MILESTONES

BELAJAR UNTUK MEMIMPIN, MENJADI CEMERLANG SERTA MENGATASI CABARAN

14 Sep 2020

Dia menerima kejutan budaya yang mengejutkan apabila mendaftarkan diri untuk Perkhidmatan Negara (NS) pada Oktober tahun lepas, memandangkan dia belum pernah lagi menjejakkan kaki ke Singapura.

14sep20_news1-1

// BERITA OLEH GABRIEL LEE

// FOTO OLEH MINDEF & IHSAN OCS DAN 2LT WONG


Dilahirkan di Singapura namun dibesarkan di Hong Kong, 2LT Wong menjadi pegawai walaupun menghadapi cabaran menyesuaikan diri kepada persekitaran baharu pada detik-detik awal dia kembali untuk berkhidmat dengan NS.

Dia menerima kejutan budaya yang mengejutkan apabila mendaftarkan diri untuk Perkhidmatan Negara (NS) pada Oktober tahun lepas, memandangkan dia belum pernah lagi menjejakkan kaki ke Singapura.

"Saya tidak memahami...slanga, atau bagaimana orang melihat situasi yang berbeza. Saya sentiasa berasa bagaikan kera sumbang, seperti anak itik hodoh yang terpinggir."

Tetapi seperti juga pengakhiran cerita dongeng, orang yang mengaku dirinya anak itik hodoh bertukar menjadi seekor angsa yang cantik: Leftenan Muda (2LT) Jerome Wong, yang dibesarkan di Hong Kong, ditauliahkan sebagai Pegawai di Upacara Pentauliahan Pegawai Kadet 118/19 yang diadakan pada hari Sabtu. Dia juga merangkul anugerah yang menjadi rebutan iaitu Pedang Kehormatan dan Bayonet Emas.

2LT Wong (dua dari kanan) bersama-sama dengan kawan-kawan rapatnya semasa Perarakan Tamat Pengajian BMT pada Disember 2019.

Anggota berusia 18 tahun itu berkata bahawa dia beruntung kerana menemui kawan-kawan yang hebat dalam kalangan rakan seksyen dalam Latihan Asas Tentera (BMT). "(Mereka) berusaha menulis pada buku nota kecil slanga Melayu atau frasa Singlish agar saya boleh memahami bahasa dan budaya setempat dengan lebih baik."

Dari segi latihan fizikal, dia cemerlang. Penerima Anugerah Terbaik dalam Latihan Fizikal sebelum ini ialah ahli pasukan rentas desa sekolah dan kapten pasukan bermain ski kebangsaan Hong Kong untuk kategori bawah 18,.

Bagaimanapun, 2LT Wong tidak terfikir untuk menyertai Sekolah Pegawai Kadet (OCS) sehingga kemudian. "Hanya pada pada penghujung BMT baharulah Panglima Platun saya berkongsi dengan saya mengenai OCS dan pengalamannya dalam OCS. Ini membuat saya menyedari bahawa saya ingin mempelajari tentang kepimpinan."

Pasca-BMT, 2LT Wong telah dipilih untuk OCS berdasarkan potensi sifat kepimpinannya dan kecergasan fizikalnya yang sangat baik. Walau bagaimanapun, dia mendapat satu lagi "kejutan" di sana: Penyesuaian akan dibuat kepada latihan sembilan bulannya disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Walaupun terpaksa berlatih dalam kumpulan fungsi yang lebih kecil semasa kursus pegawai kadet, 2LT Wong mendapati latihan itu tetap realistik. Kelihatan dalam gambar, pegawai-pegawai kadet dari kumpulan 118/19 berlatih kecekapan Operasi Urban semasa Latihan Panther Strike pada Ogos. [Foto: OCS]

Ini termasuk latihan dalam kumpulan fungsi yang lebih kecil untuk meminimumkan interaksi dalam kalangan 183 pegawai kadet Tentera. Walau bagaimanapun, 2LT Wong menegaskan bahawa latihan dalam OCS tetap realistik.

"Perbezaan paling besar yang kami alami berbanding kumpulan terdahulu ialah latihan ini diadakan pada skala yang lebih kecil kerana langkah-langkah COVID-19. Intipati latihan tidak pernah berubah. Kami berlatih untuk menjadi pegawai, askar serta insan yang lebih baik secara keseluruhan."

Aalau bagaimanapun, cabaran mental yang dihadapi disebabkan latihan yang ketat memberi kesan kepada Pegawai Infantri itu.

Mengimbau semula pengalaman yang tidak boleh dilupakan dalam memimpin pasukannya dalam latihan setempat, di mana dia dilantik buat pertama kalinya sebagai Panglima Platun Latihan. Dia mengakui bahawa pengalaman tersebut mendatangkan tekanan kepada dia kerana rakan sejawatnya meletakkan harapan yang tinggi ke atasnya.

Yang memburukkan keadaan adalah segala yang dirancang oleh pasukan berkecai apabila mereka berada di lapangan. "Perkara-perkara kecil menghalang pergerakan kami, dan keadaan menjadi kucar-kacir."

Mengakui bahawa dia berasa keliru sepanjang latihan tersebut, dia hanya berjaya mengatasi tekanan mental dengan bantuan rakan platunnya. Mereka mengajak dia berbincang dan menggalakkan dia menumpukan perhatian kepada misi yang berada dalam tangannya.

Akhirnya, 2LT Wong berjaya memimpin pasukannya mencapai kejayaan dengan cepat dan muktamad.

"Segalanya menjadi jelas kepada saya, kerana walaupun rakan sejawat saya datang dari latar belakang yang berbeza, matlamat kami tetap sama: Iaitu untuk mendapatkan pentauliahan...sebagai Pegawai pada akhir latihan sembilan bulan. Dengan itu, kami membantu satu sama lain dalam mengharungi masa yang sukar ini."

Ibu bapa 2LT Wong, yang berada di Hong Kong, bergambar secara maya untuk menyemat pangkat 2LT padanya.

Tanpa ibu bapa di sisinya semasa perjalanannya dalam OCS juga menambah tekanan kepadanya. Tetapi hari ini, ibu bapa 2LT Wong yang menetap di luar negara berbangga dengan pencapaiannya.

"Walaupun ibu bapa saya tidak boleh datang ke majlis pentauliahan saya sendiri, mereka amat berbangga dengan saya. Mereka menghantar teks dan memberitahu bagaimana mereka menitiskan air mata semasa menonton penstriman langsung majlis pentauliahan saya di Facebook."

2LT Wong yang akan mengambil pengajian dalam Reka Bentuk Industri di Universiti Kebangsaan Singapura selepas perkhidmatan tentera dua tahunnya sangat gembira dengan prestasinya. Dia tidak sangka boleh menyesuaikan diri dengan sangat baik dalam persekitaran yang betul-betul asing.

"Saya melihatnya sebagai tanggungjawab saya untuk kembali ke Singapura dan berkhidmat dengan NS. Ketika saya masih muda, saya tidak melihat diri saya sebagai rakyat Singapura kerana walaupun memegang pasport Singapura, saya tidak pernah menetap di sini.

"Namun ibu saya akan sentiasa mengingatkan kepada saya bahawa saya rakyat Singapura. Setelah menyertai OCS, barulah saya faham makna berkhidmat dengan NS. Sekiranya saya mengetahui ini dari awal, saya tidak akan teragak-agak untuk menyertai NS."

Share this story:

Got a great story to share?
Send it our way — we might feature it!

Share Your Story