TECHNOLOGY

SAF MENGUJI KENDERAAN BERAUTONOMI BAGI LOGISTIK DAN PENGANGKUTAN WARGA KERJA DALAM KEM

03 May 2021

Fast and convenient driverless shuttles are on trial in some SAF camps to transport logistical supplies and personnel.

03may21_photo1
Angkatan Bersenjata Singapura sedang menguji penggunaan Kenderaan Berautonomi (AV) untuk mengangkut bekalan logistik dan warga kerja dalam kem tentera. Kenderaan ini dilengkapi dengan lapan sensor LIDAR untuk mengesan halangan.

// BERITA TEO JING TING

// FOTO CHAI SIAN LIANG


English 华文
English 华文

Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menguji penggunaan platform berautonomi untuk mengangkut bekalan logistik dan warga kerja dalam kem tentera. Ujian Kenderaan Berautonomi (AV) telah dilangsungkan di Kem Kranji II dan III, serta Pangkalan Udara Paya Lebar, sejak April tahun ini.

Tentera Darat Singapura dan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) bekerjasama dengan Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA) untuk memanfaatkan teknologi AV komersial yang tersedia untuk membangunkannya bagi operasi logistik dan pengangkutan masa damai.

Di bawah ujian rintis, AV melaksanakan perkhidmatan feri berjadual di sepanjang laluan yang diprogramkan dan perkhidmatan feri atas permintaan di perhentian yang ditentukan dalam kawasan tentera. Ini digabungkan dengan aplikasi mudah alih yang memberi pengguna cara mudah untuk mengakses AV dan untuk pergi ke pelbagai lokasi dalam kawasan kem.

Sistem berautomat ini tidak memerlukan tenaga kerja untuk melaksanakan AV. Ia adalah bentuk pengangkutan yang lebih hijau. Kenderaan berautonomi yang berciri elektrik sepenuhnya dan dikuasai bateri yang dapat dicas semula, tidak melepaskan sebarang buangan karbon.

AV ini boleh membawa sebanyak 10 penumpang yang duduk, termasuk operator keselamatan.

Memanfaatkan teknologi keselamatan dengan serius

Kenderaan Berautonomi dilengkapkan dengan rangkaian ciri keselamatan, termasuk sensor dalam kenderaan untuk pengesanan halangan, butang berhenti kecemasan dan mekanisme penguncian untuk mengukuhkan muatan logistik.

Pengurus Program Kanan (Sistem Tanah) DSTA Collin Chng menjelaskan bahawa setiap AV dikelilingi lapan Sensor Penentuan Jarak Berdasarkan Pengesanan Cahaya (LIDAR) yang membolehkannya mengesan potensi halangan di kawasan sekitarnya.

Ditambah dengan navigasi kinematik masa nyata yang menggunakan Sistem Satelit Navigasi Global, ini mengurangkan ralat sisihan AV kepada sentimeter, memastikan kenderaan tetap berada dalam laluan yang dipraprogramkan.

Sepanjang tempoh percubaan satu tahun, operator keselamatan akan sentiasa berada dalam kenderaan pada bila-bila masa. Apabila AV mengesan halangan, ia akan mengeluarkan bunyian loceng amaran dan mengurangkan kelajuannya secara automatik. Ia akan meneruskan perjalanan hanya apabila halangan itu telah bergerak.

Menurut Encik Chng, "Setiap AV juga ada butang penghenti kecemasan yang terpasang dalam kabin, serta pengawal meluas yang diintegrasikan dalam shuttle untuk membolehkan pembatal manual fungsi berautonomi pada bila-bila masa," kata Encik Chng.

Selain itu, Sistem Pengurusan Kenderaan Berautonomi memberi pengawasan ketat terhadap status bilangan AV dan lokasi semua AV untuk pemantauan dan pengurusan masa nyata. Untuk kecekapan yang lebih mantap, sistem tersebut menggunakan algoritma pengoptimuman dan perancangan laluan untuk meningkatkan kebolehsediaan perkhidmatan.

AV kini digunakan untuk mengangkut bekalan logistik dalam kawasan kem dan pangkalan.

Jimatkan masa, tingkatkan kecekapan

Kenderaan berautonomi yang kini dalam fasa pertama ujiannya, hanya digunakan untuk mengangkut muatan logistik. Ia juga bergerak dengan lebih perlahan dan lazim digunakan pada waktu tidak sibuk oleh pengguna kem untuk membiasakan diri dengan fungsi dan tingkah laku kenderaan.

Pada Jun ini, fasa kedua akan bermula dan anggota tentera boleh menaiki AV untuk berulang-alik ke pelbagai lokasi dalam kem. Ia juga akan bergerak dengan kelajuan yang lebih tinggi dan boleh membawa sebanyak 10 penumpang, termasuk operator keselamatan.

Percubaan awal yang dikendalikan di Kem Kranji adalah menggalakkan. Pakar Ketenteraan (ME) 6 Jason Sim, Ketua Pembangunan Sistem dari Markas Pengangkutan, menjelaskan: "Contohnya, unit di Kem Kranji III boleh memindahkan peralatan mereka ke kawasan latihan di Kem II. Mereka boleh melakukannya dengan menjadualkan perkhidmatan kenderaan atas permintaan, dan ini boleh membantu mengurangkan masa henti."

Katanya lagi, ini juga akan membebaskan tenaga kerja yang diperlukan untuk menguruskan pentadbiran, membolehkan mereka dikerah dengan lebih baik untuk operasi dan sokongan latihan. Aplikasi mudah alih juga akan dibangunkan untuk membolehkan warja kerja mendapatkan perkhidmatan secara ad-hoc.

Dalam fasa kedua, warga kerja juga boleh menggunakan AV untuk bergerak dalam Kem Kranji II dan III. Mereka boleh masuk dari pintu masuk kem, pergi ke hentian yang ditentukan dengan perkhidmatan ulang-alik antara dua kubu, dan juga ke pusat perubatan di Kem Kranji II.

Tempoh satu tahun untuk ujian AV adalah amat penting bagi Angkatan Bersenjata Singapura. Ini akan memberi gambaran tentang operasi dan had kenderaan, dan juga penting untuk menilai keperluan keselamatan dan penyenggaraannya, kata ME6 Sim.

"Ujian ini juga akan memberi kami wawasan untuk membangunkan polisi yang diperlukan untuk mengawal penggunaan (secara meluas) AV dalam kem dan pangkalan SAF."

Kenderaan berautonomi dilengkapkan dengan rangkaian sensor untuk mengesan halangan. Sebaik sahaja halangan dikesan, ia akan bergerak dengan lebih perlahan secara automatik untuk memberi masa kepada halangan tersebut untuk bergerak. Dalam hal ini, halangan tersebut merupakan seorang anggota tentera di lintasan zebra.

Prasarana pintar bagi Tentera Udara Republik Singapura

Ujian AV di Pangkalan Udara Paya Lebar juga berjalan dengan lancar. Memandangkan keluasan pangkalan udaranya, perkhidmatan feri dan penghantaran logistik di kawasan sekitarnya boleh memakan masa hingga satu jam. Dengan adanya AV, operator pengangkutan boleh dibebaskan untuk berfokus pada tugasan operasi yang lain.

RSAF juga sedang melihat untuk menguji sistem Kenderaan-ke-Infrastruktur (V2I) tambahan di persimpangan jalan terpilih di pangkalan udaranya.

Apabila Kenderaaan Berautonomi menghampiri persimpangan jalan, isyarat akan dihantar ke lampu isyarat yang dilengkapi V2I untuk mengutamakan aliran lalu lintas bagi AV, di samping meningkatkan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.

Menjelaskan tentang keperluan untuk sistem V2I, Ketua Sistem Kebolehkendalian Pangkalan Udara dari Jabatan Perancangan Udara ME5 Mario Xie berkata: "Pangkalan udara mempunyai rangkaian yang melibatkan pergerakan warga kerja, kenderaan dan pesawat.

"Di situlah V2I boleh digunakan untuk membantu Kenderaan Berautonomi untuk olah gerak dengan kesedaran yang lebih tinggi tentang para pengguna jalan raya yang lain dalam persekitaran pangkalan udara.” Ujian sistem V2I akan memakan masa dua tahun lagi atas ujian AV sepanjang tahun ini.

Dari kiri: Encik Chng, ME6 Sim dan ME5 Xie berharap hasil ujian satu tahun ini boleh meningkatkan kecekapan bagi SAF.

Menggerakkan alat ganti kapal, secara autonomi

Di Tentera Laut Republik Singapura, rancangan dengan DSTA sedang disediakan untuk menguji penggunaan Pengangkut Muatan Autonomi (ALT). Sistem ini akan memudahkan pergerakan alat ganti di antara anak kapal, gudang tentera laut dan bengkel.

Ujian di Pangkalan Tentera Laut Changi akan membantu mengesahkan pemboleh teknologi yang diperlukan bagi ALT beroperasi dalam kawasan luar pangkalan tentera laut yang rumit, yang terdiri daripada kawasan yang panjang dan terbuka lagi jarang diselang-selikan dengan kawasan air yang besar.

Beginilah gambaran pengurus projek tentang bagaimana sistem ini akan berfungsi: setelah anggota anak kapal membuat permintaan untuk alat ganti kapal dalam aplikasi mudah alih, pesanan tersebut akan dikutip dari gudang dan dibungkus untuk dihantar dalam kotak simpanan.

Selepas itu, ALT akan mengambil kotak simpanan dari gudang dan menghantarnya ke dermaga. Setelah dihantar, aplikasi mudah alih akan memberitahu anak kapal untuk mengutip alat ganti kapal mereka.

Dengan cara ini, ia diharapkan dapat mengurangkan keperluan tenaga kerja untuk pemindahan alat ganti dan meminimumkan masa menunggu semasa alat ganti dihantar dan dikembalikan. Ujian ALT akan dimulakan pada awal tahun depan.

Share this story:

Got a great story to share?
Send it our way — we might feature it!

Share Your Story