MENCARI PASANGAN YANG SERASI
3WO PADMANABH RAI DAN CPT LEE MAN YING MUNGKIN KELIHATAN SEPERTI MEREKA MEMPUNYAI PERSONALITI YANG BERTENTANGAN – SEORANG BERTUGAS DI DALAM AIR SEBAGAI PENYELAM, MANAKALA SEORANG LAGI MENGAWAL TRAFIK UDARA – TETAPI MEREKA SEBENARNYA PASANGAN HIDUP YANG SERASI.
Tidak, Pegawai Waran Ketiga (3WO) Padmanabh Rai tidak memenangi hati isterinya di Sekolah Kadet Pegawai (OCS).
Ya, Kapten (CPT) Lee Man Ying merupakan kadet di sana pada 2016 sementara 3WO Rai bertugas sebagai pengajar. Namun, pasangan ini sebenarnya telah bertemu sebelum CPT Lee masuk tentera. Pada masa itu, CPT Lee berada dalam pertengahan kerjayanya dan sedang mencari pekerjaan yang menjanjikan kemajuan dan cabaran baharu.
"Saya pasti kelihatan tidak berakhlak jika orang lain menyangka bahawa saya cuba memikat kadet wanita muda di OCS!" kata 3WO Rai dengan rasa lucunya yang bersahaja.
Kini, Pegawai Peperangan Udara (Kawalan Trafik Udara) CPT Lee, 34, dan penyelam tentera laut 3WO Rai, 36, telah membina rumah tangga yang penuh kasih sayang bersama anak-anak perempuannya, Tricia yang berumur tiga tahun dan Lara yang berumur sembilan bulan.
Jadi… beritahu kami kisah sebenar tentang cara anda berkenalan!
3WO Rai: Kami berkenalan di majlis hari jadi seorang rakan pada 2015. Kami mula berbual, dan akhirnya saya mengajak dia keluar sebagai teman ke wayang. Namun, daripada janji temu yang pertama lagi, dia kerap bertanya soalan tentang SAF (Angkatan Bersenjata Singapura), dan saya tertanya-tanya mengapa dia mahu berbual tentang SAF dengan saya!
CPT Lee: Semasa saya berkenalan dengan Rai, saya sudah mula menjalani ujian dan temu duga untuk permohonan menyertai SAF. Sebelum itu saya bekerja di sebuah makmal dan bank, tetapi saya tidak rasa pekerjaan itu cukup mencabar. Saya berpendapat bahawa kerjaya dalam SAF mungkin lebih dinamik. Saya keluar dengan Rai selama beberapa bulan sebelum saya berhenti kerja daripada bank dan masuk tentera.
3WO Rai: Tahukah bahawa pada hari dia memasuki BMT (Latihan Asas Tentera), saya yang menghantar dia ke Pulau Tekong, kerana ibu bapanya sibuk? Saya sentiasa bayangkan bahawa pada suatu hari saya akan menghantar anak saya ke sana, tetapi akhirnya saya menghantar teman wanita saya pula! (bergelak)
Dan semasa dia berada di Sayap Udara di OCS, saya juga berada di Sayap Pegawai Kadet Kanan yang terletak bersebelahan, menjalankan kursus sebagai Pegawai Waran Kursus. Oleh itu di majlis perkahwinan kami, saya terpaksa mengumumkan kepada rakan sekerja dan komander SAF kami bahawa kami tidak berkenalan semasa dia seorang kadet di OCS!
Adakah 3WO Rai memberi anda apa-apa nasihat tentang menyertai SAF?
CPT Lee: Ya, dia akhirnya menjadi penasihat kerjaya saya! Walaupun saya sudah membuat keputusan untuk masuk tentera, saya tidak pasti tentang jalan kerjaya yang ingin diambil. Rai membantu saya membuat keputusan, berdasarkan personaliti dan minat saya.
3WO Rai: Dia pernah menelefon saya, jelas sekali susah hati, kerana tidak menerima keputusan baik dalam ujian. Saya beritahu kepadanya: "Jika anda memutuskan untuk melakukan sesuatu, anda perlu berusaha sedaya upaya, bukannya sentiasa berfikir bahawa anda boleh berhenti." Akhirnya dia berjaya dan ditauliahkan sebagai Pegawai Peperangan Udara. Malah dia juga diiktiraf sebagai "Terbaik dalam Latihan Fizikal" dalam kohortnya di Sayap Udara!
Perjalanan anda berdua dalam SAF amat berbeza. Adakah anda menggunakan pengalaman anda untuk membantu satu sama lain dalam kerja?
3WO Rai: Saya sudah berkhidmat sejak 2005, jauh lebih lama daripada Man Ying, jadi saya berkongsi pengalaman saya dalam bidang seperti bekerjasama dengan pucuk pimpinan. Dan oleh sebab saya seorang Pegawai Waran dan dia seorang Pegawai, kami mempunyai sudut pandangan yang berbeza, jadi kami bertukar-tukar sudut pandangan itu.
CPT Lee: Rai juga lebih bersifat kasar dan cenderung bersikap lebih tegas dengan anggota di bawahnya, jadi saya mengajar dia pendekatan yang lebih lembut.
3WO Rai: Ya, dia mempunyai sifat lebih lembut seperti seorang ibu.
Adakah terdapat apa-apa cabaran apabila berkahwin dengan teman sekerja dalam tentera?
CPT Lee: Oleh sebab kami berdua mempunyai tugas operasi, kami seringkali bekerja pada waktu yang tidak tetap. Ini menjadi cabaran apabila kami perlu membuat rancangan untuk anak kami dan memastikan bahawa seseorang dapat mengambil mereka dari sekolah dan menjaga mereka. Mujurlah, ibu mertua saya tinggal berdekatan dan dapat membantu kami. Komander saya juga amat bertimbang rasa apabila mereka mengetahui bahawa Rai juga mempunyai tugas operasi dan, terutamanya selepas saya melahirkan anak, mereka cuba memberi saya waktu bekerja yang lebih tetap.
3WO Rai: Tempoh paling sukar adalah semasa COVID-19, apabila saya terpaksa berada di pangkalan selama sebulan dan tidak dapat pulang langsung. Saya juga banyak membuat perjalanan untuk kerja, jadi Man Ying sering menjaga anak-anak seorang diri.
Apakah kunci utama bagi mengekalkan hubungan baik sebagai pasangan dan ibu bapa?
CPT Lee: Oleh sebab kami berdua sebahagian daripada SAF, kami memahami cabaran yang dihadapi oleh satu sama lain. Sebagai contoh, apabila Rai hilang atau tidak dapat dihubungi selama beberapa jam, saya tidak akan cemas kerana saya tahu dia sedang bekerja. Jika saya perlukan bantuan dengan, misalnya, mengambil anak-anak, saya tahu bahawa saya perlu menghubungi ibu mertua atau pembantu.
3WO Rai: Kepercayaan sememangnya penting – kami tahu tugas yang kami berdua lakukan (dari segi pekerjaan), walaupun kami tidak berbual tentangnya. Sebagai contoh, apabila Man Ying sedang bekerja, dia tidak dapat dihubungi langsung kerana dia tidak boleh membawa telefon bimbit bersamanya. Saya juga sering keluar tanpa telefon bimbit saya. Sudah tentu, kami dapat lihat sendiri betapa sibuknya pasangan kami di tempat kerja, apabila mereka pulang dan terus pengsan kerana penat!
Apakah sifat yang paling anda hargai antara satu sama lain?
CPT Lee: Rai mungkin kelihatan serius dan tidak ramah, tetapi dia mempunyai sifat yang lembut dan lucu yang tidak ditunjukkan kepada ramai orang. Saya dapat bergantung padanya dan percaya bahawa dia akan menjaga saya dan keluarga saya. Dia juga amat tegas dan tahu keinginannya dalam hidup, jadi apabila saya rasa tidak tentu arah, dia akan memberi saya nasihat yang baik.
3WO Rai: Dia amat berdikari dan mahir, dan saya tahu dia boleh menjalankan rumah tangga dan menjaga keluarga apabila saya tiada. Dia juga seorang ibu yang baik kepada anak kami. Sekarang, saya seolah-olah tiada guna, saya tiada pun di sini!
CPT Lee: Dia berpangkat paling rendah sekarang!
3WO Rai: Tetapi itulah sebab saya memilih dia (sebagai isteri saya). Saya sengaja memilih seseorang dengan sifat yang berbeza daripada saya – saya bersifat tegas, dan saya menemui seseorang dengan sentuhan lebih lembut untuk melengkapkan diri saya.