PESERTA AMPUTASI DI KALANGAN 100 PESERTA YANG LENGKAPKAN CABARAN KECERGASAN HARI SAF
// KISAH KOH ENG BENG
// FOTO CHAI SIAN LIANG & IHSAN MEJ (NS) FUNG & ELXR
Walaupun hanya mempunyai satu kaki, ia tidak menjadi halangan bagi bekas anggota pasukan perkhidmatan negara komando James Leo, untuk menyertai cabaran kecergasan komuniti demi menyokong Hari SAF.
Beliau kehilangan kaki kanannya dalam kemalangan motosikal yang serius pada 2004, dan sejak itu Encik James Leo terpaksa memakai kaki prostetik untuk bergerak.
Walaupun kurang upaya, jurutera berusia 43 tahun itu melengkapkan cabaran kecergasan yang lasak untuk memberi sokongan pada Hari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada 1 Jul. Kesemuanya 100 angkat membongkok, 200 tekan tubi, 300 cangkung, dan 3.2 km mendayung dalam kurang dari dua jam!
"Saya jarang bersenam tetapi ini adalah Hari SAF dan saya mahu turun bersenam, semata-mata untuk memberi sokongan saya," kata Encik Leo, seorang Komando semasa tempoh Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NS)nya.
Beliau adalah di kalangan lebih daripada 100 anggota NS dan orang awam yang mengambil bahagian dalam cabaran kecergasan komuniti Red-X edisi Hari SAF yang sedang berlangsung.
Dalam cabaran kecergasan yang diadakan dari 1 hingga 14 Jul ini, para peserta perlu melengkapkan latihan bergelar Murph, yang diilhamkan oleh tentera– ia merangkumi larian 1.6km, 100 angkat membongkok, 200 tekan tubi, 300 cangkung, dan larian 1.6km yang lain dalam masa kurang dari dua jam.
Para peserta digalakkan untuk mengenakan pakaian bermotif ketenteraan atau ves pemberat untuk memaparkan sokongan mereka terhadap NS. Mereka juga boleh memilih untuk bersenam di mesin pendayung daripada berjalan.
Membina pergerakan sosial
Cabaran kecergasan ini dianjur oleh Mejar (MEJ) (NS) Steffan Fung, 41, pengasas ELXR, sebuah syarikat teknologi sukan yang mengendalikan platform sosial kecergasan.
Seorang bekas pegawai komando biasa, dia ingin membina pergerakan sosial untuk menyokong NS, di samping menggalakkan warga Singapura untuk menerapkan sifat kecergasan dalam gaya hidup mereka.
"Sekiranya semua anggota NS mengamalkan kecergasan sebagai suatu gaya hidup, kekal cergas sepanjang tahun, mereka boleh memberi tumpuan sepenuhnya pada latihan senjata dan taktikal semasa latihan dalam kem tahunan," kata MEJ (NS) Fung.
Menyokong industri kecergasan
Selain memberi sokongan kepada NS, MEJ (NS) Fung juga ingin membantu perniagaan gimnasium butik tempatan dalam masa pandemik COVID-19 yang mencabar ini. Melalui cabaran kecergasan ini, para pelanggan dapat mencuba kemudahan gimnasium, dan mungkin pertimbangkan untuk menyertai gim pada masa depan, ujarnya.
"Pertahanan Total bukan sahaja tentang tentera dan SAF; ia juga mempunyai kaitan dengan pertahanan ekonomi dan menyatupadukan masyarakat," kata MEJ (NS) Fung, yang bertugas sebagai Penolong Pemerintah Batalion, Batalion 716, Rejimen Infantri Singapura.
Syarikatnya ELXR adalah sebahagian daripada Community of Practice of NS Advocates yang menyokong NS dan Anggota Perkhidmatan Negara melalui inisiatif dari aras bawah. Majikan dan Anggota Perkhidmatan Negara mereka akan mengguna app kecergasan ELXR untuk mendaftar pelbagai program kecergasan, dan peroleh mata ganjaran yang dapat ditukar untuk baucar membeli-belah.
Salah seorang Anggota Perkhidmatan Negara yang menyertai cabaran kecergasan adalah rakannya Kapten (KPT) (NS) Patricvk Tan. Kedua-dua pegawai membentuk sebahagian daripada kumpulan Anggota Perkhidmatan Negara yang berlatih bersama-sama. Mereka menggelar diri mereka sebagai "Anggota Perkhidmatan Negara Lemah", gelaran yang mengecam diri mereka bagi mengingatkan diri supaya sentiasa cergas.
Menurut KPT Tan, mereka telah menjalani latihan Murph pada Hari SAF dua tahun yang lalu, sebelum MEJ (NS) Fung mengambil keputusan untuk mengubahnya kepada acara komuniti untuk semua warga Singapura tahun ini.
"Cabaran kecergasan ini merupakan suatu latihan yang baik, dan titik permulaan yang bagus bagi mereka yang ingin kekal cergas," kata pegawai logistik berusia 44 tahun atau S4 dari Batalion C4I. C4I merujuk kepada Perintah, Kawalan, Komunikasi, Komputer dan Perisikan.
Para peserta juga boleh pilih untuk melengkapkan cabaran ini secara maya di mana-mana tempat yang sesuai seperti taman kecergasan dari sekarang sehingga 14 Jul.
Ingin menyertai cabaran kecergasan? Kunjungi halaman Facebook ELXRuntuk mendapatkan maklumat pendaftaran!
Sementara itu, ketahui bagaimana Encik Leo mengatasi cabaran kecergasan: