PEOPLE

MENAMPILKAN DIRI SEBAGAI PAKAR KANAN TENTERA

26 Jan 2024

Kenapa mereka membuat perubahan dan menjadi pakar tentera dalam SAF? ME4 Nabilah Atiqah dan ME4 Kishore berkongsi tentang perkara yang menginspirasikan mereka sepanjang perjalanan mereka.

26jan24_news1_photo1

//KISAH JOSHUA DE SOUZA / FOTO CHUA SOON LYE & IHSAN MEREKA YANG DITEMU DUGA


Kenapa mereka membuat perubahan dan menjadi pakar tentera dalam SAF? ME4 Nabilah Atiqah dan ME4 Kishore berkongsi tentang perkara yang menginspirasikan mereka sepanjang perjalanan mereka.

ME4 Nabilah Atiqah (kiri) dan ME4 Kishore merupakan antara 122 personel SAF yang menamatkan pengajian sebagai pakar kanan tentera pada 25 Jan.

Ia bermula di pasir Pantai Changi, di mana seorang anak lelaki dan bapanya melihat sebuah pesawat terbang tinggi di langit dari lapangan terbang yang berhampiran. Anak itu termenung sambil memikirkan bagaimana "mesin sebesar itu boleh terbang begitu tinggi di langit".

Pakar Tentera (ME) 4 Kishore Nicholas Manimohan yang kini sudah dewasa, mendapati pertanyaannya sudah terjawab, dan ia mendorongnya untuk menyertai Tentera Udara Republik Singapura.

Jurutera Tentera Udara berusia 30 tahun itu berdiri dengan bangga semasa Majlis Pelantikan Kanan ME pada 25 Jan sambil bapa dan ibunya mengenakan pangkat baharunya pada pakaian seragamnya. Dia merupakan antara 122 ME kanan baharu dari seluruh empat Perkhidmatan dalam Angkatan Bersenjata Singapura.

ME4 Kishore Bersama-sama ibu bapanya pada perbarisan pentauliahan pegawainya pada 2017.
Beberapa tahun kemudian, ibu bapa ME4 Kishore berasa begitu bangga dengan pencapaiannya semasa mereka mengenakan pangkat ME Kanan pada pakaian seragamnya.

Dari Bionix ke F-16

Seorang pegawai berperisai semasa hari NSF (Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa), ME4 Kishore mengendalikan kenderaan Bionix dan berkhidmat sebagai Panglima Platun OPFOR (Pasukan Penentang).

Askar-askar OPFOR bertempur sebagai "musuh" yang realistik untuk menguji dan mengesahkan unit yang sedang dinilai.

"Dalam setahun, kami ada hampir 40 hingga 50 sesi latihan di medan lapangan. Memori yang paling dihayati ialah masa yang dihabiskan bersama-sama di dalam hutan," kata ME4 Kishore sambil mengenangkan latihan menjerihkan yang diharungi bersama-sama anak buah sebagai sebahagian daripada OPFOR.

Sesudah melengkapkan Perkhidmatan Negara sepenuh masanya, bekas penuntut Kejuruteraan Aeroangkasa di Politeknik Republik itu meneruskan pengajiannya dalam bidang Kejuruteraan Sistem Pesawat di Institut Teknologi Singapura.

ME4 Kishore (kiri) menerima pedangnya daripada Panglima Angkatan Pertahanan Naib Laksamana (VADM) Aaron Beng di Majlis Pelantikan Kanan ME pada 25 Jan.

Pada November 2022, dia kembali untuk menyertai Angkatan Tentera Udara Republik Singapura dan melalui Latihan Tentera Asas dan Sekolah Pegawai Kadet pusingan kedua di bawah Skim Pakar Domain Tentera.

Walau bagaimanapun, dia tidak gentar, dan berasa gembira untuk menyertai rakan sebayanya yang lebih muda sebagai peserta aktif – walaupun dalam modul seperti latihan navigasi di medan lapangan yang telah dikecualikan.

"Saya diberi opsyen untuk tidak melakukannya (kerana saya sudah pun melakukannya sebelum ini), tetapi saya melakukannya bersama-sama mereka...kerana saya ingin membina ikatan hubungan dengan mereka," jelasnya.

Kini sebagai Jurutera Tentera Udara yang mengendalikan jet pejuang F-16, ME4 Kishore tetap berasa teruja untuk mendalami pengetahuannya tentang pesawat – seumpama kanak-kanak yang penuh dengan sifat ingin tahu tentang pesawat yang dilihatnya di Pantai Changi.

"Saya ingin terus memperbaikkan diri saya agar menjadi lebih bagus yang membanggakan ibu bapa saya."

Kakak sulung ME4 Nabilah Atiqah (kanan) dan bapa (kiri), yang memberi inspirasi dan sokongan dalam keputusannya untuk menjadi Pakar Perubatan Tentera, menyematkan epaulet ME Kanan pada pakaian seragamnya.

Dari hospital awam ke perubatan tentera

Bersama-sama ME kanan baharu pada petang itu ialah ME4 Nabilah Atiqah Binte Abdul Radir yang berusia 25 tahun, bapa dan kakak sulungnya datang meraikan pencapaiannya sebagai Pakar Perubatan Tentera dalam Angkatan Tentera Singapura.

"Bapa dan adik-beradik saya memang menyokong (saya menyertai SAF). Mereka mengatakan apa jua hala tuju yang saya pilih, mereka akan menyokong saya," kata ME4 Nabilah Atiqah, anak bongsu daripada empat adik-beradik.

Kakak sulungnya adalah seorang jururawat, yang menginspirasikan ME4 Nabilah Atiqah untuk belajar dalam bidang kejururawatan di universiti. Dia menerima ijazah dari Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) pada 2021, dan mengambil masa setahun selepas tamat pengajian.

ME4 Nabilah Atiqah (kiri) pada 2020 sebagai pelajar kejururawatan NUS semasa latihan.

"Saya tidak begitu pasti apa yang ingin dilakukan sesudah tamat belajar... Saya mahu pekerjaan yang tidak rutin," kata ME4 Nabilah Atiqah.

Perjalanan di hadapan semakin jelas selepas mengetahui alumni kejururawatan ME4 Fadilah Bte Jubir, juga telah menyertai SAF.

"Saya terserampak dengan senior saya, ME4 Fadilah, di laman web sekolah kami. Dia kelihatan anggun dan segak sambil memegang SAR (Raiful Gempur Singapura) 21.

"Saya menimba inspirasi daripadanya dan ingin melakukan sesuatu yang berbeza, untuk keluar dari zon selesa saya dan memajukan diri saya secara peribadi."

ME4 Nabilah Atiqah bersama dengan bapanya yang bangga, semasa perbarisan tamat pengajian Latihan Tentera Asas pada Ogos 2022.
ME4 Nabilah Atiqah (kiri) menerima pedangnya daripada VADM Beng.

ME4 Nabilah Atiqah mengikut jejak langkah seniornya dan mendaftar pada Jun 2022. Latihan dan pendidikan awalnya dalam bidang kejururawatan terbukti penting apabila dia menyertai Kursus Kadet Pegawai Perubatan (MOCC).

Umpamanya, kemahiran seperti menjalankan CPR (resusitasi kardiopulmonari) dan memberi IV (penyisipan intravena) – yang dipelajari semasa pengajian kejururawatannya – juga merupakan teknik yang harus dikuasai oleh medik tentera.

"(Sebagai Pakar Perubatan Tentera,) kami berfokus memperbaik latihan untuk para medik. Saya rasa saya boleh menasihatkan bagaimana untuk memperbaik latihan mereka di medan lapangan," kata ME4 Nabilah Atiqah, yang berharap dapat memanfaatkan pengalaman kejururawatannya.

Peluang-peluang yang disediakan untuk memupuknya sebagai pemimpin semasa MOCC juga telah memantapkan keyakinannya untuk memikul peranan baharu sebagai ME kanan.

"Perkembangan saya dari segi kapasiti mental, membantu memperkuatkan diri saya. Memang, latihannya secara menyeluruh amat menjerihkan tetapi, pada penghujung hari, ia benar-benar membentuk saya sehingga hari ini."

Share this story:

Got a great story to share?
Send it our way — we might feature it!

Share Your Story