OPS & TRAINING

WANITA PERISAI

01 Oct 2018

Wartawan PIONEER Thrina Tham belajar menentang keganasan. Tetapi sebelum itu, beliau perlu memakai perisai balistik Pasukan Pengerahan Tentera (ADF).

ADF1
Wartawan Thrina Tham dari PIONEER belajar menentang keganasan. Tetapi sebelum itu, beliau perlu memakai perisai balistik Pasukan Pengerahan Tentera (ADF).

// Gambar PIONEER PHOTOGRAPHERS


English 华文
English 华文

Lihat, kamu kelihatan seperti Black Widow, kata pengajar ADF memberi galakan.

Saya merenung beliau dengan pandangan kurang percaya – Paling tidak, saya kelihatan seperti setengah Bruce Banner – setengah Hulk yang kekok.

Yang pastinya saya kelihatan besar – saya memakai ves galas beban dengan 2 plat keras, pistol P226 palsu di peha kanan, Rifel Penggempur Singapura 21 tersangkut di atas bahu, dan di kepala saya "balaclava" dan gogel, ditutup dengan topi keledar. Sepasang sarung tangan melengkapkan pakaian seragam tersebut.

Sebagai unit Regular yang berkemahirang tinggi, ADF dipertanggungjawabkan untuk bertindak balas ke atas pelbagai ancaman, termasuk ancaman pengganas. Saya sememangnya bersedia untuk bertindak apabila saya menyertai pelatih ADF di dalam latihan kontinjensi keamanan di Kem Nee Soon.

(Hampir) Situasi Sebenar

Seolah-olah semua kelengkapan ekstra ini tidak mencukupi, saya telah menegaskan yang ianya tidak lengkap tanpa perisai balistik ADF seberat 13kg, yang digunakan semasa operasi anti-pengganas sebagai perisai terhadap senjata api di kawasan bandar.

Saya cuba mengangkatnya dengan tangan kiri, (rifel disebelah kanan). Perisai itu hanya mampu diangkat selama beberapa saat sebelum saya terpaksa meletakkannya ke bawah.

Tersenyum malu, saya cuba mengangkat menggunakan tangan yang dominan iaitu tangan kanan. Walaupun begitu, saya terpaksa menyandarkan perisai itu pada badan untuk menyokong beratnya.

Nasib baik, para pengajar telah menyediakan perisai kayu yang ringan untuk kegunaan saya dan saya boleh mengangkatnya dengan stabil pada paras mata.

Sekarang saya sudah tahu cara memegang perisai, saya sudah bersedia untuk menggunakannya.

"Encik,berundur!" Pengajar ADF Leftenan Khalid (kiri) mengajar saya prosedur suara dan cara hendak bergerak dengan perisai sebelum saya menyertai pelatih yang lain.
Bergerak ke sebelah kanan rakan untuk melindungi titik butanya sebelum dia menerjah ke dalam bilik.

Tunggu dan Lihat

Cuba bayangkan pengganas telah menyerang sebuah bangunan dan kamu diperlukan untuk membentuk satu bulatan bagi memencilkan kawasan tersebut. Itulah tugas kami: untuk menghasilkan kepungan dalaman yang tidak dapat di tembusi dengan menubuhkan pos pemerhatian dua orang di laluan masuk bangunan dan laluan keluar. 

Rakan saya Sarjan 1 Yap dan saya telah mengenalpasti kedudukan yang terlindung diantara dua kenderaan besar dan bertinggung di belakang perisai dalam posisi berlutut. Kemudian, penantian bermula.

Selepas beberapa minit berlalu, lutut saya mulai berasa sakit kerana melutut di atas jalan tar dan bahu mula rasa lenguh kerana beban daripada ves.

Berapa lama kita perlu menunggu seperti ini?" saya bertanya kepada Sarjan 1 Yap.

"Ini adalah posisi yang paling mampan, jadi kita perlu tinggal di sini bagi menyalurkan maklumat sehingga arahan seterusnya," jawab beliau.

Tapi saya tidak pasti berapa lama saya boleh menampung tekanan pada lutut saya – ia sangat menganggu sehingga saya tidak boleh berkawal.

Saya rasa sangat lega apabila kami ternampak seorang pengganas di tingkap. Sarjan 1 Yap telah melaporkan apa yang telah di lihat dan kami diarahkan untuk bersembunyi dan meneruskan pemerhatian.

Tiada tindakan? Saya sangat kecewa. Tetapi mengekalkan pos pemerhatian kadang-kadang lebih dari "permainan menunggu", jelas Sarjan 1 Yap.

Sebagai mata di bawah, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan maklumat perisikan kepada ibu pejabat.

Belajar untuk menangani orang ramai, seperti pihak media, adalah sebahagian daripada latihan kontinjensi keamanan.

Kawalan Ketat

Kami memasuki Kenderaan Respons Berperisai Peacekeeper (PRV) untuk ke stesen seterusnya: Titik Kawalan Kepungan Dalaman. Titik kawalan itu ditubuhkan sebagai titik semak  untuk mengawal aliran kenderaan yang masuk dan keluar dari kawasan kepungan bagi mengelakkan pengganas dari meninggalkan kawasan insiden.

Selepas perbincangan pantas, pasukan keluar dari PRV untuk melaksanakan tugasan yang diterima – Sarjan 1 Yap dan saya meletakkan papan tanda dilarang masuk sementara yang lain mengatur kedudukan jalur paku tayar. Titik kawalan kami sudah siap dalam masa yang singkat.

Dua "pemerhati" mendekati dan mendakwa mereka adalah dari pihak media. Saya memberikan pandangan yang ragu-ragu kepada Sarjan 1 Yap, yang dengan segera meminta bukti pengenalan.

Ketika Sarjan 1 Yap sedang memeriksa dokumen, salah seorang daripada mereka menjadi kurang sabar dan mula mengambil gambar kawasan.

"Dilarang mengambil gambar!" Saya mengarahkan. Nasib baik orang itu berundur tanpa membuat  apa-apa masalah.

Pemeriksaan selesai, Sarjan 1 Yap mengesahkan pihak media dilarang memasuki kawasan terbabit, hanya terhad kepada agensi keselamatan dan kakitangan sokongan. Nasib baik kami tidak membenarkan mereka masuk!

Ini adalah salah satu scenario mudah yang pihak ADF perlu tanggani. Di dalam kes yang lain, pemerhati mungkin akan lebih mendesak atau merempuh mereka dengan kenderaan.

Menggempur Bilik

Pada hari ke dua, kami menuju ke fasiliti latihan Neo Tiew untuk latihan pengosongan bilik. Saya sangat gembira kerana tidak berada di bawah pancaran matahari, tetapi pengajar saya, Sarjan Master Ang, membawa saya melalui formasi pergerakan, saya sedar ia bukanlah sesuatu yang mudah.

Memasuki sesuatu bilik mungkin kelihatan seperti sesuatu yang mudah di dunia – tetapi bukan di dalam operasi ketenteraan.

Rakan saya, sambil membawa perisai akan menerjah masuk ke dalam bilik. Sebagai orang pertama di belakangnya, saya perlu berada rapat dengannya, mengenalpasti titik butanya dan bergerak untuk melindunginya.

Selepas beberapa pusingan latihan, saya sudah bersedia menyertai pelatih yang lain di dalam latihan mereka.

Misi: dua pasukan empat orang untuk mengosongkan pangsapuri 4 bilik. Pasukan A merempuh masuk bersama kami, sementara pasukan B bergerak rapat di belakang mereka.

Apabila kami memasuki ruang tamu, seorang pengganas bertopeng keluar dari salah satu bilik, tangannya diangkat tanda menyerah.

Saya  kaku, tetapi pasukan A menyerbu masuk dan menjatuhkannya. Ketua pasukan kemudian mengingatkan kami untuk mengosongkan bilik selebihnya.

Sepanjang kelam-kabut itu, saya ditenteramkan dengan suara ketua kami semasa kami memasuki setiap bilik.

 "Bilik 1, kosong!"

 "Bilik 2, kosong!"

Akhirnya, kami sampai ke bilik yang terakhir, di mana kami di sambut dengan bom masa simulasi.

Sebelum saya dapat bertindak, ketua kami menjerit: "IED (bahan letupan yang telah diubahsuai)! Semua orang keluar!" dengan pecutan adrenalin, saya keluar dari pangsapuri dengan pantas bersama pelatih yang lain.

Bila kami sampai di titik keselamatan, Pasukan A sudah menunggu dengan pengganas yang telah ditahan.

Latihan ini dianggap berjaya dilakukan oleh pasukan – tetapi bagaimana pencapaian saya? Sarjan Master Ang memberi keputusannya: "Nampaknya kamu semakin pandai menggosongkan bilik. Kerja yang bagus!"

Nampaknya saya sudah bersedia untuk menyertai Avengers.


 

KEMAHIRAN ANTI-PENGGANAS: CARI DAN TANGKAP

Saya cuba melakukan langkah asas dan arahan suara untuk mencari dan menangkap pengganas jika berlakunya ancaman. Ianya sangat sukar.

PEMERIKSAAN BADAN

1. "Angkat tangan. Pusing mengadap dinding!" saya mengarahkan suspek meletakkan tangannya di dinding dan menjarakkan kakinya dengan ibu jari kaki mengadap keluar. Ini meletakkan suspek pada posisi yang kurang selesa dan menghindarkannya dari melarikan diri.

2. "Adakah kamu membawa sebarang objek tajam?" Saya mendapati suspek tidak membawa sebarang objek tajam sebelum memberitahunya saya akan memulakan pencarian. Semasa melakukan pemeriksaan, saya terpaksa meletakkan lengan di belakang suspek dan lutut pada kaki suspek untuk memberi tekanan padanya dan mengekalkan kuasa.


3. Saya memulakan pemeriksaan dari bahu hingga ke kasut, memeriksa poket dan di tepi pakaian. Saya memeriksa satu sisi dan mengulang proses tersebut di sisi yang lagi satu. Proses ini memastikan saya tidak tertinggal apa-apa.

PEMERIKSAAN ATAS TANAH DAN PENANGKAPAN

1. "Mengadap dinding! Sekarang letak tangan kiri dibelakang." Saya mengarahkan suspek untuk baring dan alihkan mukanya dari saya, supaya dia tidak boleh lihat pergerakan saya seterusnya. Kemudian saya mengarahkannya meletakkan satu tangan dibelakang sementara saya bersedia dengan gari.

2. Saya menahan suspek dengan meletakkan beban saya pada belakangnya di dalam posisi melutut. Saya kemudiannya mengetatkan takuk pada gari di pergelangan tangan supaya mustahil untuk melepaskan diri.


3. Saya kemudiannya menggunakan satu kaki untuk melangkah di atas suspek sambil memusingkan suspek pada sisinya, kemudian ke posisi melutut supaya lehernya masih terkunci. Saya kemudiannya, melakukan pemeriksaan di sisi sebelah dan membalikkannya ke sisi sebelah lagi sambil mengulangi proses pemeriksaan.

 

Share this story:

Got a great story to share?
Send it our way — we might feature it!

Share Your Story