NDP 2018 TAMPILKAN TATU TENTERA TERBESAR DALAM SEJARAH
// Laporan Koh Eng Beng
// Gambar Chua Soon Lye
Perarakan Hari Kebangsaan (NDP) pada tahun ini menjanjikan sambutan yang lebih besar dan hebat!
Dengan persembahan tatu tentera dengan kekuatan 560 anggota, ia akan menjadi persembahan muzikal tentera terbesar yang akan dilangsungkan di The Float @ Marina Bay bagi NDP.
Skuad Latihan Ketepatan Pasukan Kadet Kebangsaan (NCC) dan band School Display akan membuat persembahan bersama-sama dengan Polis Tentera Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Band SAF dan Band Polis. Persembahan itu juga akan termasuk 18 pelajar dari sekolah pendidikan khas.
Di samping tatu tentera, perarakan akan terdiri daripada 33 kontinjen perbarisan, dan juga pasukan koir sekolah yang dianggotai oleh 220 pelajar – kegemaran ramai yang kembali selepas tidak beraksi selama lima tahun.
"Seluruh segmen perarakan dan majlis sambutan akan menyatukan lebih 2,600 peserta daripada pelbagai latar belakang kehidupan dalam perarakan tradisional dan unggul yang akan mewakili kita sebagai sebuah negara," ujar Pengerusi Jawatankuasa Perarakan dan Majlis, Leftenan Kolonel Kanan (SLTC) Kenneth Chiong, 41.
"Ia bermatlamat untuk menimbulkan rasa bangga dan keyakinan di kalangan warga Singapura, apabila kita dengan bangga memperingati kemerdekaan negara melalui satu perarakan yang jitu dan bermaruah," tambah SLTC Chiong.
Pesawat tentera vintaj dari Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) juga akan menghiburkan warga Singapura dengan mempersembahkan terbang lintas hormat di udara kea rah pelantar yang terapung.
Pada majlis itu juga akan terdapat persembaran udara yang dipertingkatkan yang menampilkan sehingga 21 pesawat dari RSAF. Pastikan untuk menyaksikan jet pejuang F-15SG – mempamerkan hiasan pesawat khas berwarna biru sebagai memperingati Ulangtahun RSAF yang ke-50 pada tahun ini – apabila ia membelah langit di kawasan Marina Bay dalam beberapa siri gerakan.
Warga Singapura juga menantikan elemen-elemen sambutan tradisional seperti Tabik Hormat Tembakan Meriam Presiden dan Terbang Lintas Hormat Bendera Negara.
Cabaran
Bagi Ketua Pegawai Waran (MWO) Sarjan Mejar Rejimen Perarakan Tay Ban Heng, tanggungjawab beliau melangkaui tugas memastikan perarakan berjalan dengan lancar – beliau juga dipertanggungjawabkan untuk memastikan keselamatan para peserta.
"Perkara ini penting terutamanya untuk peserta yang beragama Islam yang sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan," tegas MWO Tay, 44.
Kedua-dua MWO Tay dan Leftenan Kolonel Komander (LTC) Perarakan Shawn Ingkiriwang yakin akan berjaya membuat persembahan terbaik, dengan mengambil kira persiapan rapi yang telah dibuat bagi peranan dan tugas mereka. Mereka merupakan RSM perarakan simpanan dan komander bagi NDP pada tahun lepas.
Mereka telah menjalani latihan selama beberapa hujung minggu berturut-turut, sama seperti peserta NDP lain. "Ia merupakan satu pengorbanan bagi para peserta menjalani latihan setiap hujung minggu," ujar LTC Ingkiriwang.
"Masa berjauhan dari keluarga … sentiasa saat yang sukar," ujar anggota yang berumur 36 tahun ini yang juga seorang juruterbang pejuang.
"Namun terdapat seluruh kumpulan orang di belakang mereka (dan) saya ingin menyatakan penghargaan saya untuk keluarga setiap peserta yang tidak putus-putus memberikan sokongan padu."
Pengalaman sekali dalam sepanjang hayat
Bagi angora skuad latihan ketepatan senyap NCC, Sarjan Ketiga (3SG) (NCC) Nur Mufidah Bte Selamat dan 3SG (NCC) Vicky Soh, pengorbanan mereka selama ini mendatangkan hasil.
Menjelang 9 Ogos, mereka akan membuat persembahan bersama-sama dengan Polis Tentera SAF di hadapan penonton seramai 30,000 orang. "Ia adalah pengalaman sekali sepanjang hayat yang tidak akan dapat dilupakan," ujar 3SG (NCC) Nur Mufidah.
Ia akan menjadi persembahan di hadapan orang ramai berskala besar dan pastinya mereka berasa gementar secara semulajadi. Namun latihan bersama Polis Tentera SAF telah banyak membantu mereka. 3SG (NCC) Soh menyatakan: "Mereka meluangkan masa untuk mengajar dan berjenaka, semata-mata untuk membantu kami tidak menjadi begitu gemuruh."
Warga Singapura digalakkan untuk menyertai perbualan tentangNDP 2018 dengan menandakan gambar, ucapan tahniah, renungan dan kisah mereka pada kedua-dua platform media sosial peribadi dan juga NDP (@ndpeeps), dengan mengikuti hashtag berikut: #WeAreSingapore, #NDP2018 dan #NDP18