PEOPLE
Melangkah demi tempat yang dipanggilnya rumah
02 Sep 2026
Bermula dengan menerima kad pengenalan merah jambu pada awal 2024 hingga dinobatkan sebagai NSF Terbaik Tahun Ini dan memulakan kerjaya dalam SAF, Pegawai Kadet Pelatih (OCT) Bandaru Yashwanth Naga Sai bukan sahaja menemui tempatnya di Singapura, malah menemui panggilan hidupnya.
Beliau mungkin tidak dilahirkan di Singapura, tetapi tiada tempat lain yang dikenalinya sebagai rumah.
Selepas menjadi Warganegara Singapura dan meraih anugerah NSF (Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa) Terbaik Tahun 2026, Pegawai Kadet Pelatih (OCT) Bandaru Yashwanth Naga Sai melangkah setapak lagi untuk mempertahankan tanah airnya dengan menyertai Tentera Darat Singapura.
Singapura di hati
Kisah inspirasi beliau tentang penyepaduan dan komitmen terhadap negara mendapat perhatian khusus dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan Perdana Menteri Lawrence Wong pada 23 Ogos.
Dilahirkan di India, OCT Naga Sai berpindah ke Singapura bersama keluarganya ketika beliau masih kecil.
Pemuda berusia 21 tahun itu melalui banyak pengalaman yang sama seperti kebanyakan pelajar Singapura – daripada menduduki peperiksaan kebangsaan hingga bermain bola keranjang bersama rakan-rakan pada waktu lapang.
Sebagai bekas pelajar Sekolah Anglo-Chinese (Bebas), beliau menemui bakatnya dalam pengaturcaraan, malah memenangi OneArena Robotics Challenge bersama pasukan sekolahnya pada tahun 2022.
Justeru, apabila tiba masanya untuk membuat keputusan tentang kewarganegaraannya, tiada keraguan lagi – beliau memohon dan menerima kewarganegaraan Singapura pada awal 2024, sejurus sebelum mendaftar untuk Perkhidmatan Negara (NS).
“Saya membesar di sini,” kata OCT Naga Sai dengan tegas.
“Jadi, apabila (kewarganegaraan saya) diluluskan, saya berasa bangga kerana mengetahui bahawa Singapura kini ialah rumah saya.”
Menemui identiti & tujuan dalam seragam hijau
Dengan kad pengenalan merah jambu di tangan, OCT Naga Sai memulakan perjalanan Latihan Asas Tenteranya dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada 1 April 2024.
Seperti semua rekrut baharu, beliau berasa cemas untuk beralih daripada kehidupan awam kepada kehidupan ketenteraan, dan tertanya-tanya sama ada beliau mampu bertahan menghadapi tuntutan latihan secara fizikal dan mental.
Namun, OCT Naga Sai tidak pernah kehilangan fokus terhadap tujuannya, dan tidak lama kemudian menemui rasa identiti yang lebih mendalam.
“Melangkah ke alam NS mengukuhkan rasa kekitaan dan mengukuhkan kepercayaan saya bahawa Singapura ialah rumah saya (dan bahawa) saya mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankannya,” jelas beliau.
Beliau bekerja keras dan terpilih untuk menyertai Sekolah Kadet Pakar, tempat beliau akhirnya menamatkan latihan sebagai penerima Bayonet Perak sebagai pengiktirafan atas prestasi dan kepimpinan cemerlangnya.
Memimpin di lapangan
Beliau kemudiannya menjadi jurutera tempur dalam Batalion ke-39, Jurutera Tempur Singapura (Singapore Combat Engineers) (39 SCE), sebuah unit kesiagaan tinggi yang mengendalikan operasi pertahanan kimia, biologi dan radiologi.
Sebagai Sarjan Platun (PS), beliau bertanggungjawab terhadap latihan anggota bawahannya, menjalankan operasi keselamatan negara serta mengurus disiplin dan kebajikan platunnya.
Peranan tersebut mengasah kemahiran hubungan sesama manusianya yang tidak boleh didapati dalam persekitaran bilik darjah: “Sebagai PS, saya perlu sentiasa memantau anggota saya. Ia (membangunkan) empati, kemahiran mendengar dan keupayaan saya untuk mengambil berat terhadap orang lain.”
OCT Naga Sai turut menerajui percubaan menggunakan pembersih vakum robotik untuk mengautomatikkan tugas penyahcemaran yang memerlukan banyak tenaga kerja dan melancarkan operasi.
Beliau menjelaskan bahawa mengusahakan projek tersebut memberikan rasa kepuasan dan membanggakannya kerana beliau dapat menggunakan minat dan kemahirannya dalam robotik untuk berinovasi serta menyelesaikan cabaran dunia sebenar.
Berusaha lebih demi anggota bawahannya
Walaupun perkhidmatan NS sepenuh masa OCT Naga Sai dijadualkan berakhir pada Januari tahun ini, rasa tanggungjawabnya terhadap unitnya tidak pernah goyah.
Beliau secara sukarela melanjutkan perkhidmatannya selama enam bulan supaya dapat menyertai platunnya dalam latihan ringkasan kedua mereka dan berjuang bersama mereka dalam penilaian akhir.
“Saya telah bersama platun ini sejak hari pertama mereka di unit tersebut, dan saya mahu berjuang bersama mereka hingga ke penghujungnya serta menamatkan perjalanan ini dengan kukuh. Jadi, keputusan untuk melanjutkan perkhidmatan saya memang sesuatu yang mudah!”
Keputusannya membuahkan hasil apabila unit tersebut mencapai REDCON 1 (Readiness Condition 1, tahap tertinggi klasifikasi kesiagaan operasi).
Mengenang saat anggota bawahannya meraikan keputusan yang baik itu, OCT Naga Sai berkata: “Saya sememangnya sangat gembira. (Pencapaian REDCON 1) ialah hasil daripada usaha gigih yang mereka curahkan selama satu setengah tahun latihan berterusan.”
Pendekatan OCT Naga Sai yang sentiasa berusaha untuk berkembang dan berdedikasi membolehkannya menerima pengiktirafan sebagai penerima anugerah NSF Terbaik Tahun 2026.
Menyampaikan pengalaman NS yang positif
OCT Naga Sai kini berada di Sekolah Pegawai Kadet dan sedang menuju ke arah menjadi seorang pegawai.
Walaupun tiada satu kejadian khusus yang mendorongnya untuk menyertai SAF secara tetap, beliau berkata pengalaman positifnya semasa NS telah memberi inspirasi kepadanya untuk bersungguh-sungguh mengejar kerjaya ketenteraan.
Kadet tersebut sedang menjalani latihan medan di luar negara ketika Encik Wong menyampaikan ucapan Rapat Hari Kebangsaan beliau.
Beliau mengimbas saat ketika beliau akhirnya kembali ke bunkernya dan menghidupkan telefonnya yang dipenuhi dengan mesej daripada rakan-rakan dan keluarganya.
“Melihat mesej daripada semua yang telah menyokong saya sepanjang NS mengingatkan saya bahawa perjalanan ini bukan hanya tentang saya... Ia merupakan gabungan usaha semua orang.”
Bagi anggota baharu yang mendaftar, khususnya warganegara baharu dan Penduduk Tetap yang mungkin berasa tidak pasti tentang NS, OCT Naga Sai berharap mereka menjalani tempoh dua tahun tersebut dengan fikiran terbuka dan memanfaatkan setiap peluang sepenuhnya.
“Berikan sepenuh hati anda, cuba untuk raih manfaat dan timba pengalaman sebanyak yang mungkin daripadanya.
“Dengan cara ini, , apabila seseorang bertanya kepada anda (tentang pengalaman NS anda) di masa hadapan, anda akan mempunyai pengalaman yang baik untuk dikongsi dengan mereka supaya mereka juga boleh menantikan NS dengan penuh semangat.”
ALSO READ IN PEOPLE
Menghasilkan adunan sempurna untuk komedi yang popular
09 Sep 2026
Para pelakon drama mikro Hard Mode mempersembahkan kehidupan Singapura ke pentas dunia dengan satu soalan mudah: “ Anda mahu yuan yang ais anda panas atau sejuk?”
Rakan Seperkhidmatan Berkaki Empat
24 Aug 2026
Sempena Hari Anjing Antarabangsa, kami bertemu dengan empat pasangan anjing dan pengendali untuk mengetahui apa yang berlaku di sebalik tabir Unit Anjing Kerja Tentera (Military Working Dog Unit)SAF.
Mereka memimpin SAF masa depan
12 Aug 2026
Bakal pemimpin pertahanan LTA Aryan Vinayak Gupta dan OCT Tristan Lock memulakan perjalanan ketenteraan mereka dengan keghairahan kanak-kanak yang penuh rasa ingin tahu.

