OPS & TRAINING
RSAF MENGASAH KEMAHIRAN PERTEMPURAN DI DARWIN
01 Aug 2018
It is the largest gathering of international air combat aircraft the region has ever seen.
Ia latihan terbesar bagi pesawat pertempuran udara antarabangsa di rantau ini. Walaupun pesawat-pesawat ini datang dari tentera udara yang berlainan, mereka beroperasi sebagai satu pasukan untuk menangkis sebarang ancaman tidak kira siang atau malam.
Latihan Pitch Black adalah salah satu latihan pertempuran udara multinasional terbesar di rantau ini. Ia menyaksikan penyertaan terbesarnya setakat tahun ini. Dihoskan oleh Tentera Udara Diraja Australia (RAAF), latihan itu diadakan dari 27 Julai hingga 17 Ogos di Pangkalan RAAF di Darwin dan Tindall, Australia.
Sejumlah 16 buah negara mengambil bahagian dengan pengerahan sehingga 140 buah pesawat dan sehingga 4,000 orang kakitangan. Negara-negara ini termasuklah Australia, Kanada, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, Belanda, New Zealand, Filipina, Korea Selatan, Sweden, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat (AS).
Latihan dwitahunan itu memperlihatkan tentera udara dari seluruh dunia beradu kekuatan kemahiran pertempuran udara mereka dengan ancaman simulasi dalam keadaan siang dan malam.
Tahun ini, Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) merupakan salah satu kontinjen dengan penyertaan terbanyak iaitu 330 orang kakitangan, lima buah jet F-15SG, enam buah jet F-16C/D, sebuah Pesawat Sistem Kawalan dan Amaran Udara Gulfstream 550 (G550-AEW) dan pesawat tangki minyak udara ke udara KC-135R. Jet F-16 juga akan menjatuhkan bom lengai GBU-49 semasa latihan.
Sebagai sebahagian daripada misi-misi berbilang hala, pesawat KC-135R RSAF akan melakukan latihan mengisi minyak dengan pesawat seperti F/A-18 dari Australia dan Rafale dari Perancis. Pesawat KC-135R dan jet-jet pejuang akan terbang dalam formasi dengan RAAF dan Tentera Udara AS sebagai sebahagian daripada terbang lintas hormat sepanjang Pantai Mindil pada 2 Ogos.
RSAF telah menyertai Latihan Pitch Black sejak tahun 1990. Latihan itu terus menjadi bahagian penting dalam latihan pertempuran udara RSAF, kata Pengarah Latihan Kolonel Aldrin Tan iaitu seorang juruterbang jet pejuang.
"Ia membolehkan krew udara kita untuk menyertai satu latihan berskala besar (dengan tentera udara lain) dan beroperasi dalam ruang udara yang 20 kali lebih luas dari ruang udara Singapura.
"(Dan) ia membolehkan krew udara kita untuk menyertai senario-senario operasi yang amat realistik di waktu siang dan malam, terbang di atas darat malah di atas air. Ini membuatkan latihan kami lebih banyak berkesan," kata lelaki yang berumur 40 tahun itu.
Peluang berlatih bersama dengan banyak pasukan udara lain juga tidak ternilai. "Kami beradu kekuatan kami dengan krew udara dari pelbagai negara yang semuanya mengendalikan pesawat (dan) menggunakan taktik berbeza. Berlatih dengan pelbagai pesawat dan taktik berbeza menjadikan kami lebih efektif serta lebih dapat menyesuaikan diri," kata Kolonel (COL) Tan.
Mejar (MAJ) Chia Chi Yu iaitu Pegawai Sistem Senjata di dalam F-15SG bersetuju: "Bekerja dengan kawan-kawan kita dari negara yang berbeza memberikan kita peluang untuk menanda aras diri kita dengan standard mereka."
Lelaki yang berumur 33 tahun itu menambah: "Jika kami perlu melakukan operasi-operasi pertempuran dengan mereka pada masa akan datang, ia akan menjadi satu peralihan yang lebih sempurna memandangkan kami pernah mempunyai pengalaman kerja dengan satu sama lain."
Persekitaran kerja berlainan ialah satu pembuka mata bagi banyak peserta termasuklah Pakar Tentera (ME) 2 Suresh a/l Segaram iaitu seorang Jurutera Tentera Udara yang terlibat dengan pesawat pejuang F-15SG.
Ketika di Singapura, dia dan krewnya sudah biasa mempersiapkan F-15SG untuk pelancaran dari hangar. Di sini, krew perlu beroperasi dari satu garisan penerbangan di mana pelbagai pesawat berbaris di sepanjang landasan kapal terbang dan mengambil giliran untuk berlepas.
"Pekerjaan saya adalah untuk memastikan krew selamat apabila pesawat bergerak perlahan-lahan untuk berlepas. Apabila anda melancarkan sebuah jet dari garisan penerbangan, anda perlu sedar dengan orang di sebelah anda dan memastikan bahawa dia tidak berlepas (pada masa yang sama) jika tidak anda akan dipukul oleh dentuman jet. Bekerja di sini telah meningkatkan kesedaran keadaan saya," kata lelaki yang berumur 36 tahun itu.
Dia menambah: "Bagi para junior, ia adalah satu pengalaman yang baik kerana mereka biasanya tidak beroperasi di satu garisan penerbangan melainkan mereka menjadi detasmen di luar negara."
Bagi Staf Sarjan (SSG) Kenneth Kee, ini ialah latihan paling tidak dapat dilupakannya sehingga kini. Pengendali Tangki Minyak (Boom Operator) KC-135R bekerjasama dengan jet pejuang Singapura dan negara lain untuk menjalankan pengisian minyak udara ke udara. Ini membolehkan pesawat terbang lebih jauh dan lama semasa misi.
"Ini adalah jumlah pesawat asing yang terbanyak pernah diisi minyak oleh saya. Saya perlu berinteraksi dengan tentera udara negara asing dan faham bagaimana mereka mengisi minyak. Sekarang saya lebih biasa dengan keperluan dan prosedur mereka," kata lelaki yang berumur 28 tahun itu yang menyertai latihan untuk kali kedua.
"Saya boleh nampak hubungan saling mempercayai antara tentera-tentera udara – kepercayan mereka terhadap kita dengan datang mengisi minyak dan kepercayaan kita terhadap mereka (untuk memerhatikan langkah-langkah keselamatan kita) supaya kita boleh memindahkan bahan api dengan selamat dan cekap."
ALSO READ IN OPS & TRAINING
LATIHAN WALLABY 2025: UNTUK MELIHAT LEBIH BAIK, MENEMBAK LEBIH PANTAS
31 Oct 2025
SAF memberi tumpuan kepada misi serang yang kompleks dan integrasi berbilang domain dalam Latihan Wallaby 2025, edisi ke-35 latihan luar negara unilateral terbesarnya.
EX WALLABY 25 – INTEGRASI DAN KOMPLEKSITI LEBIH HEBAT
25 Oct 2025
Edisi ke-35 latihan luar negara unilateral terbesar SAF adalah peluang untuk skala yang diperluas dan integrasi yang lebih mendalam ke arah pasukan pejuang yang berkesan dan berangkaian.
LATIHAN FORGING SABER MENINGKATKAN PENGGUNAAN ASET TANPA PEMANDU DALAM OPERASI SERANG BERSEPADU
12 Sep 2025
Dalam Latihan Forging Sabre edisi ke-10 ini, SAF mempertajam kelebihannya untuk medan perang moden yang dinamik, dengan integrasi yang diperluas antara platform berawak dan tanpa pemandu.










