Finding their bearings amid choppy seas

https://www.defencepioneer.sg/images/default-source/_migrated_my/after-opening_visua0a58499f-a7ef-496c-93ac-8d5d7f5cb26d.jpg?sfvrsn=209cb3ac_2 https://www.defencepioneer.sg/pioneer-articles/MERAIKAN-SEMANGAT-SINGAPURA
https://www.defencepioneer.sg/pioneer-articles/MERAIKAN-SEMANGAT-SINGAPURA
MERAIKAN SEMANGAT SINGAPURA
01 Aug 2018 | COMMUNITY

MERAIKAN SEMANGAT SINGAPURA

PERARAKAN HARI KEBANGSAAN (NDP) TAHUN INI MERAIKAN KEKUATAN DAN KECEKALAN RAKYAT KITA.

atkala Singapura meraikan hari lahirnya yang ke-53, nilai-nilai seperti kekuatan dan ketahanan adalah lebih penting daripada sebelumnya apabila negara memasuki era cabaran baru. 

Potensi untuk menempa masa depan yang lebih cerah untuk negara adalah sangat besar - jika warga Singapura boleh kekal bersatu, berdaya usaha dan yang paling penting, membantu satu sama lain.

We Are Singapore (Kita Adalah Singapura) - tema NDP tahun ini, yang berkongsi nama dengan lagu klasik NDP, bermatlamat untuk mengingatkan warga Singapura tentang nilai-nilai generasi masa lalu dan bersama-sama mengatasi kesusahan. PIONEER membawakan lima kisah warga Singapura yang terus memainkan peranan mereka dalam menjadikan tanah air kita tempat yang lebih baik.

Mewujudkan Penyelesaian Mampan

  • Veerappan Swaminathan, 32, Pengasas Sustainable Living Lab
  • Farah Sanwari, 29, Pengarah Eksekutif
En Veerappan (kiri) dan Cik Farah membantu syarikat-syarikat dan pertubuhan awam menghasilkan penyelesaian dan produk yang mampan.

Mereka telah beralih dari mewujudkan Singapura yang lebih baik kepada mengubah dunia. En Veerappan dan Cik Farah adalah individu di sebalik Repair Kopitiam - kumpulan di mana sukarelawan terlatih mengajar penduduk membaiki perkakasan di rumah yang rosak seperti kipas, cerek dan seterika. Matlamat mereka adalah untuk memerangi budaya beli dan buang.

Jauh dari rumah, dua individu ini telah bekerjasama dengan Intel untuk melatih guru-guru sekolah vokasional di Indonesia untuk membina ladang ternakan pintar. Perusahaan sosial berorientasikan keuntungan yang membantu pertubuhan mewujudkan penyelesaian mampan, syarikat teknologi Sustainable Living Lab (SL2) telah dirujuk dan bekerjasama dengan syarikat-syarikat seperti Applied Materials dan Bosch.

Sukarelawan mengajar penduduk cara membaiki perkakasan mereka yang telah rosak. " Repair Kopitiam" membantu memerangi budaya "beli dan buang".

"Jika anda boleh menggunakan bakat anda untuk mengendalikan isu-isu yang penting dan juga memberi rezeki, mengapa tidak?" ujar En Veerappan, yang memegang ijazah kejuruteraan mekanikal. Beliau memulakan SL2 sebagai kelab pelajar di universiti, sebelum menjadikannya satu perniagaan pada tahun 2012.

Cik Farah ialah seorang sukarelawan yang kemudiannya menyertai pasukan sebagai pereka produk. Kini, beliau bertanggungjawab terhadap operasi harian syarikat dan juga pengembangan operasi di Indonesia. 

Pembina ekosistem

"Anda boleh memanggil kami pembina ekosistem bagi kemampanan," tegas Cik Farah. Penyelesaian atau produk mampan ialah sesuatu yang memenuhi tujuan sosial, menyebabkan budaya minimum kepada persekitaran dan mempunyai daya maju komersial, jelas beliau. 

Contohnya ialah ladang hidroponik atas bumbung mereka yang akan datang, yang akan boleh digunakan menjelang penghujung tahun ini. Bertempat di United World College South East Asia (Kampus Timur), ladang berukuran 10,000 kaki persegi (lebih kurang 930 meter persegi) ini akan menghasilkan tanaman yang akan dijual kepada pengendali kantin sekolah. 

"Masalah dengan ladang hidroponik ini adalah ia bergelut untuk menemui pembeli bagi hasil keluarannya. Apa yang telah kami lakukan ialah mewujudkan sistem gelung tertutup - dengan memeterai kontrak dengan pengendali kantin yang akan membeli semua hasil keluaran," ujar En Veerappan. Jika perniagaan ladang prototaip ini berjaya, mereka merancang untuk memperkenalkannya di seluruh Singapura. 

Membanggakan Singapura

En Veerappan dan Cik Farah juga tidak sabar menantikan Sukan Paralimpik Musim Panas Tokyo pada tahun 2020, di mana minuman berbotol baru - yang menampilkan tudung mesra orang kurang upaya dan warga emas - akan dilancarkan.

Nippon Closures, sebuah syarikat Jepun yang mengeluarkan tudung botol, mentauliahkan SL2 untuk mencipta reka bentuk tudung baru untuk warga emas. Dua pasukan itu mengumpul pereka, dan juga pakar mengenai warga emas dan orang kurang upaya, bagi menghasilkan lima prototaip, yang kemudiannya diuji oleh penduduk di Tampines. 

Mereka berbangga kerana dapat menyumbang kepada penyelesaian mampan di Singapura dan merentasi Asia. "Saya bersyukur dan dirahmati kerana lahir di sini," ujar Cik Farah. "Singapura boleh menjadi hab untuk kemampanan; ia memiliki infrastruktur yang bagus, undang-undang yang telah mantap dan peluang pembiayaan."

En Veerappan berharap lebih ramai warga Singapura akan menghayati kemampanan. 

"Kemampanan ialah perniagaan jangka panjang. Kesan bersih terhadap apa sahaja yang kita lakukan untuk Singapura dan seluruh Asia tidak akan dilihat sehingga lebih lama kemudian. Kita perlu berfikir jangka panjang dan tidak terpengaruh dengan faedah jangka pendek." 

 


 

Harapan Berinspirasi

  • Hitesh Ramchandani, 26, penceramah motivasu dan bekas pemain bola sepak palsi serebrum kebangsaan
Penceramah motivasi En Ramchandani menggunakan kisah kehidupan beliau untuk memberi inspirasi dan membantu orang yang sedang bergelut dengan kehidupan.

Di sekolah, tiada siapa mahukan beliau dalam pasukan bola sepak kerana bimbang dia akan memperlahankan rentak permainan mereka.

"Saya akan menjadi orang terakhir yang dipilih dan mereka enggan memberi bola kepada saya," ujar En Ramchandani. Beliau telah dilahirkan dengan penyakit palsi serebrum, keadaan otak yang menjejaskan pergerakan dan pertuturannya.

Namun begitu, sejak itu, beliau telah dipilih untuk mewakili Singapura dalam kejohanan bola sepak, memenangi pingat Perak pada Sukan Para ASEAN 2013 dan pingat Gangsa dalam edisi 2015. "Ia seperti mimpi menjadi kenyataan. Tidak pernah terlintas saya dapat mewakili negara saya."

Sokongan keluarga

Ketika membesar, doktor menyatakan beliau mungkin tidak mampu untuk berjalan sendiri. Namun bapa beliau nekad untuk melatih beliau untuk berjalan dan melarang penggunaan kerusi roda di rumah. 

Akhirnya, otot-otot beliau menjadi kuat, malah beliau belajar berenang, bermain kasut lereng dan berbasikal.

Sewaktu zaman remajanya, beliau menyertai sepupu beliau Vicky Vaswani untuk permainan bola sepak setiap Ahad. Walaupun menjadi orang pertama tiba dan terakhir meninggalkan padang, beliau hanya dibenarkan bermain selama 10 hingga 15 minit.

En Vaswani masih mengingati En Ramchandani yang kecewa menjerit: "Terdapat pemain yang bermain lebih teruk daripada saya, tetapi oleh kerana mereka 'normal', anda membiarkan mereka bermain. Ia tidak adil!"

En Ramchandani (barisan belakang, pertama dari kiri) ialah sebahagian daripada pasukan bola sepak palsi serebrum kebangsaan yang telah memenangi pingat Gangsa pada sukan Para ASEAN 2015.

Kemudian, En Vaswani mengemukakan cadangan luar biasa: mengapa tidak mencuba nasib dengan pasukan Paralimpik. Hujung minggu berikutnya, En Ramachandani menjalani latihan pemilihan untuk pasukan bola sepak palsi serebrum kebangsaan; beliau telah dipilih dan peristiwa itu kekal dalam lipatan sejarah.

Berceramah di pentas

Hari ini, beliau adalah penceramah motivasi yang telah memberikan ceramah di India, Malaysia dan Amerika Syarikat (AS). Berceramah tentang topik seperti ketahanan mental dan kepimpinan peribadi, beliau menggunakan kisah kehidupan beliau untuk membantu orang yang sedang bergelut dengan kehidupan. 

Perjalanan beliau dalam menjadi seorang penceramah adalah kisah inspirasi beliau sendiri.

En Ramchandani pernah mengalami serangan gugup semasa pembentangan di sekolah. Dan apabila En Vaswani, yang kini berkhidmat sebagai pengurus beliau, menggalakkan beliau untuk menyertai kelab Toastmaster untuk membina keyakinan, beliau berlari keluar dari bilik semasa sesi pertama beliau.

"Saya bimbang orang akan ketawa pada cara saya bercakap dan menilai penampilan saya," ujar En Ramchandani. Selepas menjalani latihan, beliau mula bercakap dengan dua orang, kemudian empat dan akhirnya ratusan orang.

Pada tahun 2015, beliau telah dijemput untuk berucap di hadapan hampir 1,000 orang di Orlando, Amerika Syarikat. En Ramchandani telah dipilih sebagai penceramah terbaik dalam kalangan 45 peserta dari seluruh dunia.

Beliau sering berulang-alik antara Singapura dan India kerana dipanggil untuk berceramah dan perjalanan yang kerap itu telah menjadikan beliau menyedari betapa banyaknya beliau menghargai tanah airnya.

"Menjadi warga Singapura bermakna segala-galanya buat saya," ujar beliau. "Saya sangat rindukan Singapura - ibu bapa saya, rakan-rakan saya dan makanan."

Ditanya apakah satu pengajaran yang beliau berhasrat untuk kongsikan dengan warga Singapura, beliau menyatakan: "Tanpa mengira apa sahaja yang berlaku dalam kehidupan, jangan sekali-kali berputus asa. Menjadi lebih "garang" (perkataan bahasa Melayu untuk menunjukkan sifat garang atau berani seseorang)! Kita mesti mempunyai kekuatan untuk memperjuangkan impian kita tanpa rasa takut."

 


 

Prihatin untuk Warga Tua

  • Gillian Tee, 36, Ketua Pegawai Eksekutif Homage
  • Lily Phang, 44, Ketua Pegawai Operasi
Cik Phang (kiri) dan Cik Tee adalah pengasas bersama Homage, satu aplikasi yang membantu orang Singapura menemui penjagaan profesional untuk warga emas.

Kebanyakan orang mengharapkan rehat yang bagus di rumah selepas berada lama di pejabat, namun ini jarang dinikmati oleh Cik Tan (bukan nama sebenar). Beliau perlu membahagikan masa bekerja dan juga menjaga sendiri ibu beliau yang sudah lanjut usia yang menghidap penyakit demensia.

Keadaan tersebut sangat memberi kesan kepada Cik Tan, dari segi fizikal dan juga emosi, sehingga beliau menemui Homage, aplikasi yang menghubungkan beliau dengan penjaga profesional. 

Kini, seorang penjaga datang pada waktu siang untuk menjaga ibu beliau, manakala Cik Tan keluar bekerja. Ini merupakan keluarga biasa yang Cik Tee dan Cik Phang telah memberi bantuan melalui syarikat teknologi mereka iaitu Homage. 

Seperti Grab untuk penjagaa warga emas, ia memadankan penjaga yang sesuai dengan warga emas yang perlu bantuan. "Kami mahu meningkatkan kualiti kehidupan mereka di rumah mereka sendiri," ujar pengasas bersama Homage iaitu Cik Tee. 

"Ia juga tentang menyediakan tempoh rehat untuk penjaga dalam keluarga," tambah gadis yang berumur 36 tahun itu. "Berehat membolehkan mereka pergi lebih jauh. Jika anda tidak boleh menjaga diri sendiri, anda tidak mampu untuk menjaga orang lain."

Membalas jasa

Bagi Cik Tee, Homage ialah penghormatan kepada mereka yang telah menjaganya. 

Pengasuhnya telah membesarkan beliau sehingga beliau berusia 10 tahun, manakala nenek sebelah ibu beliau menjaga beliau apabila ibu bapa beliau bercerai.

Sebelum memulakan Homage, Cik Tee telah berpangkalan di New York dan Silicon Valley. Beliau adalah pengasas bersama syarikat baru mula yang membantu orang ramai menjimatkan kos perjalanan, yang berjaya mengumpul pembiayaan sebanyak AS$18 juta ($25 juta).

Sekembalinya beliau dari sana, beliau mengenali Cik Phang, bekas eksekutif penjagaan kesihatan, yang berkongsi visi beliau menggunakan teknologi untuk mendayakan penjagaan warga emas yang lebih baik.

Sejak pelancarannya pada tahun 2016, Homage telah mengambil berkhidmat lebih 500 penjaga dan menyediakan lebih daripada 100,000 jam perkhidmatan.

Semua penjaga adalah warga negara Singapura dan penduduk tetap yang menjalani latihan dari sekolah yang diperakui oleh Agency for Integrated Care (Agensi Penjagaan Bersepadu).

"Mampu bertutur dalam bahasa yang sama (seperti warga tua) adalah penting. Penjaga kami bukan sahaja membantu dengan keperluan fizikal dan perubatan mereka, malah memberikan penjagaan emosi," jelas Cik Tee.

Bersedia untuk populasi warga emas

Penjaga-penjaga ini datang dari pelbagai lapisan masyarakat - sesetengahnya adalah pekerja bebas sepenuh masa, manakala yang lain bekerja sepenuh masa dan berkhidmat sebagai penjaga pada waktu malam atau hujung minggu. Ramai yang agak muda, dengan lebih daripada 70 peratus berusia di antara 20 dan 40 tahun.

Cik Tee berharap Homage akan menarik lebih ramai anak muda kepada kerjaya tersebut dan meluaskan kumpulan penjaga untuk populasi warga emas Singapura.

Homage menghubungkan penjaga profesional dengan warga emas yang perlu bantuan.

"Kami mahu mendidik orang ramai untuk mengetahui apa yang terlibat dalam penjagaan. Anda boleh mula dengan bersifat sedikit lebih penyayang dengan ibu bapa anda yang masih sihat."

Pada bulan lalu, Homage telah menerima $4.15 juta pembiayaan baru daripada pelabur untuk pengembangan. Pembiayaan itu akan digunakan untuk meningkatkan latihan untuk penjaganya dan memasuki pasaran asing baru.

Bagi Cik Tee, NDP yang akan datang adalah satu peringatan bahawa walaupun Singapura sebuah negara kecil, masih terdapat banyak lagi perkara yang boleh dilakukan oleh orang Singapura. Menggunakan Homage sebagai contoh, beliau menyatakan: "Dengan hanya kumpulan kecil 500 penjaga, kami membawa perubahan kepada ramai orang dengan membantu mereka hidup berdikari."

"Harapan saya untuk warga Singapura adalah untuk mengambil lebih risiko, membina inovasi yang mempunyai elemen insan dan menyelesaikan masalah masyarakat dalam cara yang belum pernah dilakukan sebelum ini."

 


 

Menceritakan Kisah Warisan

  • 2SG (NS) Ng Kaiyuan, 25, Pengasas Bersama, Our Grandfather Story (Kisah Datuk Kami)
(Dari kiri) 2SG (NS) Ng, bersama ahli pasukan, Cik Chong Kaiyan, 24, Cik Nelia Phoon, 23, dan Cik Amrit Kau Jastol, 25.

Bagaimana snek sekolah lama seperti roti aiskrim pelangi dibuat? Bagaimana tukang tempatan terakhir seperti pengasah pisau dan tukang kayu memastikan perniagaan mereka berpanjangan? 

Mungkin hanya generasi lama arif dengan jawapannya. Namun hasil daripada beberapa siri video mini yang dikeluarkan oleh penerbit digital Our Grandfather Story, lebih ramai warga muda Singapura kini tahu tentang warisan mereka. 

Our Grandfather Story mendokumenkan warisan Singapura melalui makanan, tradisi dan rakyatnya.  Ia telah dimulakan oleh empat pelajar - Sarjan Kedua (2SG) (NS) Ng, Cik Carine Tan, 27, 3SG (NS) Matthew Chew, 25, dan Cik Cheah Wenqi, 23 - sebagai sebahagian daripada tugasan sekolah dua tahun lalu. Video pertama mereka, yang menampilkan roti aiskrim merah jambu dan hijau dari Jackson Bakery & Confectionery di Bedok, di mana lebih 150,000 orang telah menontonnya di Facebook dalam seminggu.

Kejayaan awal itu membuka jalan untuk mereka menukar idea kepada permulaan perniagaan. Mereka telah meneruskan langkah dengan menghasilkan lebih 150 video dan mendapat lebih daripada 76,000 pengikut di halaman Facebook mereka.

Syarikat permulaan itu sekarang mempunyai tujuh orang ahli dan mereka telah meluaskan koleksi mereka, menceritakan kisah orang Singapura setiap hari.

Salah satu video tumpuan terkini mereka? Satu klip tentang seorang makcik (wanita pada usia pertengahan atau wanita Melayu yang telah lanjut usia) yang membuat perjalanan dari Sengkang ke Kranji semata-mata untuk menikmati makan tengah hari bersama suami beliau di tempat kerja. Video tersebut telah mendapat lebih daripada dua juta tontonan.

Kandungan bersaiz kecil 

Golongan sasaran mereka kebanyakannya orang muda, yang dikenali mempunyai tempoh perhatian yang singkat, jadi pasukan menumpukan pada menghasilkan dokumentari bersaiz kecil, jelas 2SG (NS) Ng, Pembantu Komander Platun Mortar dari Batalion 922, Rejimen Infantri Singapura.

"Kami (berusaha mencari) jalan untuk menarik minat mereka, untuk mendapatkan tiga minit dari masa mereka untuk menonton video … Berbanding cuma memberitahu, 'oh, makanan ini sangat enak,' kami membincangkan tentang sejarah di sebalik hidangan itu. Jika ianya tentang tempat yang akan dimusnahkan, kami bertanya apakah kisah di sebaliknya."

"Ianya benar-benar tentang menerokai dan memberitahu orang ramai tentang Singapura dalam cara yang lebih santai." Pasukan juga merancang untuk memberitahu lebih banyak kisah warisan di luar talian melalui acara-acara yang dianjurkan. Terdahulu pada bulan Mei, Our Grandfather Story menganjurkan rumah terbuka di kedai mama di Geylang yang telah ditutup setelah beroperasi selama 70 tahun.

Identiti Singapura

Bagi pengasas bersama Cik Cheah, motivasi beliau adalah untuk memelihara memori Singapura. "Saya membesar pada zaman di mana Singapura sentiasa berubah-ubah. Banyak perkara dan landskap yang saya lihat sebagai kanak-kanak telah berubah, jadi saya rasa perlu untuk mengabadikan detik, perniagaan dan tempat ini sebelum ia berubah lagi," jelas beliau.

Rakan pengasas bersama Cik Tan menyatakan bahawa walaupun generasi muda mungkin tidak melalui pengalaman seperti perang, tinggal di kampung atau menggunakan alat keloi, Our Grandfather Story boleh membantu "memindahkan nilai-nilai baik generasi lama kepada generasi baru, serta terus menulis kisah Singapura dengan hubungan mendalam dengan asal usul kita ". 

(Ikut arah jam dari kiri) 3SG (NS) Chew, Cik Tan, 2SG (NS) Ng, Cik Cheah, Cik Amrit dan Cik Chong. Mereka menghasilkan dokumentari bersaiz kecil mengenai warisan Singapura.

2SG (NS) Ng bersetuju bahawa video mereka akan membantu mengukuhkan identiti Singapura. "Apabila kami membuat kisah-kisah ini, kami mendapati ia lebih banyak menyentuh tentang warisan kita... Saya menyedari bahawa saya banyak lagi yang saya tidak tahu tentang budaya yang berbeza di Singapura. Latar belakang kita sangat luas, namun kita semua hidup bersama dan memanggil diri kita semua orang Singapura." 

Tambah beliau: "Saya harap Singapura akan mengekalkan keamanan dan kestabilannya. Kita perlu lebih lagi memahami antara satu sama lain. Pemahaman inilah yang menyatukan negara."

 


 

Meningkatkan Kehidupan

  • 2SG (NS) Richardo Chua, 36 tahun, Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan, Adrenalin Group
2SG (NS) Chua (tengah) bersama staf beliau, Cik Chua (kiri) yang tiga jari kakinya telah dipotong disebabkan oleh penyakit kencing manis, manakala En Quek terpaksa menggunakan kerusi roda selepas diserang strok.

Sepuluh tahun lalu, beliau berhenti bekerja dari sebuah agensi kerja dengan gaji lumayan untuk memulakan syarikat acara miliknya sendiri.  2SG (NS) Chua, yang memiliki ijazah pengajian komunikasi, yang pada waktu tidak menerima bayaran gaji selama 18 bulan. 

Hari ini, Adrenalin telah berkembang dari pasukan seramai empat kepada 28 staf. Kebanyakan orang akan menjangkakan beliau menikmati pendapatan yang sangat lumayan. Namun bagi Jurumudi Syarikat berumur 36 tahun di Ibu Pejabat Perintah Sokongan Divisyen ke-3 ini, hanya berpendapatan bulanan sebanyak $2,700. Lapan puluh peratus daripada stafnya menerima gaji yang lebih besar daripada beliau.

2SG (NS) Chua memulakan syarikat beliau sebagai sebuah perusahaan sosial, bagi membantu remaja yang berisiko dan orang kurang upaya. Mereka membentuk kira-kira 30 peratus daripada staf beliau.

Bagi beliau, kebajikan staf beliau menjadi keutamaan. "Penting warga kerja kita mendapat gaji yang setimpal, sebelum pihak pengurusan memberi ganjaran kepada diri mereka sendiri. Perkara itu menjadi prinsip panduan saya sepanjang 10 tahun yang lalu."

Peluang untuk berkembang

Semasa temuramah, 2SG (NS) Chua bercakap dengan penuh kasih sayang tentang dua orang staf kurang upaya yang telah berkembang bersama syarikat.

Staf pertama ialah En Michael Quek, 53, yang menguruskan perkhidmatan gerai gambar Adrenalin. Beliau mengalami strok pada tahun 2005, menyebabkan beliau terpaksa menggunakan kerusi roda. Selepas lengan kanan beliau tidak berfungsi, beliau tidak dapat lagi bekerja sebagai juruelektrik.
Selepas itu beliau mengambil kursus IT asas untuk menguasai kemahiran baru. Namun sebagai seorang tanpa pengalaman kerja dan yang hanya boleh menggunakan tangan kiri, tidak mudah bagi beliau untuk mendapatkan pekerjaan.

2SG (NS) Chua menaruh keyakinan yang tinggi, mengambil beliau bekerja sebagai pereka grafik pada tahun 2010.

Di ambil bekerja memberikan keyakinan yang tinggi buat En Quek. Beliau mengimbas kembali dengan bangga hasil kerja pertama beliau iaitu poster dan latar belakang bagi acara hari keluarga di Sentosa, telah dilihat oleh ribuan orang. 

"Ia memberikan inspirasi kepada saya untuk terus melangkah ke hadapan," ujar En Quek, yang sejak itu beliau telah dapat menggunakan semula 40 peratus anggota kanannya. Di sepanjang lapan tahun yang lalu, beliau telah diberikan lebih banyak tanggungjawab secara beransur-ansur. Dari mereka grafik kepada menyunting gambar di pejabat, En Quek kini berhubung dengan pelanggan dan menguruskan gerai gambar semasa acara. 

Di samping itu dalam kalangan staf 2SG (NS) Chua ialah Cik Jane Chua, 52 tahun, yang telah menyertai syarikat pada tahun lalu sebagai Pembantu Eksekutif. Sebelum itu beliau bekerja dalam industri makanan dan minuman, tetapi terpaksa berhenti kerja selepas tiga jari kaki beliau dipotong pada tahun 2014 disebabkan oleh penyakit kencing manis.

"Namun sekarang, saya mempunyai seorang bos dan rakan kerja yang bagus yang membantu saya," ujar Cik Chua. 2SG (NS) Chua menambah: "Di sepanjang 18 bulan yang lalu, Jane telah beralih dari satu skop kerja kepada tiga skop kerja. Kami meluaskannya untuk membantu beliau berkembang dan membayar kerja lebih masa yang lebih banyak. Prestasi beliau sangat mantap."

Menangani cabaran

Kehidupan sebagai seorang usahawan sosial bukan selalu indah. 2SG (NS) Chua juga telah mengalami pelbagai bentuk cabaran. "Kami bermula dengan niat untuk membantu orang muda yang bermasalah atau remaja yang berisiko namun kami telah mencapai kejayaan yang terhad sepanjang tahun-tahun tersebut," he said.

Syarikat telah mengambil bekerja lebih kurang 20 remaja yang bermasalah dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu, dari rumah-rumah persinggahan atau pertubuhan komuniti. Kebanyakan daripada remaja ini bertahan hanya beberapa bulan malah beberapa hari sahaja. 

"Malah ada yang langsung tidak datang untuk bekerja!" 2SG (NS) Chua mengimbas kembali. Walaupun berhadapan dengan cabaran tersebut, beliau tidak berputus asa.

"Hari ini, jika saya boleh mempengaruhi anak muda atau gadis, luangkan masa bersama mereka selama tiga hingga enam bulan dan bantu mereka mempelajari kemahiran, saya takrifkan ia sebagai 'baik'."

Memandang ke hadapan

Adrenalin meraikan ulang tahunnya yang ke-10 tahun ini, tetapi 2SG (NS) Chua banyak menumpukan pada masa depan. Lagi pun, beliau bertanggungjawab terhadap kehidupan hampir 30 orang.

"Sekarang kami perlu merancang cara kami boleh beralih dari keadaan mampan kepada berjaya - perkara ini akan menjadi rancangan kami untuk sepuluh tahun yang akan datang," tegas beliau.

Bagi beliau, memikirkan tentang masa depan ialah sebahagian daripada DNA Singapura. " Apa maksudnya menjadi warga Singapura kepada saya ialah sebuah perjalanan tanpa henti yang mencuba membantu masa depan," ujar beliau. 

"Ianya satu keajaiban dalam 53 tahun, kita telah mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan... Kita telah membina sebuah negara yang boleh menjaga rakyatnya dan saya rasa bangga menjadi sebahagian daripada perjalanan ini."

 


 

5 perkara untuk disaksikan pada NDP 2018

Berikut adalah ringkasan bagi sorotan perarakan tahun ini!

1. Persembahan di udara

Pesawat dari Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) akan memukau warga Singapura dengan membuat terbang lintas hormat udara ke arah pelantar terapun. Terdapat juga persembahan di udara yang menampilkan sehingga 21 pesawat RSAF. Pastikan anda tidak terlepas untuk menyaksikan jet pejuang F-15SG, yang menampilkan hiasan biru khas pada badan pesawat bersempenan dengan ulang tahun RSAF yang ke-50 tahun ini.

2. Terjunan air jatuh bebas

Bukan sahaja "Singa Merah" akan menyerlah tahun ini - buat kali pertama, lapan penyelam dari Unit Selam Tentera Laut akan membuat persembahan lompatan air jatuh bebas. Membawa peralatan sehingga 50kg, mereka akan terjun dari sebuah helikopter dari ketinggian 6,000 kaki untuk mendarat dalam air di sekitar The Float @ Marina Bay.

3. Gabungan koir sekolah

Kegemaran penonton iaitu gabungan pasukan koir sekolah seramai 220 pelajar akan kembali selepas lima tahun tidak membuat persembahan di NDP.

4. Persembahan tatu tentera terbesar

Perarakan tersebut akan menampilkan pasukan tatu tentera seramai 560 anggota - persembahan muzikal tentera terbesar yang akan dilangsungkan di The Float @ Marina Bay untuk NDP.

Polis Tentera Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Band SAF dan Band Polis akan membuat persembahan dengan skuad National Cadet Corps Precision Drill dan band School Display.

5. Perarakan air

Buat kali pertama, perarakan 18 buah kapal yang terdiri daripada bot dan kereta berhias menyala akan belayar sekitar Marina Bay semasa NDP, membawa majlis keraian dekat dengan hadirin di kawasan tersebut. Saksikan model kereta berhias bersempena dengan taman permainan tempat yang ikonik! 

Menangi pek hadiah NDP!

Pek hadiah NDP 2018 tahun ini dipersembahkan dalam 18 reka bentuk unik dan kami mempunyai 10 pek untuk dihadiahkan. 

Untuk peluang menang salah satu daripadanya, sila lungsuri www.mindef.gov.sg/pnr/contest selewat-lewatnya pada 11 Ogos dan beritahu kami apakah maksud semangat Singapura kepada anda! 

Suggested Reading
04sep24_news1_photo0
Cover story
Tekong – Rumah Dapur OG
COMMUNITY
01 Aug 2018

Bagaimana makanan di rumah dapur Pulau Tekong apabila dibandingkan dengan kem lain? Kami menyiasat.

Feature
Dari Pantai ke Pantai
COMMUNITY
01 Aug 2018

She used to serve on the RSS Stalwart telah berlayar lebih daripada 20,500km setakat ini, dan telah menyertai pelbagai latihan. 

Cover story
Baik, Tuan!
COMMUNITY
01 Aug 2018

Kita semua pernah bertemu dengan panglima-panglima yang menarik semasa Latihan Asas Tentera (BMT) yang akan kita ingati selamanya. Adakah anda mengenali mana-mana yang berikut?

Feature
Kunjungan Pertama Encik Lawrence Wong ke BMTC sebagai Perdana Menteri
COMMUNITY
01 Aug 2018

She used to serve on the Beliau menyertai dua syarikat rekrut dalam satu larian, dan mengambil bahagian dalam latihan kekuatan dan penyesuaian serta sesi latihan teknikal SAR 21.

WhatsApp Image 2024-09-10 at 14.41.34
Mengatasi cabaran untuk lulus sebagai pakar SAF
COMMUNITY
01 Aug 2018

Bagi kebanyakan lelaki muda Singapura, mendaftar untuk Perkhidmatan Negara (NS) boleh menjadi proses yang menakutkan, terutamanya jika mereka tidak pasti apa yang diharapkan. Selalunya, budak-budak ini memasuki Pulau Tekong dengan keselesaan ahli keluarga mereka menghantar mereka pergi.

Feature
Anjing tentera bersara menemui rumah selamanya.
COMMUNITY
01 Aug 2018

She used to serve on the Selepas menghabiskan sebahagian besar hidup mereka dalam perkhidmatan, anjing-anjing tentera ini mencari rumah untuk Tarikh Sedia Beroperasi "ORD" masuk.

13aug24_news1_ms
Cover story
Aset yang Tidak Ternilai
COMMUNITY
01 Aug 2018

Apakah barangan yang dibawa oleh operator Pasukan Keselamatan Laut Bersama (ASSeT) Tentera Laut Republik Singapura ketika mereka menjalankan operasi pemeriksaan dan penggeledahan kapal komersial di laut?

30jul24_news1_photo1_zh
Jenis-jenis Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara yang Anda Temui Semasa ICT
COMMUNITY
01 Aug 2018

Opportunis atau jurujual. Yang selalu bertukar pekerjaan. Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara yang kelihatan semakin gemuk setiap tahun. Siapakah kawan NS anda?

26jul24_news1_photo1_ms Feature
Menghormati SM Lee atas Sumbangan beliau kepada SAF
COMMUNITY
01 Aug 2018

She used to serve on the Lama sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, beliau adalah BG Lee, seorang Pegawai Artileri yang berkhidmat dan membantu membentuk SAF yang kita lihat pada hari ini.

01aug24_news1_photo1
Bercita-cita untuk menyumbang kepada pertahanan Singapura
COMMUNITY
01 Aug 2018

Tahun ini, sebanyak 105 Anugerah Biasiswa Pertahanan telah dihadiahkan. Kami bercakap dengan tiga penerima untuk mengetahui perjalanan dan cita-cita mereka kerana mereka merancang untuk mengambil pelbagai peranan dalam SAF.