PEOPLE
SEORANG KOMANDO TERLATIH SEAL & BEKAS ANGGOTA PASUKAN PAYUNG TERJUN RED LIONS
26 Jun 2020
Kariernya yang lama diwarnai pencapaian melayakkan diri sebagai komando, berlatih dengan Pasukan Tentera Laut, Udara, dan Darat (SEAL) Amerika Syarikat, dan menjadi anggota pasukan payung terjun Red Lions.
Kariernya yang lama diwarnai pencapaian melayakkan diri sebagai komando, berlatih dengan Pasukan Tentera Laut, Udara, dan Darat (SEAL) Amerika Syarikat, dan menjadi anggota pasukan payung terjun Red Lions.
Dan kini, Pegawai Waran Master (MWO) Maheswaran Franklin Miranda mengetuai WOSPEC (Pegawai Waran dan Pakar) sebagai Sarjan Mejar di dalam Divisyen 3 Singapura (3 Div).
Bayangkan dia sebenarnya tidak berminat dengan karier dalam Angkatan Bersenjata Singapura ketika mula masuk tentera pada 1996!
"Semasa saya mendaftar untuk Formasi Komando, saya memang tidak ada niat langsung untuk masuk tentera. Namun setelah setahun berada dalam latihan, pegawai pemerintah dan sarjan mejar kompeni memberi saya inspirasi.
"Tindak-tanduk mereka melambangkan keprofesionalan dan komitmen dalam memotivasikan keseluruhan kompeni kami di penilaian ATEC (Pusat Penilaian Latihan Tentera). Saya menghargai nilai-nilai yang dipegang oleh mereka dan berhasrat mencontohi mereka," kata anggota berusia 45 tahun itu.
Dia menyedari kedudukannya yang bertanggungjawab mempersiapkan pemimpin masa depan dan dia memikulnya dengan serius. "Saya ingin menginspirasi dan memimpin melalui tingkah laku saya. (Sebagai komander,) kami ingin menyampaikan ilmu kami kepada generasi seterusnya agar mereka boleh memperbaiki diri mereka dan menjadi lebih baik daripada kami."
Betul-betul garang
Salah satu daripada kemuncak karier MWO Maheswaran ialah semasa menamatkan kursus Navy SEAL Amerika Syarikat pada 2000 - kursus yang disifatkannya sebagai "salah satu kursus yang paling mencabar di dunia".
"Saya mempelajari ketahanan dan ketabahan - dalam keadaan yang mencabar dan sejuk, kami terpaksa melalui (dan lulus) pelbagai penilaian. Dari situ, saya memberitahu diri saya bahawa saya boleh mencapai apa sahaja, asalkan saya menghendakinya... Semuanya dalam minda kita."
Satu lagi kenangan manis ialah semasa dipilih sebagai anggota Red Lion dan membuat terjunan di NDP pada 2011 dan 2012.
"Ia merupakan impian setiap komando…(dan) saya bernasib baik kerana dipilih. Membuat terjunan sebagai anggota Red Lion di NDP merupakan pengalaman yang sangat istimewa, kerana setiap rakyat Singapura akan memberikan anda sorakan sebaik sahaja anda mendarat," dia mengimbau.
Bapa kepada dua orang anak ini menambah bahawa anak lelaki dan perempuannya, yang berumur 10 dan lapan tahun, mula menunjukkan minat dalam terjunan payung terjun setelah melihat aksi bapa mereka. Anak lelakinya juga mula menunjukkan minat dalam kerjanya, dan berharap dapat masuk tentera apabila dewasa kelak.
Menjadi mentor & menginspirasikan generasi akan datang
Menjelang 1 Jul, MWO Maheswaran akan dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Waran Kanan.
Sebagai Sarjan Major Div 3, dia bertanggungjawab melatih dan menjadi mentor kepada WOSPEC di bawahnya, memastikan mereka mematuhi standard tinggi disiplin dan regimentasi. Dia juga menyelia latihan bagi memastikan askar-askar komited dan cekap, serta mengekalkan kesediaan operasi mereka.
Apakah yang menjadikan seseorang itu askar yang bagus? Inilah pendapatnya: "Bertanggungjawab atas tindakan anda - inilah kualiti yang menjadi panduan saya. Jangan mengalah; berusaha membina kepercayaan antara ketua dan anggota; serta memanfaatkan kekuatan satu sama lain. Itulah caranya kita belajar dan menjadi lebih baik."
ALSO READ IN PEOPLE
Membawa kepakaran awam mereka untuk menyumbang lebih banyak dalam NS
22 Jan 2026
Pada 21 Januari, SAF mengalu-alukan kumpulan terbesar anggota NS atau NSmen yang menamatkan pengajian di bawah Skim Pengerahan Kepakaran Dipertingkat. Temui ME4 (NS) Muhammad Arief Aditya dan ME4 (NS) Mohamed Najid Bin Mohamed Sultan, yang merupakan antara pakar tentera yang baru dilantik ini.
Penjaga warisan
15 Dec 2025
Beliau membantu membina pesawat pertama RSAF. Beliau pula merupakan antara wanita pertama yang menyertai tentera laut. Beliau menguruskan krisis komunikasi ketika bunyi bip pager membawa masalah. Temui veteran-veteran ini yang melihat Singapura melalui zaman pergolakan untuk membina SAF yang kuat.
Bangkit mengatasi arus & melangkah ke hadapan untuk memimpin
13 Dec 2025
Mereka antara kumpulan graduan pegawai SAF yang terbaru tahun ini. Temui 2LT Mohamad Wira Kuriniawan dan 2LT Ryan Ong, yang masing-masing akan mengetuai Skuadron 180 Tentera Laut dan Batalion Pertama, Pengawal Singapura.

