MILESTONES
UNIT PENYELAM TENTERA LAUT MERAIKAN ULANG TAHUN KE-50
09 Dec 2021
Pada sambutan jubli emasnya, Unit Penyelam Tentera Laut (NDU) juga merasmikan Kumpulan Bot Khas dan Skuadron 180 ke dalam unit.
Sejak ditubuhkan pada 1971, NDU telah berjaya menyelesaikan pelbagai operasi khas – daripada mencari dan menyelamat, kepada pencegahan lanun dan sokongan keamanan luar negara. Kini, unit ini masih terus meningkatkan keupayaan agar dapat menjalankan misi untuk melindungi Singapura.
Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen menyatakan hal ini di perbarisan ulang-tahun ke-50 NDU, diadakan di Kem Sembawang pada 9 Dis.
"Pasukan Khas, atau unit setara NDU dalam tentera di seluruh Dunia, membentuk kumpulan elit, yang sering ditugaskan untuk menyelesaikan misi sukar yang boleh mengubah aliran sejarah," kata Dr Ng tentang kepentingan mempunyai unit seperti NDU.
Tambahnya lagi: "Dalam setiap misi, askar NDU menunjukkan piawai tertinggi bagi sikap profesional dan komitmen."
Operasi mencari dan menyelamat
Sebagai contoh, apabila dua kereta kabel menjunam masuk ke dalam air selepas sebuah pelantar minyak terlanggar laluan tali udara pada 1983, NDU telah mengerahkan pasukan penyelam tentera laut untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat dengan segera pada lewat malam.
Salah seorang penyelam tentera laut yang terlibat dalam operasi tersebut ialah Sarjan Ketiga (3SG) (Bersara) Faustin Hogan.
Beliau mengingati pengalaman menyelam dalam air yang keruh, hingga kira-kira satu meter dari dasar laut, untuk mencari kereta kabel yang tenggelam tersebut. Sejurus selepas bekalan oksigennya mencapai paras rendah, beliau menemui sebuah kereta kabel. Oleh itu, beliau mengikat tali carian dan beg pasir dengan pantas untuk menandakan lokasi, kemudian timbul ke permukaan semula.
Sepasang lagi penyelam turun, mengikuti tali carian dan mengesahkan kehadiran mangsa di dalam kereta kabel. 3SG (Bersara) Hogan dan rakannya turun semula untuk menarik kereta kabel dan mangsa tersebut. Dua orang mangsa tersebut merupakan doktor, seorang merupakan jururawat dan seorang lagi merupakan ahli perniagaan, kata beliau.
"Mereka agak muda dan mempunyai pekerjaan yang baik… Lantas saya terfikir — kita sememangnya tidak harus ambil mudah terhadap hidup," kata bekas askar berumur 61 tahun tersebut.
Operasi antarabangsa
Dalam ucapannya di perbarisan, Dr Ng juga menceritakan tentang pelbagai operasi antarabangsa yang diusahakan oleh NDU. Sebagai contoh, dari 2003 hingga 2008, NDU merupakan salah satu daripada pasukan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang dikerah di bawah Operasi Orkid Biru untuk pembinaan semula dan penstabilan semula Iraq.
Penyelam tentera laut memainkan peranan penting dalam perlindungan talian hayat Iraq, iaitu Terminal Minyak Al Basra, yang lemah terhadap ancaman laut. Mereka menaiki dhow – iaitu bot tradisional – serta kapal pembawa yang amat besar, serta kadangkala menjumpai senjata api.
Membina keupayaan
Dr Ng juga menyerlahkan usaha NDU untuk terus membina keupayaan dalam operasi keselamatan maritim. Sebagai contoh, NDU telah memperoleh armada Bot Tempur Besar (CCL) yang baharu untuk membawa askar bagi melaksanakan operasi.
Dilengkapi dengan sistem senjata kawalan jauh yang lengkap dan canggih, serta kelengkapan komunikasi, CCL bertindak sebagai pusat perintah dan kawalan hadapan untuk menyokong pasukan darat dalam operasi pencegahan keganasan maritim.
Penstrukturan semula
Selain memperkenalkan kelengkapan baharu, NDU telah menjalani penstrukturan semula seperti perasmian Skuadron 180 (SQN) dan Kumpulan Bot Khas ke dalam NDU, kata Dr Ng.
Dahulunya merupakan sebahagian daripada Pemerintahan Keselamatan Maritim, Skuadron 180 terdiri daripada Pasukan Keselamatan Laut Iringan (ASSeT), yang terbentuk daripada kakitangan dari Tentera Laut Republik Singapura dan Polis Pengawal Pantai. Mereka menaiki dan menjalankan pemeriksaan pada kapal dagang yang berlayar di kawasan perairan Singapura.
Sebaliknya, Kumpulan Bot Khas baharu bertanggungjawab terhadap semua bot khas maritim seperti CCL.
Dengan tambahan SQN 180 dan Kumpulan Bot Khas tersebut, NDU yang distruktur semula boleh memberi sokongan lebih baik kepada operasi pasukan petugas SAF seperti Pasukan Petugas Keselamatan Maritim dan Pasukan Petugas Operasi Khas (SOTF).
Pertumbuhan yang besar
Pegawai Waran Master (MWO) Eddie Chua, Ketua Master bagi NDU, mengingati bahawa pada peringkat awal, NDU hanya menjalankan operasi pencarian dan penjagaan kapal (penyelenggaraan am). Namun kini, unit melaksanakan pelbagai jenis operasi termasuk pencegahan keganasan.
Veteran Tentera Laut ini, yang telah berkhidmat selama 34 tahun di NDU, menganggap kejayaan berterusan NDU selama berdekad-dekad adalah berpunca daripada anggota NDU. "NDU kini dapat melaksanakan operasi khas maritim kerana anggotanya sendiri – iaitu tulang belakang NDU."
Bekas anggota berumur 53 tahun ini merupakan sebahagian daripada kelompok anggota perintis penyelam negara sepenuh masa di NDU. Beliau mengibaratkan pengalaman tersebut sebagai suatu percubaan yang membina dasar untuk membolehkan NDU meningkatkan keupayaan sepanjang beberapa dekad.
Salah satu cabaran yang dihadapi pada masa dahulu, ingati beliau, adalah bahawa NDU tidak mempunyai apa-apa pengalaman untuk menjalankan latihan bagi operasi khas. Oleh itu kakitangan NDU dihantar untuk menjalani latihan luar negara seperti Kursus SEAL Tentera Laut Amerika Syarikat, yang dinilai sebagai yang terbaik di dunia.
"Kami memperoleh banyak pengalaman dari sana," kata MWO Chua, yang terus menjadi Anggota Tetap dalam NDU.
Apabila NDU menyertai Formasi Komando untuk membentuk SOTF pada 2009, ini merupakan peristiwa penting bagi Laksamana Muda (RADM) (Bersara) Tan Wee Beng, yang merupakan komander NDU dari 2000 hingga 2003.
SOTF menghimpunkan askar elit daripada NDU dan Formasi Komando untuk menjalankan misi kompleks seperti meneutralkan pengganas dan menyelamat orang tebusan.
Walaupun sebelum SOTF ditubuhkan, NDU telah menjadi pasukan khas maritim bagi Tentera Laut dan SAF selama bertahun-tahun, kata RADM (Bersara) Tan.
Apabila menerangkan sebab NDU dapat menjalankan operasi kompleks, bekas anggota berumur 56 tahun ini berkata: "Ini disebabkan NDU menghasilkan pasukan penyelam tempur yang terlatih untuk mengendalikan senario paling kompleks, mencabar dan kelam-kabut sekali — serta menangani sesuatu yang tidak diketahui dan belum dikenal pasti."
ALSO READ IN MILESTONES
Menyahut seruan untuk mempertahankan Singapura
21 Jan 2026
Upacara Penyerahan Senjata mewakili detik yang penuh bermakna apabila rekrut diamanahkan dengan senapang mereka dan mula memikul beban pertahanan negara.
TENTERA LAUT MELANCARKAN KAPAL TEMPUR PELBAGAI PERANAN PERTAMA
21 Oct 2025
APA YANG ANDA PERLU TAHU MENGENAI CMPB BAHARU
14 Oct 2025
Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB) baharu di Bukit Gombak dibuka secara rasmi pada 14 Okt, mengalu-alukan pra-pendaftar, anggota askar dan orang ramai ke hab sehenti terkini untuk semua perkara Perkhidmatan Negara (NS).

