Finding their bearings amid choppy seas

https://www.defencepioneer.sg/images/default-source/_migrated_my/19dec22_news1-photo1-thumbnail9df02efc-d71d-454f-942d-e9df9a4ca2a5.jpg?sfvrsn=22e75341_2 https://www.defencepioneer.sg/pioneer-articles/SEBUAH-WARISAN-PERKHIDMATAN-NEGARA
https://www.defencepioneer.sg/pioneer-articles/SEBUAH-WARISAN-PERKHIDMATAN-NEGARA
SEBUAH WARISAN PERKHIDMATAN NEGARA
19 Dec 2022 | PEOPLE

SEBUAH WARISAN PERKHIDMATAN NEGARA

MARI BERKENALAN DENGAN KELUARGA CHIN, IAITU SEBUAH KELUARGA TIGA GENERASI YANG BERKHIDMAT SEBAGAI ANGGOTA PERKHIDMATAN NEGARA.

Tiga generasi anggota perkhidmatan negara keluarga Chin: (dari kiri) LTA (NS) Kenneth Chin, Encik Chin Poh Sun dan Encik Chin Kong Weng. Encik Chin Poh Sun sedang memakai replika pakaian seragam Hijau Temasek manakala Encik Chin Kong Weng sedang memakai baju senyawa No.4 Tentera Laut lama.

"Pak see buay zao" ialah cara Encik Chin Poh Sun yang berumur 86 tahun tersebut memerihalkan teman sukarelawannya daripada Angkatan Pertahanan Rakyat (PDF) pada tahun 1960-an.

Ungkapan bahasa Hokkien itu bermakna "anda harus bunuh saya sebelum anda dapat ketepikan saya" dan mewakili ketabahan yang tidak goyah apabila berhadapan dengan kesusahan.

"Sebagai negara baharu, pada masa itu kita lemah dan kurang maju dalam banyak aspek. Kita terpaksa bergantung pada diri sendiri untuk pertahanan. Kita mungkin tidak berpengalaman, tetapi demi negara, kita tidak sanggup menyerah kalah."

Salah satu perintis Perkhidmatan Negara (NS), Encik Chin telah membina warisan dan menginspirasikan perjalanan NS anaknya, Encik Chin Kong Weng, 64, yang berkhidmat sebagai Sarjan Ketiga dalam Angkatan Laut Republik Singapura dan cucunya, Leftenan (LTA) (NS) Kenneth Chin, 35, seorang pegawai infantri.

Encik Chin Poh Sun menyertai PDF, yang dahulunya dikenali sebagai Kor Sukarelawan Singapura, pada 1960-an.

Pak Cik Poh Sun, bagaimana perasaan anda apabila memakai semula pakaian seragam Hijau Temasek setelah sekian lamanya?

Poh Sun: Saya rasa muda semula! (bergelak)

Bagaimana anda menjadi sukarelawan dengan PDF?

Poh Sun: Itu sebenarnya disebabkan oleh Encik Lee Kuan Yew (Perdana Menteri pertama Singapura). Pada masa itu, saya seorang ahli Persatuan Olahraga Chin Woo di Tanjong Pagar, yang merupakan kawasan pengundian Encik Lee. Dia melawat kami suatu hari dan menggalakkan kami untuk menyertai angkatan sukarelawan dan menjalankan kewajipan kami untuk melindungi Singapura. Oleh sebab kami merupakan ahli seni mempertahankan diri dan cergas dari segi jasmani, dia berpendapat bahawa kami sesuai untuk masuk tentera. Jadi, sekumpulan daripada kami menyahut panggilannya dan mendaftar bersama-sama.

Encik Chin Poh Sun (kedua dari kiri) dengan rakan sekelompoknya dalam PDF. Mereka merupakan salah satu kelompok perintis yang membuka jalan untuk NS di Singapura.

Bagaimanakah latihan pada zaman awal?

Poh Sun: Latihan sangat mencabar! Kami melakukan aktiviti seperti menggali parit pelindung, dan kami penuh luka dan lebam. Saya juga terpaksa bertugas sebagai pengurus di Limbungan Kapal Keppel sambil menjalani latihan mingguan. Bahagian yang paling sukar ialah latihan dalam hujan lebat. Kami membawa kelengkapan berat, dan beberapa orang tergelincir dan jatuh. Namun begitu, kami meneruskan juga.

Tetapi pada masa itu kami muda, dan semua kecederaan pasti dapat pulih selepas tidur! Sejak kebelakangan ini, saya tidak boleh berjalan terlalu lama sebelum perlu berehat!

Pak Cik Kong Weng, kami dengar anda juga mempunyai perjalanan NS yang menarik!

Kong Weng: Saya memiliki tali pinggang hitam dalam Taekwondo sebelum masuk tentera pada 1981, jadi saya berkhidmat sebagai jurulatih pertempuran tanpa senjata. Saya melatih askar seperti askar infantri, pengawal dan komando.

Selepas ORD saya (Tarikh Sedia Beroperasi), saya menjadi ketua jurutera sebuah kapal dagang. Oleh sebab saya mempunyai pengalaman kerja dan diploma kejuruteraan marin, apabila saya kembali sebagai Anggota Perkhidmatan Negara Sedia Beroperasi (Nsman), saya ditugaskan kepada Angkatan Laut Republik Singapura untuk mengendalikan kapal sumber sivil. Saya bekerja di atas kapal kargo pukal, menjaga enjin kapal dan memastikan kapal dapat bergerak.

Encik Chin Kong Weng (kedua dari kiri) merupakan jurulatih pertempuran tanpa senjata ketika NS.

Dua peranan itu sangat berlainan! Bagaimanakah kedua-dua pengalaman itu jika dibandingkan?

Kong Weng: Kedua-dua kerjaya memberi saya rasa pencapaian yang berbeza. Sebagai jurulatih pertempuran tanpa senjata, pencapaian terhebat saya adalah menyaksikan orang yang tiada latar belakang seni tersebut lulus ujian Taekwondo dalam masa enam bulan dan belajar mempertahankan diri mereka.

Bagi Angkatan Laut, saya gembira kerana dapat memanfaatkan kemahiran profesional saya untuk mempertahankan negara. Bukan semua orang dapat menjalankan kapal komersial – kami mengambil masa hampir satu dekad untuk mengasah kemahiran tersebut. Peranan itu tidak wujud semasa saya berada dalam NS, dan saya bernasib baik kerana dapat menggunakan kemahiran saya ketika Latihan Di Kem (ICT).

 

Adakah bapa anda mempengaruhi pandangan anda terhadap NS?

Kong Weng: Ya, bapa saya menunjukkan teladan yang sangat baik untuk saya (dengan memilih untuk bersukarela). Dari mula, dia mendidik saya – dan juga sepupu dan anak saudara saya – bahawa ini merupakan perkara yang wajar dilakukan. Apabila saya masuk tentera, nasihatnya kepada saya adalah untuk sentiasa selamat dan berusaha sedaya upaya dalam apa-apa peranan yang diberikan kepada saya. Saya juga telah menurunkan didikan bijak ini kepada anak saya, Kenneth.

Poh Sun: Dia menyaksikan bapanya berkhidmat walaupun sudah sangat tua, jadi dia harus berbuat demikian juga. Mereka (anak dan cucu lelaki saya) tidak perlu dipaksa; mereka tahu itu kewajipan mereka.

Saya memberitahu dia agar berhati-hati dan jalani latihan dengan serius, terutamanya kerana dia akan mengendalikan kelengkapan berbahaya seperti grenad tangan. Kesusahan tersebut boleh diuruskan. Anda hanya perlu fokus pada misi dan anda akan berjaya.

Encik Chin Kong Weng (kedua dari kiri) menjalankan latihan pertempuran tanpa senjata bagi askar pada tahun 1980-an.

Kenneth, anda seorang doktor, tetapi berlainan daripada bapa anda, anda telah memilih untuk meneruskan kerjaya NS anda.

LTA (NS) Kenneth: Saya ditauliahkan sebagai pegawai infantri pada 2010 dan menjadi komander platun, melatih rekrut di Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC) dan kemudiannya dalam Batalion Ke-4, Rejimen Infantri Singapura (4 SIR). Selepas NS sepenuh masa, saya bekerja selama setahun dalam Agensi untuk Sains, Teknologi dan Penyelidikan serta kemudian meneruskan pengajian ijazah perubatan di sekolah perubatan Duke-NUS.

Saya menjangka akan dipanggil kembali untuk berkhidmat sebagai pegawai perubatan, tetapi telah ditugaskan pada 2012 untuk berkhidmat dalam 793 SIR. Saya telah bersama unit tersebut sejak itu dan pada masa ini berkhidmat sebagai Penjaga Kedua Kompeni Charlie.

Bapa saya sentiasa meminta saya agar berusaha sedaya upaya dalam segala-galanya, dan untuk memastikan bahawa anggota yang saya ketuai dapat pulang dengan selamat kepada keluarga mereka. Ini penting terutamanya sebagai komander platun di BMTC dengan rekrut yang dipertanggungjawabkan kepada saya. Saya perlu memastikan saya menghantar mereka pulang kepada keluarga mereka dengan selamat setiap hujung minggu sambil memastikan bahawa mereka dilatih agar mencapai standard yang diperlukan.

LTA (NS) Chin ditauliahkan sebagai pegawai pada 2010. Di sini, bapanya dan ibunya, Puan Jenny Chen, sedang mengenakan epaulet pada pakaian seragamnya.
Kekuatan bergenerasi: LTA (NS) Chin dengan datuknya di perbarisan pentauliahannya.

Mengapakah anda memutuskan untuk kekal sebagai infantri dan tidak bertukar kepada pegawai perubatan?

LTA (NS) Kenneth: NS ialah pengalaman yang sangat unik. Pengalaman ini seolah-olah menyaksikan kitaran hidup di hadapan mata anda: dari sekolah, kepada pekerjaan pertama, kepada perancangan majlis perkahwinan. Kini setelah ada yang menjadi ibu bapa, perbualan beralih kepada lampin dan penjagaan anak. Kita membesar dan semakin tua bersama. Tetapi yang masih kekal ialah keazaman kita untuk berjuang.

Sebagai contoh, di katil tempat tidur, anggota pasukan saya amat santai, tetapi apabila mereka sampai ke lapangan dan menerima misi mereka, mereka berubah dengan serta-merta. Esprit de corps (semangat kekitaan) dan keagresifan ini yang mendorong saya.

LTA (NS) Chin (baris depan, tengah) mengetuai rekrut daripada 4 SIR dalam perbarisan laluan 10km mereka pada 2010.

Saya telah bekerja sebagai doktor selama enam tahun. Pada masa ini, saya seorang Residen Kanan dalam program Radiologi Diagnostik, menjalani latihan untuk menjadi Pakar Radiologi. Sebagai pelatih, saya hanya dibenarkan tidak hadir selama 19 hari bagi setiap tugasan enam bulan, jadi setiap ICT tinggi 10 hari hanya memberi saya sembilan hari cuti perubatan atau cuti rehat. Setakat ini, saya hanya terlepas satu ICT dan ia berlaku ketika tahun pertama saya sebagai doktor siswazah.

Walaupun kita harus membuat pengorbanan, saya rasa NS penuh bermakna. Walaupun unit saya akan bersenang diri tidak lama lagi, saya sedang mempertimbangkan pelanjutan khidmat saya. Saya rasa saya masih dapat banyak menyumbang!

(Dari kiri) Encik Chin Kong Weng dan LTA (NS) Chin membantu Encik Chin Poh Sun untuk memakai pakaian seragam Hijau Temasek.

Kenneth, apakah yang mendorong anda?

LTA (NS) Kenneth: Mendengar kisah NS yang dikongsi oleh datuk dan bapa saya telah banyak menginspirasikan saya. Sebagai generasi seterusnya, saya rasa wajar untuk meneruskan kewajipan melindungi keluarga kami.

Saya ada banyak teladan baik yang boleh diikuti jika melihat bapa dan datuk saya. Sebagai contoh, saya ingat pada satu malam bapa saya dikerahkan untuk bertugas. Dengan serta-merta, dia mengambil begnya dan mengenakan pakaian seragamnya. Kami menaiki kereta dan Ibu memandunya ke Pangkalan Tentera Laut Brani yang lama.

Sebahagian besar pertahanan negara kita bergantung pada NSmen seperti kita, dan saya percaya semua orang mempunyai tanggungjawab melindungi negara kita. Saya berbangga menjalankan kewajipan saya untuk meneruskan warisan perkhidmatan negara demi keluarga dan negara saya.

 

Suggested Reading
Cover story
BAWAAN UDARA!
PEOPLE
19 Dec 2022

Mencapai 10 tahun Disember ini: Kemudahan latihan unik Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) mempersiapkan pelatih untuk menjadi askar bawaan udara yang cekap dan yakin.

SEMUANYA WARISAN KELUARGA
PEOPLE
19 Dec 2022

Anak keempat dalam set kembar lima pertama Singapura, LTA Annabelle Chin Li En membuat perubahan di pertengahan kerjayanya untuk mengikut jejak langkah ibu bapanya dan berkhidmat untuk negara.

Terbang Tinggi dengan Inovasi Pertahanan
PEOPLE
19 Dec 2022

Sebuah UAV hibrid dengan keupayaan penerbangan yang dipertingkatkan dan sistem perisian yang menganalisis data daripada Internet untuk mengesan ancaman keganasan dalam talian – inilah antara projek yang diketengahkan pada majlis anugerah Hadiah Teknologi Pertahanan tahun ini. 

Cover story
TENTERA LAUT SINGAPURA TAMATKAN PERKHIDMATAN KAPAL SELAM KELAS CHALLENGER YANG TERAKHIR
PEOPLE
19 Dec 2022

RSS Conqueror dan RSS Chieftain telah ditamatkan perkhidmatannya hari ini di Pangkalan Tentera Laut Changi, menutup lembaran sejarah lebih dua dekad perkhidmatan kapal selam pertama Singapura.

MENGATASI KEHILANGAN UNTUK BERKHIDMAT DENGAN KUAT
PEOPLE
19 Dec 2022

Kenangan terhadap arwah ibunya menjadi sumber kekuatan terbesar 3SG Reshma a/p Pulanthiradas apabila dia mengatasi cabaran untuk berjaya sebagai Pakar Logistik di dalam Angkatan Bersenjata Singapura SAF.

克服失去亲人的悲伤,坚强的服役
PEOPLE
19 Dec 2022

对已故母亲的记忆成为Reshma d/o Pulanthiradas三级上士最大的力量源泉,她克服了挑战并在新加坡武装部队以一名后勤专业军士的身份毕业。

BERSEDIA UNTUK LATIHAN MELEPASKAN DIRI DARI KAPAL SELAM
PEOPLE
19 Dec 2022

Dapatkan pandangan dalaman bagaimana Tentera Laut melatih kru kapal selamnya dengan teknik kelangsungan hidup, untuk melepaskan diri, sebagai persediaan menghadapi kecemasan.

PEMBELA SIBER MENGHADAPI ANCAMAN BARU DALAM CLOUD DAN AI DALAM LATIHAN KEBANGSAAN
PEOPLE
19 Dec 2022

Latihan Pertahanan Infrastruktur Kritikal (CIDeX) ketiga menghimpunkan pembela siber dari seluruh Singapura untuk menghadapi cabaran ancaman digital yang sentiasa berkembang.

Cover story
SELAMAT DATANG KE KEM TILPAL
PEOPLE
19 Dec 2022

Bagaimanakah anda menempatkan kira-kira 6,000 orang dan memberi mereka makan selama tiga bulan? Anda membina "bandar" pop timbul - lengkap dengan penginapan dan keselesaan asas rumah - untuk beribu-ribu askar SAF yang berlatih setiap tahun di Queensland, Australia.

GRADUAN MAKTAB MARKAS DAN STAF BERSEDIA MENGAMBIL PERANAN KEPIMPINAN KANAN
PEOPLE
19 Dec 2022

Mengimbangi tuntutan keluarga, kerja dan pelajaran adalah sukar, tetapi ia merupakan pengalaman yang memperkayakan bagi kedua-dua MAJ (NS) (Dr) Ramesh Wijaya dan MAJ Muhammad Zacky Bin Razali, yang baru menamatkan pengajian dari Maktab Markas dan Staf Goh Keng Swee.