PEOPLE
WANITA MENGUASAI AWAN BIRU
25 Sep 2021
Anak kapal wanita pertama pesawat F-15SG RSAF berharap dapat menginspirasikan gadis-gadis muda agar tidak gentar dan berani mengejar impian mereka.
Mereka adalah anak kapal wanita pertama pesawat F-15SG Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF)!
Temui dua juruterbang hebat Kapten (KPT) Julie Lim, 28, dan Leftenan Pegawai Senjata (WSO) (LTA) Hannah Teo, 26. KPT Lim menerbangkan jet pejuang manakala LTA Teo mengecam ancaman permukaan dan udara dan mengendalikan sistem senjata dalam pesawat.
Pasangan ini berpusat di detasemen Peace Carvin V selama lima bulan yang lalu dan akan muncul buat pertama kalinya di Latihan Forging Sabre (XFS21) tahun ini, yang diadakan di Mountain Home Air Force Base (MHAFB), Idaho, Amerika Syarikat.
KPT Lim mendaftar pada 2012 sebelum memulakan pengajian di universiti manakala LTA Teo mendaftar lima tahun yang lalu, dan perjalanan mereka sebagai rakan sepasukan bermula empat hingga lima tahun yang lalu. Ini adalah semasa mereka mula berlatih bersama untuk Kursus Asas Sayap mereka di Pearce Base di Australia.
Mereka bersemuka lagi di Pangkalan Udara Cazaux di Perancis, di mana mereka sama-sama menjalani latihan pesawat jet lanjutan. Setelah menamatkan kursus pada 2019, mereka dikerah ke 142 Skuadron, di mana mereka memulakan penerbangan bersama.
Walaupun mereka dilatih untuk terbang bersama dengan juruterbang dan WSO yang lain, mereka betul-betul menikmati waktu mereka bekerja bersama. Dan, ya, mereka juga teman karib di luar kokpit!
Belajar dalam penerbangan
Sebagai sebahagian daripada latihan mereka sebagai junior dan juga sebagai anak kapal pesawat udara sepenuhnya, LTA Teo dan KPT Lim masing-masing menjalankan penerbangan bersama dengan juruterbang dan WSO yang lain. Meskipun begitu, setiap penerbangan bersama adalah pengalaman belajar yang dihargai, kata KPT Lim.
"Semasa latihan, kami sering berpasangan dengan seorang jurulatih, iaitu rakan yang berpengalaman. Namun begitu, semasa kami terbang bersama, kami adalah dua anak kapal pesawat yang lebih muda. Kami banyak belajar bersama – terbang, belajar daripada kesilapan kami, faham tentang apa yang perlu dilakukan. Cara yang amat mengujakan bagi kami."
LTA Wan bersetuju: "Ia membantu kami membina keyakinan dalam kebolehan kami – semasa kami terbang bersama, kami dapat berasa beban tanggungjawab kami (tanpa rakan senior)."
"Memandangkan kami sudah lama berlatih bersama dan keakraban yang terjalin, kami cukup memahami tabiat dan sifat masing-masing. Memang kami amat selesa sesama sendiri," katanya lagi.
Latihan yang mencelikkan mata
Berkat ruang latihan yang luas di sekitar MHAFB, anak kapal pesawat F-15SG telah berjaya memanfaatkan kemahiran yang dipelajari dalam persekitaran yang realistik.
Ia merupakan suatu peluang yang amat penting bagi LTA Teo, untuk mengasah kemahiran menjatuhkan peluru hidup: "Saya dapat mengguna senjata api untuk pertama kalinya, dan ia adalah suatu pengalaman yang dihargai bagi anak kapal pesawat yang muda seperti saya. Dengan elemen Tentera dan Tentera Udara yang berbeza di sini, kami dapat memanfaatkan latihan masa lampau kami dengan baik, mengasah kemahiran dan memperoleh keyakinan dan pengalaman yang diperlukan untuk menjadi lebih cemerlang."
Bagi KPT Lim, dia berasa gembira dapat melihat pelbagai Perkhidmatan beraksi bersama dalam latihan bersepadu tinggi. "Kami dapat berbincang dengan pasukan tentera untuk menyelaraskan serangan kami, yang begitu berbeza dengan latihan yang biasa kerana adanya banyak penyepaduan. Kami juga dapat melihat pertimbangan di belakang tabir yang jarang kami saksikan," jelasnya.
Mendaftar atas alasan masing-masing
Berasal daripada sebuah keluarga tentera, di mana ayahnya bertugas sebagai juruterbang helikopter di RSAF, KPT Lim meminati segalanya yang berhubung kait dengan penerbangan. Peminat pesawat menerima Lesen Juruterbang Peribadinya dari Singapore Youth Flying Club sebagai pelajar dan melakukan penerbangan solo sebelum melanjutkan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan penerbangan di universiti. Walaupun dia bercita-cita untuk menjadi juruterbang, dia mengakui betapa bertuahnya bila terpilih sebagai juruterbang F-15SG. "Adalah impian saya (untuk menjadi juruterbang pejuang), tetapi pada mulanya, saya tidak terfikir tentang mana-mana pesawat. Ini adalah tentang keperluan RSAF semasa itu, dan itulah juga set minda saya semasa menjalani latihan."
Rakan penerbangannya, LTA Teo pula bukan daripada latar belakang ketenteraan. Meskipun begitu, bekas ahli sukan wanita itu, yang bermain bola jaring kompetitif di sekolah menengah dan kolej junior, tahu bahawa dia mahu karier yang boleh mencabar keupayaannya dari segi fizikal dan mental. RSAF umpama pilihan yang tepat bagi dirinya.
"Ketika saya mendaftar dengan RSAF, saya betul-betul ingin terbang – setiap Perbarisan Hari Kebangsaan, saya akan menyaksikan jet terbang, dan ia mencetuskan minat saya."
Perjalanannya sebagai WSO bukan mudah, kerana dia adalah pelatih tunggal dalam kursusnya. "Memang sukar, bersendirian dan tidak mempunyai rakan sekelas untuk bekerja bersama. Tetapi itulah sebabnya saya menyertai RSAF – untuk belajar menghadapi cabaran."
Menyahut cabaran
Walaupun mereka bangga dikenali sebagai pasangan pertama anak kapal wanita pesawat F-15SG RSAF sepenuhnya, ia adalah cabaran yang berterusan untuk terus maju dan meningkatkan prestasi, kata KPT Lim.
"Bukan mudah untuk belajar menerbangkan pesawat, terutamanya dalam tempoh masa yang diberikan dan misi kompleks yang perlu disempurnakan. Mereka menghadapi pelbagai cabaran sepanjang perjalanan mereka. Saya bercakap untuk kami berdua bila saya mengatakan tidak ada penerbangan yang sempurna di mana kami kembali dan berasa, 'Itu suatu penerbangan yang hebat.' Selalunya ada sahaja sesuatu yang perlu dipelajari. Yang pentingnya ialah berusaha untuk terus menambah baik dan membangunkan diri pada setiap masa."
Gadis semua, ikut saja keghairahan anda!
Kepada semua anak muda yang memandang tinggi terhadap kedua-dua kakak ini, KPT Lim dan LTA Teo ada pesanan untuk anda– ikut saja keghairahan anda!
"Terutamanya gadis-gadis muda yang masih memikirkan tentang karier, banyak tanda tanya yang akan terlintas dalam fikiran mereka. Ikut keghairahan anda kerana itulah yang akan mendorong anda – jika anda melakukan sesuatu yang digemari, ia pasti akan menggembirakan anda semasa bekerja setiap hari," kata KPT Lim.
Menurut LTA Teo lagi: "Saya selalu menurut apa yang saya ingin lakukan (seperti bila saya memilih untuk bermain bola jaring). Sekiranya anda ada keghairahan, anda boleh menangani segala cabaran yang dihadapi, menjadikan anda insan yang lebih baik. Lakukan apa sahaja yang menggembirakan anda."
ALSO READ IN PEOPLE
Membawa kepakaran awam mereka untuk menyumbang lebih banyak dalam NS
22 Jan 2026
Pada 21 Januari, SAF mengalu-alukan kumpulan terbesar anggota NS atau NSmen yang menamatkan pengajian di bawah Skim Pengerahan Kepakaran Dipertingkat. Temui ME4 (NS) Muhammad Arief Aditya dan ME4 (NS) Mohamed Najid Bin Mohamed Sultan, yang merupakan antara pakar tentera yang baru dilantik ini.
Penjaga warisan
15 Dec 2025
Beliau membantu membina pesawat pertama RSAF. Beliau pula merupakan antara wanita pertama yang menyertai tentera laut. Beliau menguruskan krisis komunikasi ketika bunyi bip pager membawa masalah. Temui veteran-veteran ini yang melihat Singapura melalui zaman pergolakan untuk membina SAF yang kuat.
Bangkit mengatasi arus & melangkah ke hadapan untuk memimpin
13 Dec 2025
Mereka antara kumpulan graduan pegawai SAF yang terbaru tahun ini. Temui 2LT Mohamad Wira Kuriniawan dan 2LT Ryan Ong, yang masing-masing akan mengetuai Skuadron 180 Tentera Laut dan Batalion Pertama, Pengawal Singapura.

