TECHNOLOGY

PASUKAN PIMPINAN SAF BERJAYA MENINGKATKAN JANGKA HAYAT PLATELET DARAH TERKUMPUL DARI 1 MINGGU KE 2 TAHUN

20 Oct 2022

Pencapaian teknologi ini menetapkan penanda aras baharu dalam bidang perubatan, membolehkan simpanan stok dan pengangkutan platelet untuk kegunaan kecemasan tentera dan awam.

20oct22_news1_image1.1

// KISAH TEO JING TING

// FOTO CHUA SOON LYE, IHSAN ANGKATAN TENTERA REPUBLIK SINGAPURA & PASUKAN KAJIAN KRIOPRESERVASI PLATELET


Pencapaian teknologi ini menetapkan penanda aras baharu dalam bidang perubatan, membolehkan simpanan stok dan pengangkutan platelet untuk kegunaan kecemasan tentera dan awam.

Dari kiri: MEJ (Dr) Wang bersama Profesor Madya Lu Jia, Pengarah Program (Penjagaan Tempur) dari DSO; Dr Tan Hwee Huang, Penolong Pengarah Kumpulan (Perkhidmatan Klinikal & Pesakit) dari HSA; dan Dr Ang Ai Leen, Perunding Kanan di Jabatan Hematologi dari SGH. Mereka membentuk sebahagian daripada Pasukan Kajian Kriopreservasi Platelet.

Pasukan yang diketuai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) telah berjaya memanjangkan jangka hayat platelet darah terkumpul daripada hanya tujuh hari kepada dua tahun di samping mengekalkan efikasi klinikalnya.

Ini boleh dijalankan dengan adanya kriopreservasi dan kaedah pencairan baharu, yang dibangunkan oleh Pasukan Kajian Kriopreservasi Platelet.

Pasukan itu diketuai oleh Perkhidmatan Perubatan Tentera dengan anggota dari DSO National Laboratories (DSO), Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Hospital Besar Singapura (SGH).

Teknik ini memerlukan kriopreservasi platelet khusus untuk dicampur ke dalam platelet terkumpul; ini membolehkan ia disimpan dengan selamat pada suhu bawah 80 darjah Celsius selama dua tahun.

Apabila diperlukan, platelet beku ini akan dicairkan dan digabungkan dengan plasma untuk membentuk platelet susun ulang sedia untuk ditransfus kepada pesakit.

[Foto Fail] Pengerahan Pasukan Respons Perubatan sedang menjalani latihan dengan kasualti simulasi. [Foto ihsan Angkatan Tentera Singapura]

Rawatan trauma yang lebih baik

Mejar (MAJ) (DR) Jasper Wang menjelaskan bahawa idea itu berpunca daripada kebimbangan dalam merawat kes trauma tentera semasa perang.

"Pendarahan adalah punca utama kematian dalam trauma (kes) dan kami sedar dalam semua rancangan kami (untuk memerangi trauma tentera semasa perang), kami lebih menggunakan sel darah merah.

"Ini adalah kekurangan kerana kami sepatutnya mempunyai komponen darah yang berbeza untuk digunakan dalam pesakit," kata Pegawai Perubatan Formasi berusia 31 tahun dari Markas Komando.

Ini yang mendorong Markas Perkhidmatan Perubatan Tentera untuk berikhtiar memanjangkan jangka hayat platelet.

Pasukan penyelidik darah dari DSO.

Memahami darah

Bagi mereka yang belum tahu, seluruh darah boleh dipisahkan kepada tiga komponen - sel darah merah, plasma dan platelet.

Sel darah merah bertanggungjawab untuk pemindahan oksigen, platelet mengandungi komponen pembekuan darah manakala plasma adalah bahagian cecair darah yang mengandungi komponen penting lain seperti faktor pembekuan.

Setiap komponen darah juga mempunyai jangka hayat yang berbeza. Sel darah merah boleh disimpan sehingga 42 hari apabila disejukkan dan sehingga 10 tahun jika dibeku manakala plasma boleh disimpan sehingga satu tahun apabila dibekukan.

Sebaliknya, platelet hanya boleh disimpan selama tujuh hari pada suhu bilik, yang menjadikannya tidak sesuai untuk simpanan stok.

 

Pasukan Kajian Klinikal dari SGH.

Mencari rakan kongsi

"Di Singapura, 50 hingga 70 beg platelet terkumpul diperlukan setiap hari. Setiap beg mengandungi empat unit derma darah penuh dan ini banyak bergantung pada aliran penderma darah yang konsisten, yang semakin berkurangan memandangkan peningkatan usia penduduk Singapura," kata MEJ (DR) Wang.

Dengan ini, Markas Perkhidmatan Perubatan Tentera menghubungi HSA dan bekerja bersama dengan DSO untuk mereka cipta bentuk kajian tentang bagaimana memanjangkan jangka hayat platelet. Akhirnya, pasukan itu juga mendapatkan bantuan SGH untuk menguji platelet beku dengan selamat pada pesakit tempatan.

Pasukan itu menyediakan platelet kriopreservasi.

Memanfaatkan setiap titisan darah

Proses itu mengambil masa hampir enam tahun daripada pengkonsepan kepada penemuan. Pasukan itu juga menghadapi beberapa cabaran. Umpamanya, platelet tidak mudah untuk mengerjakannya – ia lebih mudah melekat dan perlu kerap digoncang.

Pelbagai ujian perlu dijalankan untuk menentukan jenis 'cryoprotectant' yang tepat untuk memaksimumkan kedayamajuan platelet, sebelum diuji untuk memastikan ia selamat digunakan pada pesakit.

"Di Singapura, populasi kami adalah kecil kami perlu memanfaatkan setiap titisan darah yang diderma," kata MEJ (Dr) Wang.

"Dengan mengguna lebihan platelet terkumpul daripada keseluruhan derma darah, ia membolehkan kami mengguna setiap titisan darah dan membekukan yang tidak diperlukan untuk kegunaan hari kecemasan kelak."

Dr Ng (kiri) menyampaikan DTP kepada MEJ (Dr) Wang (tengah), yang menerimanya bagi pihak Pasukan Kajian Kriopreservasi Platelet. Bersama-sama mereka ialah Ketua Saintis Pertahanan Encik Tan Peng Yam.

Darah pertama

Dengan kejayaan pasukan tersebut, Singapura juga merupakan negara pertama di dunia yang mengguna platelet terkumpul kriopreservasi yang dibentuk semula secara profilaksis pada pesakit dengan kiraan platelet yang rendah untuk mencegah kemunculan penyakit yang berkaitan.

Ini juga bererti dalam suasana tentera, platelet beku boleh diangkut ke unit perubatan di medan lapangan dalam operasi dan misi bantuan kemanusiaan tanpa dihadkan oleh jangka hayatnya. Ini membolehkan pasukan perubatan di medan lapangan untuk mengguna platelet bila masa mereka memerlukannya.

Di peringkat kebangsaan, dengan adanya platelet terkumpul beku ini di tangan memastikan Singapura berdaya tahan menghadapi sebarang perubahan kitaran dalam permintaan dan bekalan darah serta apa-apa krisis penjagaan kesihatan yang mungkin timbul.

Demi mengiktiraf usaha mereka, pasukan itu dianugerahkan Hadiah Teknologi Pertahanan (DTP) daripada Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen pada 20 Okt, di majlis anugerah yang berlangsung di Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA).

Sebanyak dua individu dan lapan pasukan telah dianugerahkan dengan hadiah DTP tahun ini.

Dr Ng (keempat dari kiri) di pameran kriopreservasi platelet selepas majlis anugerah.

Menambah baik tugasan mereka

Pasukan itu juga merancang untuk meninjau cara-cara untuk memanjangkan lagi jangka hayat platelet terkumpul. "Kami mahu melihat sejauh mana kami boleh memanjangkan (jangka hayat) sebelum platelet hilang daya majunya," jelas MEJ (Dr) Wang.  

"Ini membolehkan kami mencari jalan tengah yang baik di antara jangka hayat beku sel darah merah sehingga 10 tahun, serta plasma yang mempunyai jangka hayat beku selama setahun.

"Ini akan memberi kami masa yang lebih lama untuk menyimpan stok platelet dan membolehkan kami menjadi lebih fleksibel dalam cara kami menggunakan platelet yang disimpan."

Share this story:

Got a great story to share?
Send it our way — we might feature it!

Share Your Story