DIPLOMACY
UNTUK LAUTAN YANG LEBIH SELAMAT
01 Jul 2019
Dapatkan sorotan pameran pertahanan maritim terbesar di rantau ini.
Setiap dua tahun, personaliti terulung dalam pertahanan maritim berkumpul di Singapura untuk menghadiri Pameran dan Persidangan Pertahanan Maritim Antarabangsa (IMDEX) Asia.
Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen melancarkan persidangan tahun ini, yang diadakan dari 14 hingga 16 Mei di Pusat Pameran Changi, di mana beliau menggariskan peranan penting yang dimainkan oleh laut dalam membentuk kesalinghubungan global.
"Semakin meningkatnya perdagangan global, begitu juga kepentingan jalur komunikasi laut sebagai jalan raya utama global untuk perdagangan" kata Dr Ng. Beliau kemudiannya menyeru agar laut dikekalkan selamat dan terbuka bagi memastikan perdagangan global diteruskan dan hubungan baik antara negara dikekalkan.
Keperluan usaha bersama bagi memastikan laut yang selamat memberikan konteks kepada Persidangan Keselamatan Maritim Antarabangsa (IMSC). Ia dianjurkan oleh Tentera Laut Republik Singapura (RSN) dan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam dan diadakan pada 15 Mei bersempena dengan IMDEX Asia.
Apakah Ancaman Terhadap Keselamatan Maritim Hari Ini?
Dalam ucapan perasmiannya, Dr Ng menimbulkan kebimbangan mengenai ancaman tradisional kepada sumber daya milik bersama maritim global. Ini termasuk keganasan, kegiatan melanun, rompakan bersenjata dan pemerdagangan dadah, senjata dan manusia transnasional.
"Kita perlu meningkatkan usaha perisikan ketika … keganasan global beralih dari Timur Tengah ke kawasan-kawasan lain di dunia, termasuk rantau ini." Beliau memetik bahawa banyak pakar percaya bahawa senjata yang digunakan oleh militan di Marawi, Filipina datang dari jalan laut.
Satu lagi kebimbangan ialah peraturan berbeza yang diguna pakai oleh negara yang berbeza dalam mentadbir urus penggunaan sumber daya milik bersama maritim. Ini telah meningkatkan insiden yang berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang, kata Dr Ng.
Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Chan Chun Sing ketika berucap di makan malam upacara pembukaan IMSC di J.W. Marriott menambah bahawa terdapat cabaran yang baru muncul terhadap maritim global akibat pendigitan.
Pada 2017, syarikat gergasi kontena A.P. Moller-Maersk telah mengalami serangan siber yang menyebabkan 76 daripada pelabuhannya terganggu di empat buah negara. "Kabel bawah laut — infrastruktur fizikal untuk teknologi digital — mengangkut data dunia. Serangan dan insiden di dasar laut boleh melumpuhkan pemindahan data penting yang menyokong keseluruhan infrastruktur negara," kata Encik Chan.

Apakah Yang Sedang Diusahakan?
Kedua-dua Dr Ng dan Encik Chan menekankan keperluan negara untuk mematuhi peraturan bersama bagi laut untuk memastikan ia tetap dikongsi bersama serta aliran perdagangan maritim terus lancar.
Mereka juga menyentuh tiga pendekatan yang telah diambil untuk mempromosikan kerjasama:
1. Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS)
UNCLOS ialah perjanjian antarabangsa yang telah diterima pakai dan ditandatangani oleh lebih 150 negara pada 1982 untuk mempromosikan perintah maritim berdasarkan peraturan.
UNCLOS telah “dirunding sebagai perjanjian besar…yang memberikan negara pesisir banyak hak baharu — contohnya, zon ekonomi eksklusif — dan mengiktiraf bahawa (zon) ini kekal sebagai perairan antarabangsa untuk penggunaan bersama," kata Panglima Tentera Laut Laksamana Muda (RADM) Lew Chuen Hong semasa ucapan perasmiannya untuk IMSC.
"UNCLOS bukan bertujuan untuk menghapuskan persaingan (tetapi) sebaliknya, (menetapkan) norma yang membenarkan persaingan tanpa membawa kepada konflik," beliau menambah.
2. Kod Pertembungan Tidak Terancang Di Laut (CUES)
Dengan membina atas rangka kerja UNCLOS, CUES telah ditandatangani pada 2014 untuk mengurangkan kemungkinan insiden atau salah perhitungan di laut.
CUES telah diterima pakai dan dilaksanakan oleh tentera laut Mesyuarat-Plus Menteri Pertahanan ASEAN pada November 2017. Ia juga telah dilaksanakan di latihan maritim ASEAN-China pertama pada Oktober lepas, kata Dr Ng.
3. Pusat Gabungan Maklumat (IFC)
Bagi mengukuhkan kerjasama praktikal, RSN telah membuka IFC — pusat keselamatan maritim yang mempromosikan perkongsian maklumat dalam kalangan tentera laut, pengawal pantai dan lain-lain agensi maritim.
Tahun lepas, IFC telah berjaya mengenal pasti dan menjejak bot memancing yang disyaki mengedar barang kontraban, kata Dr Ng. IFC telah bekerjasama dengan tentera laut Indonesia untuk menahan bot tersebut di perairan pesisir Batam dan satu tan kristal metamfetamin telah ditemui di atas bot.
IFC merayakan ulang tahun ke-10 tahun ini.
Bagaimana pula dengan Laut Cina Selatan?
Dr Ng berkata bahawa ahli-ahli negara ASEAN dan China telah membina rangka kerja bagi Kod Tatalaku (COC) di Laut Cina Selatan yang akan membuka jalan untuk perjanjian mengenai norma dan pengelakan konflik di perairan yang dipertikaikan.
Beliau berkata: "Ia satu perkembangan yang bagus apabila ASEAN dan China bersetuju untuk merangka draf tunggal bagi teks perundingan, dan kita semua menggesa perkembangan serta kesimpulan yang pantas kepada COC yang bermakna dan berkesan."
Jumlah Penyertaan IMDEX Asia 2019
- IMDEX Asia dwi tahunan kini mencapai edisi ke-12, dengan 26 ketua angkatan tentera dan laut, naib ketua pengarah pengawal pantai menghadiri acara tahun ini
- Pameran kapal perang ini menyaksikan 25 kapal perang dari 15 negara berlabuh di Pangkalan Tentera Laut Changi
- Acara tahun ini menyaksikan penyertaan paling tinggi daripada 236 pempamer dari 30 negara, dengan lebih daripada 11,000 peserta perdagangan dari 62 negara
- Diadakan bersempena IMDEX, IMSC menyaksikan penyertaan lebih 400 wakil dari sektor pertahanan tentera laut
ALSO READ IN DIPLOMACY
DIALOG SHANGRI-LA MEMPERLIHATKAN PERBINCANGAN TERUS TERANG BERKAITAN ISU KESELAMATAN
04 Jun 2023
Dialog Shangri-La ke-20, yang berlangsung dari 2 hingga 4 Jun, menyaksikan para menteri dari seluruh dunia bertemu di Singapura untuk membincangkan isu-isu pertahanan dan keselamatan yang penting.
SLD KEKAL PLATFORM BERNILAI UNTUK PERBINCANGAN PENTING: DR NG
12 Jun 2022
Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen memberi ucapan tentang hubungan AS-China, kepentingan perintah berasaskan peraturan dan peranan ASEAN sebagai platform keselamatan serantau di Dialog Shangri-La (SLD) ke-19.
SINGAPURA DAN AS MEMBAHARUI PERJANJIAN PERTAHANAN
25 Sep 2019
Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menandatangani perjanjian untuk memperbaharui Memorandum Persefahaman (MOU) 1990 Mengenai Penggunaan Kemudahan di Singapura oleh Amerika Syarikat pada 24 September.



