sejuk?"

Cheng Kiah Lim, 64, dan Teo Hong Liang, 39, ialah Pak Cik dan Hong Liang, pasangan bapa dan anak yang penyayang dalam Hard Mode (很难).

Siri web tempatan Cina yang bermula pada tahun 2023 telah menjadi popular dalam kalangan penonton di Singapura, Malaysia dan China kerana dialognya yang lucu dan gambaran ringkas tentang kehidupan Singapura yang mudah difahami.

Duo ikonik: Perbualan yang tidak masuk akal antara Hong Liang yang jahil  dan Pak Cik yang jengkel telah menjadikan pasangan itu kegemaran peminat. [Imej: Tsqfilms YouTube]

Pada Januari tahun ini, siri ini meraih satu pencapaian penting apabila salurannya mencecah 500,000 pengikut di platform media sosial Douyin.

Bakat kreatif di sebalik rancangan ini ialah penulis dan pengarah Koperal (CPL) (NS) Tay Li Guo, 31, yang juga mengendalikan TSQfilms.

Kebanyakan pelakon utama Hard Mode bertemu pada tahun 2018 semasa menghadiri kursus di Akademi Media Singapura (SMA).

Pak Cik Kiah Lim, anda memainkan watak seorang bapa kiam siap (kedekut) yang selalu memarahi anaknya. Kami perlu tahu – sejauh manakah persamaan anda dengan Pak Cik?

Kiah Lim: Watak saya tidak akan sesekali menjemput rakan-rakannya ke rumahnya! Mereka (pasukan Hard Mode ) sering datang ke rumah saya untuk menjamu selera tetapi dengan Pak Cik, awak tunggulah sahajalah ! (ketawa)

Hong Liang: Pak Cik akan menunggu untuk diundang, kemudian membawa seluruh keluarganya!

Kiah Lim: Saya akui ada sedikit sifat Pak Cik dalam diri saya. Contohnya, saya mungkin tidak sabar, tetapi saya tidak akan menggunakan kata-kata kesat kepada anak-anak saya. Malah, saya lebih cenderung dimarahi oleh mereka!

Encik Cheng, yang telah berumah tangga dan mempunyai dua anak perempuan yang sudah dewasa, menceburi bidang lakonan sebagai hobi selepas bersara.

Hong Liang, orang ramai biasanya terkejut apabila mengetahui bahawa anda sebenarnya seorang peguam. Adakah anda sebodoh watak fiksyen anda?

Hong Liang: Saya suka berfikir bahawa saya tidaklah se “bebal” Hong Liang. Tetapi saya selalu menceritakan jenaka bodoh yang membuatkan orang mengeluh dan ingin menjerit "Hongliaaaaaaang!"

Koperal (NS) Tay: (dengan selamba ) Saya mendasarkan Hong Liang (watak) pada pelakon.

Hong Liang: (secara melodramatik) Adakah saya memang macam tu?!

Koperal (NS) Tay: Cuma tidaklah sebodoh itu.

Menjalani impian: Encik Teo, seorang penasihat undang-undang dalam perkhidmatan awam, menyertai kelas lakonan layar SMA untuk memenuhi impian zaman kanak-kanaknya untuk menjadi seorang pelakon.

Koperal (NS) Tay, bagaimana siri ini boleh tercetus?

Koperal (NS) Tay: Saya dapati rakyat Singapura selalu merungut, jadi saya mula menulis apa yang saya fikir mereka fikirkan setiap hari.

Hong Liang: Ia bermula sebagai secebis kisah kehidupan harian, tetapi Li Guo memilih komedi.

Koperal (NS) Tay: Kerana (anda tidak memerlukan prop yang rumit untuk komedi) ia lebih murah untuk dibuat!

Kiah Lim: Itulah kehidupan – anda mungkin tidak dapat memperoleh semua perkara yang anda sukai, jadi anda perlu mencintai semua perkara yang anda miliki! (ketawa)

“Kami sekumpulan individu yang rapat yang sanggup ketawa, bergurau senda  dan melakukan perkara-perkara lucu bersama-sama. Kekariban ini   juga ditonjolkan  ke dalam skrin,” kata Encik Teo (paling kiri) tentang keakraban pasukan itu di dalam dan di luar kamera.

Hard Mode telah dicalonkan dua kali untuk The Pinwheels, anugerah pencipta kandungan Mediacorp. Apakah perasaan anda apabila video tersebut menjadi tular?

Koperal (NS) Tay: Saya sangat gembira.

Kiah Lim: Ia sesuatu yang memberangsangkan apabila mengetahui bahawa rancangan ini menuju ke arah yang betul (selepas segala usaha yang telah kami lakukan)!

Walaupun Koperal (NS) Tay pernah menulis dan mengarah beberapa filem pendek sebelum ini, Hard Mode merupakan siri komedi pertamanya.

Dan bagaimana anda menghadapi kemasyhuran yang datang secara tiba-tiba itu?

Hong Liang: Saya sedang bersolek untuk (kostum saya untuk) konsert Lady Gaga di satu tandas pusat membeli-belah. Apabila saya keluar, seseorang meminta saya untuk bergambar bersama! Saya terkejut yang beliau mengenali saya walaupun dengan solekan , dan berkata yang beliau ternampak saya di dalam tandas dan telah menunggu saya – selama lebih daripada 10 minit!

Kiah Lim : Saya mempunyai seorang peminat yang hampir berputus asa untuk memasuki sebuah restoran kerana telah beratur terlalu lama. Tetapi beliau ternampak saya di dalam dan, sebelum pergi, beliau bertanya kepada pengurus, “Bolehkah saya masuk dan mengambil gambar dengan salah seorang pelanggan anda?”

Ya Tuhan, saya tak akan berani untuk berbuat demikian! ( ketawa ) Mungkin kalau untuk Lady Gaga, tapi bukanlah untuk seorang pelakon dalam siri web!

Encik Teo bersama ibu bapanya di perbarisan tamat Latihan Asas Tenteranya  pada Mei 2006.

Ceritakan tentang hari-hari anda di NS!

Koperal (NS) Tay: Saya kini seorang jurutera tempur dalam Pasukan Pertahanan Rakyat ke-2, di mana kami bertanggungjawab untuk pertahanan pulau. Saya mendaftar pada Mac 2014 dan berkhidmat dalam NS saya dalam Batalion ke-30, Jurutera Tempur Singapura (Singapore Combat Engineers).

Kiah Lim: Saya menyertai tentera pada tahun 1980 dan merupakan penjaga stor untuk sebuah stor persenjataan kenderaan di Kem Seletar. Kami merupakan sebahagian daripada Laluan Pengangkutan Motor (Motor Transport Line) dan menyokong kereta tentera, kenderaan land rover, kenderaan 3 tan dan kenderaan berperisai V200, membekalkan mekanik dengan alat ganti kenderaan seperti palam pencucuh dan penapis udara.

Hong Liang: Saya menyertai tentera pada tahun 2006 dan merupakan seorang petugas perubatan tempur di Ibu Pejabat Divisyen ke-6 Singapura (Headquarters 6th Singapore Division). Saya orang pertama yang anda akan temui apabila anda memasuki pusat perubatan – saya menguruskan dokumentasi dan hal ehwal pentadbiran pusat perubatan.

Encik Cheng, yang merupakan Sarjan ke-3, semasa Latihan Dalam Kem (In-camp Training) pada tahun 1991.

Apakah kenangan NS terbaik anda?

Hong Liang: Saya adalah sebahagian daripada kumpulan pendahuluan yang menubuhkan pusat perubatan bagi latihan bahagian luar negara pada tahun 2007.

Ini adalah era sebelum telefon pintar, jadi kami terkurung selama dua bulan penuh tanpa rakan-rakan yang lain!

Menguruskan sebuah pusat perubatan bersama-sama di negara asing telah merapatkan hubungan kami bertiga sebagai petugas perubatan (dalam kumpulan pendahuluan). Kami kekal berkawan baik sehingga ke hari ini!

Encik Teo (kedua dari kiri), yang berpangkat koperal, bersama rakan-rakannya yang menyokong pusat perubatan untuk latihan luar negara bahagian mereka pada tahun 2007.
Encik Teo (kedua dari kiri) bersama rakan-rakan perubatannya dari pusat perubatan Kem Mandai Hill meraikan kejayaan latihan luar negara mereka pada tahun 2007.

Apa yang anda pelajari sepanjang tempoh anda di NS?

Kiah Lim: Kadangkala saya terpaksa berperanan sebagai Sarjan Pengangkutan Bermotor (Motor Transport Sergeant) dan memimpin para anggota, dan ia tidak selalunya mudah. Saya terpaksa belajar bagaimana untuk berdiri di hadapan orang ramai dan memimpin mereka.

Itulah sebabnya saya menggalakkan orang lelaki untuk pergi ke sekolah komand – ia membantu meningkatkan kualiti kepimpinan, kemahiran berucap di khalayak ramai dan keyakinan diri anda.

Koperal (NS) Tay: Kepimpinan, ketepatan masa dan kebolehansesuaian adalah nilai-nilai penting yang saya pelajari dalam NS.

Hong Liang: NS ialah masa di mana anda dapat berinteraksi dengan orang-orang daripada pelbagai latar belakang, semuanya bekerjasama untuk mencapai matlamat yang sama.

Sebagai seorang anggota perubatan Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara dalam 755 SIR (Batalion ke-755, Rejimen Infantri Singapura(755th Battalion, Singapore Infantry Regiment)), saya akan berkongsi tempat tidur dengan orang daripada pelbagai pekerjaan. Anda belajar untuk lebih memahami dan membantu orang dalam peranan dan jadual mereka yang berbeza.

Mengapa mereka fikir jenaka "yuan yang ais" yang tidak masuk akal itu menjadi tular? “Ia  tidak asing bagi  penonton Malaysia kerana banyak persamaan dengan cara kita  memesan minuman.  . Penonton di China bertanya, 'Apakah minuman ini dan mengapa ia begitu popular?' dan begitulah cara mereka mengenali budaya Singapura,” kata Encik Teo (paling kiri).

Oleh kerana Hard Mode lahir daripada rungutan rakyat Singapura, apakah rungutan nombor satu anda tentang kehidupan Singapura? (Jawapan yang tidak serius sahaja!)

Kiah Lim: Kehidupan di Singapura sangat cekap dan praktikal – tiada sedikit pun kekacauan untuk menjadikannya menarik!

Koperal (NS) Tay: Barang-barang di sini terlalu mahal!

Hong Liang: Memesan minuman, terutamanya untuk orang lain, terlalu sukar! Terdapat banyak kombinasi – anda mempunyai kopi, teh, gah c atau siew c, gah dai atau siew dai , dan kemudian dengan ais atau panas.

Tetapi itulah keindahan Singapura, hanya dua jenis minuman tetapi boleh dipelbagaikan – anda tidak dapat menjumpainya di tempat lain.

Share this story:

Got a great story to share?
Send it our way — we might feature it!

Share Your Story