OPS & TRAINING

RSN BERJAYA LANCAR TEMBAKAN PELURU BERPANDU HARPOON DI RIMPAC

21 Jul 2018

Di luar Lautan Pasifik pada 19 Jul, sebuah kapal yang mencurigakan telah dikesan di kaki langit. 

1_RIM_3524

// LAPORAN OLEH TEO JING TING

// GAMBAR OLEH CHAI SIAN LIANG DAN IHSAN RSN DARI PEARL HARBOUR, HAWAII


Peluru berpandu Harpoon sedang dilancarkan dari RSS Tenacious.
Peperangan tentera laut multinasional: (dari kiri) BAP Ferré Tentera Laut Peru, BRP Davao del Sur Tentera Laut Filipina dan RSS Tenacious RSN yang berlabuh di Pangkalan Bersama Pearl Harbour–Hickam sebelum fasa laut RIMPAC.
RSS Tenacious menjalani proses mengisi minyak oleh kapal pengisian semula
Helikopter tentera laut S-70B Seahawk berlepas untuk serangan waktu malam.
CPT Ong memeriksa kamera di bawah helikopter sebelum penerbangan.

Di luar Lautan Pasifik pada 19 Jul, sebuah kapal yang mencurigakan telah dikesan di kaki langit. 

Gagal menentukan tujuan kapal tersebut, RSS Tenacious menghantar isyarat kepada helikopter tentera laut Sikorsky S-70B Seahawk untuk meninjau lebih dekat. Selepas mengesahkan ianya kapal seteru, helikopter menghantar koordinat kapal kembali ke frigat. 

Sementara itu, RSS Tenacious riuh dengan aksi apabila anggota tentera laut di Pusat Maklumat Tempur (CIC) mengendalikan peluru berpandu permukaan ke permukaan dan menyasarkan kapal seteru.

Tidak lama kemudian, dua biji peluru berpandu telah dilancarkan, satu demi satu. Kedua-dua peluru berpandu itu mengenai kapal secara serentak, menghasilkan gelombang letupan tinggi di udara. 

Ini adalah salah satu daripada banyak senario yang dimainkan sepanjang 22 hari fasa di laut bagi Latihan Rim Pasifik (RIMPAC) dwitahunan.

Latihan maritim terbesar di dunia, yang telah bermula pada 27 Jun (waktu tempatan), menyaksikan penyertaan daripada 25 buah negara. Sejumlah 41 buah kapal, lima buah kapal selam, kira-kira 200 buah pesawat dan 25,000 kakitangan terlibat. 

RSS Tenacious iaitu frigat kelas mengagumkan milik Tentera Laut Republik Singapura (RSN) mengambil bahagian tahun ini di bawah lingkungan Pasukan Petugas Gabungan 176, yang mengawasi lima Kumpulan Petugas (TG). 

Frigat selinap adalah salah satu daripada empat komander unit petugas kami di bawah salah satu TG. Ia mengetuai lima buah kapal lain dari Australia, Malaysia, Peru, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) dalam "Expeditionary Strike Group" bagi menjalankan latihan bersiri dan senario berdasarkan misi dalam peperangan di laut. 

Sebagai tambahan, RSN memainkan peranan Komander Kumpulan Petugas, menerajui empat buah kapal – setiap satu dari Chile dan Peru, serta dua buah dari AS – dan juga helikopter dan pesawat dalam latihan peperangan anti-kapal selam. 

"Skala RIMPAC yang sangat besar akan menyediakan peluang kepadaRSS Tenacious untuk berlatih bersama-sama tentera laut yang terkemuka dalam beberapa siri peperangan di laut yang kompleks dan canggih. Di samping latihan, saya akan menantikan lebih banyak peluang di mana kami boleh menjalinkan ikatan persahabatan yang lebih erat, serta mengukuhkan saling boleh kendali dengan rakan tentera laut kami," tegas Komander Armada Laksamana Muda (RADM) Edwin Leong, yang memantau sesi tembakan sebenar peluru berpandu Harpoon di atas kapal RSS Tenacious.

Persediaan untuk latihan berskala besar bermula pada awal tahun, lima bulan sebelum frigat belayar, ujar Pegawai Pemerintah RSS Tenacious Leftenan Kolonel Lee Jan. 

Krew perlu menjalani latihan intensif bagi memantapkan kecekapan peperangan mereka sebelum latihan dijalankan. 

"Mereka juga melalui latihan tambahan bagi operasi penerbangan dengan helikopter tentera laut S-70B Seahawk, dan juga menggunakannya untuk operasi tentera laut," tambah anggota yang berusia 33 tahun itu.

Sebagai salah satu antara beberapa tentera laut yang tidak mempunyai sayap udara khas, adalah penting bahawa detasmen udara di atas kapal RSS Tenacious berfungsi dengan lancar bersama krew kapal untuk operasi laut-udara yang lancar. Helikopter tentera laut S-70B Seahawk dari Tentera Udara Republik Singapura menyediakan keupayaan jangkauan dan mengesan yang diperluaskan.

Ujar juruterbang helikopter tentera laut Mejar Lou Yang, 29 tahun: "Kami  belayar dengan krew ini selama setengah bulan pada bulan April, walaupun sebelum RIMPAC bermula. Terdapat banyak perkara yang baik dipelajari, cabaran diatasi dan perbincangan mandalam antara detasmen kapal dan udara. Apabila pelayaran dimulakan, hubungan kami menjadi bertambah rapat."

Apabila menyentuh tentang melepaskan tembakan peluru berpandu Harpoon pada sasaran menggunakan sensor helikopter tentera laut S-70B Seahawk – penyelarasan yang keta tantara frigat dan helikopter adalah sangat penting. Ini tugas yang dipikul oleh Kapten (CPT) Charisia Ong, 27 tahun.

Pegawai Penyelarasan Pesawat Taktikal (TACCO), CPT Ong bertindak sebagai jambatan di antara kedua-dua aset sambil memandu helikopter. Selepas menentukan kedudukan sasaran, beliau menghantar koordinatnya, arah laluan dan kelajuan kembali ke frigat.

"Saya perlu mengemaskini kedudukan ini secara berterusan kerana sasaran sentiasa berubah-ubah … untuk memastikan frigat menembak setepat yang boleh."

Ia mungkin berjauhan dari rumah selama tiga bulan, namun tempo misi kapal yang sentiasa berubah-ubah memastikan semua orang sentiasa berwaspada dan sedikit sebanyak menghilangkan perasaan kerinduan terhadap orang yang tersayang.

Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa Sarjan Ketiga (3SG) Tan Bin Qian menyertai latihan ini secara sukarela kerana beliau merasakan ia satu peluang baik untuk belajar dan berinteraksi dengan anggota tentera laut lain dari seluruh dunia.

Walaupun terlepas beberapa detik istimewa bersama keluarga seperti hari jadi beliau dan Hari Bapa, beliau tidak menyesal menjadi sebahagian daripada kerahan tugas tersebut. 

"Saya sangat berpuas hati setakat ini," ujar Pengendali Sistem Senjata yang berumur 20 tahun ini. "Saya terlibat dalam pengisian minyak kapal, sesuatu yang tidak pernah saya buat sebelum ini. Bila helikopter sedang dilancarkan, saya mengambil peranan pakar dek penerbangan dan membantu mengisi minyak helikopter. Jika terdapat sesi menembak, kami menyediakan senapang kami."

Apabila diminta untuk mengulas tentang penyertaan RSS Tenacious dalam latihan tersebut, Komander Armada Ketiga AS Laksamana Madya John Alexander menyatakan: "Latihan RIMPAC adalah peluang untuk menjalinkan hubungan dan perkongsian yang tidak ternilai harganya. Hubungan yang kami jalinkan di Singapura ini dan dengan banyak lagi pihak lain, akan membolehkan kami bekerjasama untuk menyediakan bantuan bencana, memerangi kegiatan lanun, atau menjalankan pelbagai jenis operasi luar jangka maritime apabila timbul keperluan."
Latihan RIMPAC tamat pada 2 Ogo.

Share this story:

Got a great story to share?
Send it our way — we might feature it!

Share Your Story