TERJUNAN PASUKAN SINGA MERAH TERBESAR DALAM NDP 2022
SERAMAI DUA PULUH EMPAT SINGA MERAH, TERMASUK TIGA AHLI PAYUNG TERJUN WANITA, AKAN MENYERTAI SAMBUTAN KEMERIAHAN HARI KEBANGSAAN TAHUN INI.
Di Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) ini, berikan tumpuan anda kepada 24 Singa Merah – pasukan terbesar dalam sejarah NDP – ketika mereka terjun di tiga tapak yang berbeza.
Pasukan ahli payung terjun elit yang merangkumi tiga anggota tentera wanita, merupakan satu lagi usaha yang pertama untuk NDP 2022.
Sejumlah 14 anggota Singa Merah akan mendarat di dua kawasan kejiranan pada 7 Ogos.
Tujuh ahli payung terjun akan mendarat di padang di sebelah Junction 8, Bishan, manakala sepasukan tujuh ahli lagi akan tampil di padang di sepanjang Jalan Buona Vista Utara, berhampiran Pasar Makanan Ghim Moh.
Menjelang 9 Ogos, 10 ahli payung terjun yang lain akan melakukan terjunan mereka di pentas utama di The Float @ Marina Bay.
Antara mereka adalah Pegawai Waran Kedua (2WO) Shirley Ng, Singa Merah wanita pertama yang membuat penampilan sulongnya semasa Hari Kebangsaan pada 2014 selepas terjunan pada 2013 dibatalkan disebabkan oleh keadaan cuaca buruk.
Pemasang payung terjun berusia 44 tahun itu adalah penerjun kesembilan yang mendarat di The Float tahun ini. Ini adalah terjunan keempatnya untuk NDP – selain menyertainya pada 2013 dan 2014, dia juga mengambil bahagian dalam terjunan di kawasan kejiranan di Sengkang pada 2020.
Anggota Singa Merah akan terjun dari pesawat pengangkut C-130 Hercules Tentera Udara Republik Singapura pada jarak ketinggian kurang daripada 10,000 kaki (kira-kira 3km).
Berkongsi tentang apa yang terlintas di fikirannya semasa menerjun, 2WO Ng berkata: "Baik daripada saat kami terjun dari pesawat sehingga keluar dan seterusnya menggerakkan kanopi saya, kesemuanya dirancang dan dilatih dengan teliti. Jadi saya amat berfokus pada persiapan saya.
"Tetapi semasa menerjun, saya berasa sangat teruja melihat warga Singapura mengibarkan bendera mereka dan bersorak untuk kami. Kami benar-benar boleh mendengar sorak-sorai anda semua, jadi teruskan sorakan untuk kami!"
Singa Merah wanita beraksi di langit biru
NDP 2022 juga amat bermakna bagi 2WO Ng kerana ini adalah kali pertama dia mengambil bahagian bersama dua rakan baiknya dan rakan Singa Merah, 3WO Shirley Wong dan 3WO Sandy Wong.
Kedua-dua wanita adalah penerjun keenam di kawasan kejiranan pada 7 Ogos – 3WO Shirley akan berada di Bishan manakala 3WO Sandy akan tampil di tapak Ghim Moh.
Sebagai peserta Singa Merah buat kali pertama, kedua-dua ahli payung terjun berasa amat berbesar hati dapat menganggotai NDP dan tidak sabar-sabar untuk membuat persembahan yang baik di kawasan kejiranan.
Ia juga merupakan detik yang menjadi kenangan manis bagi 3WO Shirley, yang berjaya mengatasi ketakutannya terhadap ketinggian untuk menjadi seorang ahli payung terjun pada 2008. Dia melakukannya semata-mata untuk menyertai 2WO Ng dan 3WO Sandy, yang masing-masing menjadi ahli paying terjun bebas bertauliah pada 2006 dan 2007.
Bukan mudah pada mulanya. "Saya pernah berasa sangat cemas tetapi saya cuba tumpukan pada latihan, kemahiran dan pelaksanaannya. (Begitulah) saya mula mengatasi ketakutan itu," kata 3WO Shirley.
Hari ini, pemasang payung terjun dan jurulatih Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) jelas telah mengatasi ketakutannya terhadap ketinggian. Dengan sejumlah 350 terjunan dalam gengamannya, 3WO Shirley kini menikmati setiap peluang yang diperoleh untuk melakukan terjun langit.
"Saya betul-betul berasa seronok (menerjun) sekarang. Sebaik sahaja saya terjun dari pesawat, saya hanya berfokus pada tugasan yang perlu dilaksanakan dan mendarat dengan selamat."
Membawa keceriaan ke kawasan kejiranan
Melalui latihan terjunannya di Bishan, 3WO Shirley berasa puas hati melihat orang ramai bersorak untuknya dan berasa teruja untuk beraksi pada 7 Ogos.
"Saya dapat melihat orang melambai ke arah kami melalui tingkap mereka dan memberi sorakan semasa kami mendarat. Ia benar-benar mendorong dan menyemarakkan semangat keyakinan diri kami."
Bagi 3WO Sandy, menjadi anggota Singa Merah adalah impiannya yang menjadi kenyataan.
Walaupun terpaksa melalui pelbagai sesi latihan dan praktis sebelum menerjun ke kawasan kejiranan, pemasang payung terjun dan jurulatih SAF menganggap semuanya berbaloi.
"Terjunan Singa Merah sentiasa menjadi salah satu segmen kegemaran NDP, dan tahun ini, saya berasa amat berbesar hati dan gembira dapat memainkan peranan saya untuk Singapura seiring dengan rakan-rakan saya. Saya hanya mahu membawa keceriaan dan keterujaan kepada warga Singapura," kata 3WO Sandy, yang kini telah menamatkan 417 terjunan.
Mengemudi rupa bumi di kawasan kejiranan
Mengetuai 3WO Sandy dan rakan sepasukannya di tapak Ghim Moh ialah Pegawai Waran Induk (MWO) Chong Boon Heng, 46.
Untuk terjunan di kawasan kejiranan, kedua-dua pasukan akan terjun dari pesawat pada ketinggian 6,000 kaki (kira-kira 1.8km) dan menggunakan payung terjun mereka pada ketinggian 4,000 kaki (kira-kira 1.2km). Mereka juga akan terjun bebas pada kelajuan 180kmj.
Sebelum terjun, pasukan Singa Merah akan meninjau kawasan terjun bebas untuk memantau dengan lebih mendalam tentang bangunan dan jalan raya.
"Terjunan kami dirancang dengan teliti dan kami telah melakukan semua persiapan yang diperlukan," kata MWO Chong. Seorang yang tidak asing dengan terjunan NDP, beliau telah mengambil bahagian sebagai anggota Singa Merah sebanyak lima kali sebelum ini, tetapi ini adalah terjunan pertamanya di kawasan kejiranan.
"Mungkin ada lebih banyak mercu tanda (berbanding The Float) yang perlu diambil perhatian tetapi yang penting sekali ialah sinergi yang sama semasa kami terjun sebagai satu pasukan."
3WO Kuldheep Singh, yang merupakan ahli payung terjun ketiga di tapak Bishan, berkongsi sentimen yang sama.
"Melakukan terjunan di kawasan kejiranan adalah agak mencabar kerana ia meliputi bentuk muka bumi yang baharu. Kami perlu memberi lebih perhatian terhadap bangunan dan trafik, oleh itu latihan kami melibatkan banyak praktis, taklimat keselamatan dan kontingensi," kata ahli payung terjun berusia 47 tahun itu, yang menyertai Singa Merah dalam NDP untuk kali pertama.
Bersedia untuk menyambut perayaan
Walaupun menghadapi cabaran, MWO Chong dan 3WO Singh bersedia dan teruja untuk terjun pada 7 Ogos.
"Ia setentunya detik yang paling membanggakan (bagi kami apabila menerjun sebagai anggota Singa Merah) kerana kami mewakili Singapura dan SAF, dan kami melakukannya demi negara," kata 3WO Singh.
Kata MWO Chong lagi: "Dengan membawa Singa Merah ke kawasan kejiranan, ia pasti mendekati kami dengan semua warga Singapura dan mereka boleh meraikannya bersama-sama kami.
"Kami tidak sabar untuk mendengar sorak-sorai orang ramai untuk kami, jadi jumpa anda pada 7 Ogos!"