COMMUNITY
LIMA SEBAB UNTUK MENONTON PERTUNJUKAN UDARA SINGAPURA 2022
11 Feb 2022
RSAF AKAN MENGHIBURKAN PENONTON DENGAN PERSEMBAHAN KEMAHIRAN PENERBANGAN YANG MENAKJUBKAN DAN ASET YANG MENGGERUNKAN DI PERTUNJUKAN UDARA SINGAPURA 2022!
Jet pejuang F-16C dan dua buah helikopter penyerang Apache AH-64D Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) akan melaksanakan 21 manuver yang menyeronokkan di Pertunjukan Udara Singapura (SA2022). Ini merupakan sebahagian daripada empat angkatan udara dan dua syarikat komersial yang akan membuat pertunjukan di SA2022.
Berikut ialah lima sebab anda harus menonton aksi ini!
1. Saksikan helikopter Apache melakukan "tarian" bersama-sama
Sepasang AH-64D akan melakukan 12 manuver – dalam formasi dan secara berasingan – untuk mempamerkan pelbagai keupayaan helikopter serangan itu seperti kelincahan dan kebolehkendaliannya.
"Kami mereka bentuk manuver yang mendesak keupayaan pesawat dan juga anak kapalnya kepada had fizikal yang tertinggi," kata Kolonel Kevin Wee, Pengerusi Jawatan Kuasa Pertunjukan Penerbangan.
Menerbangkan dua helikopter pada jarak yang rapat, katanya, ialah suatu operasi yang kompleks. Juruterbang harus tertumpu pada pelaksanaan pergerakan mereka sendiri, menunjukkan pemasaan yang tepat, dan pada masa yang sama mengawasi pergerakan helikopter lain.
Untuk membuat persediaan bagi pertunjukan tersebut, juruterbang telah mula menjalani latihan pensimulasi sejak pertengahan tahun lepas. Setiap juruterbang berlatih dengan pergerakan mereka secara individu sebelum berlatih manuver itu bersama-sama. Apabila mereka beralih kepada latihan penerbangan pada Disember lalu, mereka memulakan penerbangan dengan margin kesalahan yang lebih besar sebelum memantapkan manuver tersebut secara beransur-ansur.
"Kami mendesak pesawat ini sehingga keupayaan maksimum (prestasi)," kata Mejar (MAJ) Tan Yu Zhi, Ketua Pasukan Pertunjukan Udara AH-64D. Sebagai contoh, manuver Corkscrew memerlukan helikopter penyerang tersebut untuk menganggul dan beroleng 60 darjah, iaitu jauh melebihi had operasi biasanya.
2. Saksikan kuasa pertempuran F-16C
Jet pejuang F-16C tersebut akan melaksanakan sembilan manuver untuk mempamerkan kelincahan dan kuasanya, seperti belokan Daya G Tinggi yang memerlukan juruterbang tersebut menarik sehingga sembilan kali ganda daya graviti.
Tetapi salah satu manuver yang perlu dinantikan ialah manuver terakhir yang dikenali sebagai Panjat Menegak, kata MAJ Matthew Foo, Ketua Pasukan Pertunjukan Udara F-16C.
"Manuver terakhir ini penting bagi kami – hasrat kami adalah untuk menyampaikan mesej bersifat kuat dan dinamik… Ini juga akan menjadi detik penggambaran yang sempurna untuk khalayak penonton kerana kami akan menjatuhkan suar."
3. Hampiri helikopter RSAF terkini
Aset yang digunakan oleh RSAF untuk melindungi ruang langit Singapura 24/7 akan dipamerkan di Pusat Pameran Changi, yang menjadi tempat anjuran SA2022. Dalam kalangan aset ini ialah Helikopter Angkat Sederhana H225M yang akan membuat kemunculan buat kali pertama di pertunjukan udara tersebut.
H225M boleh digunakan untuk misi seperti cari dan selamatkan, pemindahan aeroperubatan serta bantuan kemanusiaan dan bencana.
"Kami berharap pelawat dan orang ramai yang menonton strim langsung pameran statik tersebut akan dapat memperoleh sedikit pengetahuan tentang operasi kami," kata Leftenan Kolonel (LTC) Edwin Koh, Pengerusi jawatankuasa kecil RSAF.
Aset RSAF lain yang dipamerkan ialah jet pejuang F-15SG dan F-16D+, helikopter penyerang Apache AH-64D, Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan A330, Sistem Misil Aster 30, serta Pesawat Tanpa Pemandu Hermes 450.
4. Sokong askar udara kita
Askar udara RSAF kita telah berusaha keras dan sibuk meluangkan masa untuk membuat persediaan bagi pertunjukan yang hebat demi para penonton. Ini termasuk kakitangan di lapangan yang memastikan pesawat dalam keadaan sempurna serta pengulas yang memberikan ulasan berterusan tentang pertunjukan udara.
Jurutera Angkatan Udara juga telah berusaha sedaya upaya untuk menyediakan pameran statik. Oleh sebab pesawat dan aset perlu ditunda dari pangkalan udara ke pusat pameran melalui jalan awam, mereka hanya dapat berbuat demikian pada waktu awal pagi.
RSAF perlu bekerjasama rapat dengan agensi luar seperti Pasukan Polis Singapura untuk menutup jalan, mengalihkan apa-apa objek berbahaya yang mungkin menyebabkan kerosakan di sepanjang jalan. Tugas ini memerlukan perancangan awal yang amat teliti.
"Banyak perbincangan telah diadakan secara maya dengan pihak luar, (dan) itu tidak mudah," kata LTC Koh, menyebut sekatan COVID-19 sebagai salah satu cabaran yang dihadapi oleh RSAF.
Namun beliau menyatakan bahawa askar udara kita telah menunjukkan semangat tidak mudah luntur dan keazaman yang tinggi.
"Tugas utama kami adalah untuk menyediakan pertahanan udara bagi negara, namun keupayaan kami untuk menyelaras dan mengadakan acara seperti ini menunjukkan sikap profesional oleh askar udara kami," katanya.
5. Anda boleh menonton pertunjukan udara dari rumah
Oleh sebab sekatan COVID-19, tiada hari lawatan orang awam bagi SA2022. Tetapi pertunjukan udara akan disiarkan melalui strim langsung pada halaman Facebook PIONEER. Anda boleh menyaksikan segala aksi tersebut dengan selamat di rumah anda!
WAKTU PERTUNJUKAN UDARA
● 15 Feb: Jam 1230 hingga 1345
● 16/17 Feb: Jam 1130 hingga 1240
● 18 Feb: Jam 1130 hingga 1230
ALSO READ IN COMMUNITY
Pemasangan pesawat: Menyediakan paparan statik RSAF di Pertunjukan Udara Singapura 2026
29 Jan 2026
Sertai kami untuk melihat sekilas di sebalik tabir perjalanan aset RSAF dari pangkalan udara ke pertunjukan udara!
Siren amaran pada 1 Feb, gangguan perkhidmatan elektronik akan diadakan sebagai sebahagian daripada latihan Pertahanan Mutlak
15 Jan 2026
Dalam Latihan SG Ready tahun ini, tumpuan diberikan kepada persediaan untuk ketersambungan digital yang merosot dan gangguan bekalan elektrik yang berpanjangan.
Hari pertama sebagai askar
09 Jan 2026
Permulaan baharu dalam BMT: Ikuti kumpulan pertama anggota tentera tahun baharu ketika mereka memulakan perjalanan NS mereka di Pulau Tekong!

