PEOPLE

PASANGAN BAPA-ANAK MENJALANI PERKHIDMATAN NEGARA DI LATIHAN WALLABY

16 Oct 2023

Kali terakhir SLTC (NS) Daniel Lim menyertai latihan itu sebagai Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa adalah 30 tahun yang lalu. Kini, beliau kembali sebagai Anggota Perkhidmatan Negara bersama-sama anaknya yang mengikuti jejak langkahnya.

16oct23_news1_photo1

// KISAH THRINA THAM / FOTO CHAI SIAN LIANG & IKHSAN SLTC (NS) LIM


Kali terakhir SLTC (NS) Daniel Lim menyertai latihan itu sebagai Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa adalah 30 tahun yang lalu. Kini, beliau kembali sebagai Anggota Perkhidmatan Negara bersama-sama anaknya yang mengikuti jejak langkahnya.

Pasangan bapa-anak SLTC (NS) Lim (kiri) dan 3SG Lim menyertai Latihan Wallaby tahun ini di Australia.

Apabila Leftenan Kolonel Kanan (SLTC) (NS) Daniel Lim mendapat tahu tentang pengerahannya ke Latihan Wallaby (XWB) tahun ini, dia terpaksa merahsiakan berita itu daripada anaknya.

Hanya selepas Sarjan Ketiga (3SG) Dylan Lim mengetahui dia juga akan pergi dengan unitnya, barulah mereka mula merancang tentang keperluan yang harus dibawa bersama serta penyediaan untuk latihan itu.

"Saya memang sudah tahu awal tahun lepas. Tetapi saya terpaksa merahsiakannya kerana dia sepatutnya belum tahu," kongsi SLTC (NS) Lim, 49.

Sebagai Ketua Staf di Briged Infantri Singapura Ke-3, beliau bertanggungjawab merancang misi yang dijalankan oleh Batalion Ke-2, Rejimen Infantri Singapura (2 SIR) – unit anaknya – di XWB.

Latihan itu menandakan tembakan langsung sulung Kenderaan Sokongan Tempur Mortar Belrex Terlindung (PCSV) di Kawasan Latihan Shoalwater Bay, di Queensland, Australia, di mana XWB dijalankan.

3SG Lim ialah Mortar Ammo 2IC dari Mortar Belrex PCSV, yang melakukan tembakan langsung pertamanya di Kawasan Latihan Shoalwater Bay. [Imej: Ajay Prashad]

"Saya agak teruja mendapat tahu ayah saya akan ada bersama saya. Ia merupakan suatu pengalaman yang sangat unik dan saya berasa gembira kami dapat berkongsi pengalaman untuk bercerita apabila kami pulang ke rumah," kata 3SG Lim.

Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa yang berusia 20 tahun adalah Pegawai Bertugas (2IC) bagi 2 SIR.

Bagi Lim yang lebih tua, ia menimbulkan perasaan "bercampur baur", kerana kali terakhir beliau terlibat dalam XWB adalah sebagai Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa – hampir 30 tahun yang lalu.

"Berkhidmat dalam Perkhidmatan Negara bukan sahaja melibatkan anggota-anggotanya; malahan ahli keluarganya juga turut terlibat sama. Isteri saya berasa sangat selesa mengetahui kami akan menyertai XWB bersama-sama. Jadi saya rasa itu penting baginya," jelas bapa kepada tiga orang anak.

Peranan STLC (NS) Lim (kiri) adalah termasuk merancang misi di XWB, yang dijalankan oleh unit anaknya, 2 SIR.

Dulu berbanding sekarang

Walaupun mereka akan menyertai latihan bersama-sama, mereka terbang selang sehari. "Kami hantar (Dylan) dahulu kerana dia tiba di Australia sehari sebelum saya," kata SLTC (NS) Lim.

"Malangnya, saya yang tidak ada rombongan untuk menghantar saya," katanya sambil bergelak.

Nasihat kepada anaknya adalah termasuk menyuruh 3SG Lim membungkus butnya semasa tidur – supaya tidak terkejut melihat binatang merayap semasa memakai but pada waktu pagi!

"Saya memang ada penceroboh seperti itu di khemah saya," kata 3SG Lim. "Seekor lebah terbang masuk beg galas kawan saya dan ia membuat kecoh."

SLTC (NS) Lim (kanan) menasihatkan anaknya tentang persediaan latihan di Australia.

Ketika ditanya tentang perubahan yang paling ketara sepanjang tempoh latihan yang bertahun-tahun, SLTC (NS) Lim menyatakan aspek keselamatannya.

Semasa zaman latihannya, beliau menunggang motosikal. Kepulan-kepulan habuk daripada motosikal adalah sangat teruk sehingga beliau terpaksa menunggang berpandukan lampu belakang kenderaan di hadapannya.

Protokol keselamatan hari ini adalah lebih mantap, kata SLTC (NS) Lim. "Terdapat jarak keselamatan antara kenderaan yang harus diperhatikan; dan apabila kepulan-kepulan habuk mengaburkan penglihatan mereka, mereka disuruh berhenti seketika sehingga kepulan-kepulan itu reda."

SLTC (NS) Lim (kiri) menampalkan chevron pada pakaian seragam 3SG Lim semasa Perbarisan Tamat Pengajian Kadet Pakar pada November 2022.

Berkhidmat dalam Perkhidmatan Negara dengan penuh hati

Menurut 3SG Lim, selain XWB, ayah akan membimbingnya dalam menjalani Perkhidmatan Negaranya. Pertama, Lim yang lebih tua menggalakkan anaknya untuk berlatih menghadapi Ujian Kecekapan Jasmani Perseorangan (IPPT) sebelum mendaftar.

"Ia agak mencabar kerana sebelum mendaftar, saya tidak dapat melakukan satu tekan tubi pun," kata 3SG Lim.

"Tetapi dengan bimbingan ayah, saya belajar kaedahnya dan kemudian berlatih untuk melakukan dengan lebih banyak lagi. Sekarang, saya boleh melakukan 60 tekan tubi dalam satu minit untuk IPPT saya," kata 3SG Lim, yang juga memenangi hadiah Emas untuk ujian keseluruhan.

3SG Lim (kedua dari kanan) adalah yang sulung daripada tiga adik-beradik dalam keluarga Lim.

Sebelum ini, 3SG Lim tidak memahami tugasan Panglima yang digalas ayahnya semasa muda.

"Saya agak-agak tahu ayah memegang pangkat yang lebih tinggi kerana kami kadang-kadang dijemput ke kemnya untuk meraikan sesuatu," katanya sambil bergelak, merujuk kepada acara seperti Pertukaran Perintah ayahnya.

Bila disentuh tentang kenapa beliau masih berkhidmat sebagai askar simpanan dalam skim Perkhidmatan Simpanan Sukarela Lanjutan (atau ROVERS), SLTC (NS) Lim menjawab beliau membuat komitmen untuk berkhidmat dengan bersungguh-sungguh.

"Saya berpegang pada sikap ini apabila ia melibatkan Perkhidmatan Negara. Selagi saya masih mampu berkhidmat dengan sedaya upaya, saya akan teruskan selagi boleh, atau sehingga usia semakin meningkat," kata guru matematik sekolah rendah itu.

Sikap ini juga dipegang teguh oleh anak sulungnya.

3SG Lim berkata: "Saya ingin mencontohinya, iaitu semasa atau selepas tamatnya kitaran Perkhidmatan Negara, saya akan sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh."

Share this story:

Got a great story to share?
Send it our way — we might feature it!

Share Your Story