TECHNOLOGY

MENUJU KE ARAH HIJAU SAF

02 Mar 2022

02mar22news2_photo1

//KISAH BENITA TEO

//FOTO  KENNETH LIN


Dengan aplikasi teknologi dan analisis data, individu dan unit akan diberi kuasa untuk melibatkan diri dalam melaksanakan inisiatif hijau mereka.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan terus membangunkan inisiatif hijau mereka, sebagai ikrar komitmen mereka terhadap kelestarian alam sekitar, selaras dengan hasrat Pelan Hijau Singapura 2030.

Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen berkata demikian dalam ucapan perbahasan Jawatankuasa Bekalan (COS) tentang belanjawan pertahanan pada 2 Mac.

Pejabat Kelestarian SAF, yang diumumkan pada COS tahun lalu, telahpun ditubuhkan. Ia diterajui oleh Ketua Staf-Staf Bersama SAF Brigedier Jeneral (BG) Kelvin Fan, yang juga merupakan Ketua Pegawai Kelestarian SAF.

"Komitmen MINDEF dan SAF terhadap kemapanan adalah bersandarkan tindakan. Kami dibimbing oleh sains dan data, untuk memastikan segala urusan yang kami laksanakan adalah matang dari segi teknologi, berkesan kos dan hasil keputusannya boleh diukur," jelas BG Fan.

"(Langkah-langkah hijau) yang tidak menjejaskan kesediaan operasi SAF atau menyebabkan lonjakan mendadak dalam perbelanjaan pertahanan, akan seterusnya digiatkan di seluruh organisasi."

Ketua Pegawai Kelestarian SAF BG Fan mengesahkan komitmen SAF terhadap kemapanan dan sedang giat berusaha dengan panel pakar untuk membantu iniatif hijau SAF.

Pejabat Kelestarian SAF mengadakan panel penasihat luaran pertamanya untuk kelestarian alam sekitar pada akhir Februari tahun ini. Panel itu dianggotai 13 pakar dalam domain kelestarian seperti tenaga hijau, infrastruktur mapan, teknologi penyahkarbonan dan pengurusan sisa.

Mesyuarat sulung panel itu diadakan di hangar Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan A330 di Pangkalan Udara Changi, yang merupakan bangunan tenaga positif bersih pertama SAF. Panel itu dijangka akan bertemu untuk bermesyuarat pada setiap suku tahun.

Panel suria dipasang pada bumbung bangunan di Kem Jurong.

Menjana tenaga suria

Menjelang akhir 2022, satu daripada empat kem SAF akan dipasang dengan panel suria. Panel suria ini akan menyediakan tenaga elektrik puncak 20 mega-watt, yang bersamaan dengan penggunaan sebanyak 5,000 isi rumah berbilik empat. Menjelang 2025, dua daripada tiga kem tentera dijangka dipasang dengan panel suria, menjana tenaga elektrik puncak 50 mega-watt.

Setakat ini, sebanyak 28,000 panel suria telah dipasang di seluruh SAF.

Meter Pintar seperti ini yang dipasang pada paip air boleh memberi data hampir masa nyata tentang corak penggunaan.

Meter Pintar untuk mengesan penggunaan

SAF sedang menjalankan percubaan Sistem Pemeteran Pintar untuk mengesan penggunaan elektrik dan air secara automatik di kem.

Meter Pintar berfungsi dengan menyampaikan data hampir masa nyata tentang penggunaan air dan elektrik ke pangkalan data pusat dan telefon pengguna akhir. Kemudian, perisian analitik data boleh digunakan untuk memperoleh tinjauan tentang corak penggunaan.

Sistem ini juga dapat menyerlahkan anomali dalam corak penggunaan sepanjang tempoh masa tertentu, supaya unit masing-masing boleh menyelesaikan masalah dan membetulkan sebarang isu, seperti paip pecah yang mungkin menyebabkan peningkatan dalam penggunaan air.

Tiga kem telah dipilih untuk percubaan Meter Pintar: Kem Jurong, Pangkalan Tentera Laut Changi dan Pangkalan Udara Paya Lebar. Kem-kem ini dipilih kerana ia boleh memberikan gambaran yang baik tentang corak penggunaan elektrik dan air Perkhidmatan masing-masing.

Seorang anggota tentera sedang menilai data penggunaan elektrik yang dikumpul oleh Meter Pintar (terletak di atas kotak suis) dari telefon mudah alihnya. Dengan adanya akses mudah ini, sebarang anomali boleh ditangani dengan cepat.

Leftenan Kolonel (LTC) Quek Shi Jian, Ketua Logistik untuk Divisyen Ke-3, menyelia pemasangan Meter Pintar dan panel suria untuk Kem Jurong.

Beliau menerangkan alasan di sebalik peletakan meter dan panel: "Bangunan-bangunan di Kem Jurong telah dipilih dengan teliti untuk memberi gambaran yang baik...tentang kem dan unit SAF yang lain.

"Contohnya, kami memilih lokasi seperti unit pengangkutan, unit tempur dan pusat perubatan, supaya kami boleh mengukur penggunaannya di fasiliti-fasiliti ini, untuk pengumpulan set data bagi kem tersebut diekstrapolasikan untuk penilaian. Di mana terdapat lonjakan, kami akan mengetahui daripada unit masing-masing sama ada lonjakan ini disebabkan oleh latihan atau aktiviti tambahan."

LTC Quek menyelia pemasangan Meter Pintar dan panel suria di Kem Jurong.

"Analisis data juga boleh menetapkan penanda aras dan sasaran untuk unit tersebut. Dengan adanya data itu, kami juga boleh menganalisis penggunaan trend dan mengenal pasti anomali yang perlu diperbetulkan," tambah Cik Jolene Chung, Timbalan Ketua (Strategi Kelestarian) Pusat Program Bangunan dan Infrastruktur di Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA).

Sebagai pengurus projek, Cik Chung menyelia pelaksanaan inisiatif tersebut di kem SAF. Beliau juga bekerja rapat dengan SAF untuk menyesuaikan papan pemuka yang intuitif dan mesra pengguna.

Pengguna boleh melihat data penggunaan air dan elektrik pada setiap jam. Mereka juga boleh mengakses data penggunaan bangunan di dalam kem atau di pangkalan.

Cik Chung bekerja rapat dengan SAF untuk menyesuaikan papan pemuka yang intuitif dan mesra pengguna.

Percubaan ini, yang bermula sejak penghujung 2021, dan dilancarkan secara progresif kepada tiga kem, akan berlangsung selama satu atau dua tahun. Tujuannya adalah untuk mengumpul data yang mencukupi bagi menentukan granulariti peletakan meter, untuk membolehkan ia mengumpul data sehingga ke lantai dan juga pada aras bilik.

Matlamat akhir inisiatif ini adalah untuk membentuk tingkah laku dan menggalakkan warga kerja di lapangan untuk mengambil yindakan yang sewajarnya ke arah kemapanan, kata BG Fan.

"Kami yakin Meter Pintar boleh membawa kepada peralihan budaya ke arah pemilikan tanah yang lebih mapan," jelasnya.

"(Pengetahuan data penggunaan) memberi mereka kesedaran yang lebih besar tentang corak dan volum penggunaan mereka. Justeru, mereka boleh diberi kuasa untuk mengambil tindakan."

Share this story:

Got a great story to share?
Send it our way — we might feature it!

Share Your Story