TECHNOLOGY

LENGAN PEMERIKSAAN ROBOTIK, LEKAPAN RINGAN CETAKAN 3D MENANG ANUGERAH INOVASI

12 Jul 2023

Inovasi warga MINDEF dan SAF menghasilkan penjimatan lebih daripada 500,000 jam kerja, selain menyumbang kepada SAF yang lebih hijau.

12jul23_news1-thumbnail

KISAH TEO JING TING // FOTO KENNETH LIN & IHSAN TEMU BUAL


Inovasi warga MINDEF dan SAF menghasilkan penjimatan lebih daripada 500,000 jam kerja, selain menyumbang kepada SAF yang lebih hijau.

Dengan SwiftEye (kanan), AFE kini boleh memeriksa tangki bahan api dalaman helikopter CH-47 Chinook tanpa perlu memakai PPE (kiri).

Sebelum ini, pemeriksaan tangki bahan api dalaman helikopter CH-47 Chinook milik Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) merupakan satu proses yang sukar.

Tiga warga kerja dikehendaki memakai peralatan keselamatan mereka termasuk memakai PPE (Peralatan Perlindungan Diri). Kemudiannya, mereka harus merangkak ke dalam tangki bahan api melalui pembukaan kecil dan bekerja dalam ruang terkurung sehingga lapan jam.

AFE kini boleh melakukan pemeriksaan dari luar dengan SwiftEye.

Hari ini, hanya seorang sahaja yang diperlukan untuk menjalankan pemeriksaan. Masa yang diambil untuk berbuat demikian juga telah dikurangkan kepada hanya satu jam –terima kasih kepada SwiftEye.

Inovasi terbaharu oleh 6 Air Engineering and Logistics Group (AELG) ini adalah lengan pemeriksaan robotik yang direka untuk membolehkan Jurutera Tentera Udara (AFE) memeriksa tangki bahan api dalaman helikopter tanpa perlu masuk dalam tangki.

Bingkai pengawal bercetak 3D (dalam oren) memimik lengan pemeriksaan robotik dan AFE dapat mengenalpasti dengan tepat di mana kerosakan itu berdasarkan sudut bingkai pengawal.

Kamera definisi tinggi dan lampu LED dipasang di bahagian hadapan lengan untuk menghantar video ke tablet supaya AFE dapat meneliti apa yang berlaku dalam tangki bahan api dari luar.

Lengan dikawal oleh bingkai pengawal bercetak 3D yang memimik apa yang lengan sedang lakukan. Ini membolehkan AFE mengenal pasti lokasi kerosakan dengan lebih tepat.

ME4 Koh (kiri), ME1 Nicky Lim (tengah), AFE dari 6 AELG, dan ME2 Houston Lee (kanan), AFE dari 816 SQN adalah sebahagian daripada sekumpulan 5 anggota untuk SwiftEye.

Mengguna produk komersial yang dibeli siap dan percetakan 3D, sekumpulan 5 anggota ini mengambil masa hampir enam bulan untuk menghasilkan prototaip, kata Pakar Tentera (ME) 4 Cherlyn Koh, yang menjalankan projek ini sebagai ketua pasukan pada Jun 2021.

"Projek ini melibatkan intergrasi perisian dan perkakasan jadi kami mengambil banyak masa untuk memperhalusi program, mengubah reka bentuk perkakasan bagi mencapai keperluan dan (peringkat) kawalan yang diperlukan," jelas Pegawai Bertugas 816 Skuadron (SQN) yang berusia 26 tahun itu.

"Oleh kerana pemeriksaan (sebelum ini) memerlukan tenaga fizikal dan tenaga manusia yang intensif, saya berasa amat bangga kerana ini telah membantu AFE dalam mengendalikan tugasan mereka dengan lebih efisien, selamat dan mudah."

Dr Ng berucap di majlis penyampaian anugerah.

Semangat untuk berinovasi

SwiftEye adalah salah satu projek yang memberi 6 AELG Anugerah Menteri Pertahanan (MDA) di Simposium Inovasi IGNITE 2023 yang diadakan di Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada 11 Jul.

Berucap di majlis penyampaian anugerah tersebut, Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen memuji penerima anugerah dan semangat inovasi mereka untuk memacu MINDEF dan SAF ke arah hadapan dalam persekitaran yang kian pesat berubah.

"Kami sentiasa memerlukan semangat inovatif daripada golongan lelaki dan wanita dalam organisasi kami untuk menentukan platform dan sistem kami berfungsi dan dioptimumkan untuk menghadapi senario yang berbeza," kata Dr Ng.

Menurut beliau lagi, sikap tidak pernah menerima sesuatu dengan sewenang-wenangnya, dan mengatasi kekangan yang timbul adalah penting untuk menambahbaik kerja seharian serta memenangi pertempuran dan peperangan.

"Kita perlu menyemarakkan semangat inovatif ini dan ia adalah tujuan teras IGNITE. Ia bukan sahaja bagus untuk dimiliki malahan sudah menjadi satu keperluan untuk kejayaan misi."

Lekapan lampu suluh bercetak 3D membolehkan anggota tentera memasang lampu suluh dengan segera tanpa menjejaskan kedudukan menembak mereka.

Operasi pertempuran yang lebih lancar

Bagi Pegawai Waran Kedua (2WO) Denesh S/O Mogan, 36, menghasilkan pelekap lampu suluh bercetak 3D untuk senapang SAR21 merupakan salah satu kemuncak proses inovasinya pada Mac tahun lepas.

Tanpa pelekap, anggota tentera perlu menggerakkan tangan mereka untuk memasang lampu suluh dan ini akan mengusik postur menembak selama beberapa saat semasa operasi.

Dengan pelekap, mereka kini boleh memasang lampu suluh tanpa bergerak daripada kedudukan menembak mereka.

Sebagai ketua projek, 2WO Denesh dan enam anggota kumpulannya mengambil masa hampir enam bulan untuk menghasilkan reka bentuk lekapan lampu suluh.

Kumpulan itu menjalankan tugasan mereka dengan serius dan menguji lekapan dengan tiga batalion. Selepas menerima maklum balas bahawa lekapan itu sering tersangkut dalam tumbuhan memanjat semasa merempuh hutan, pasukan itu mengubah sedikit reka bentuk dan memendekkan sedikit peranti itu.

Kumpulan 7 anggota untuk pemasangan lekapan lampu suluh cetak 3D adalah termasuk Kompeni Perintah Kedua dari Sekolah Kadet Pakar 1WO Patrick Pan (dua dari kanan) dan 2WO Denesh (paling kanan).

Lekapan lampu suluh kini digunakan oleh para Pengawal. Rancangan juga disediakan untuk memuktamadkan prototaip dan melaksanakannya di seluruh Angkatan Tentera Darat.

Semasa ditanya tentang perasaannya diberi pengiktirafan untuk inovasinya, 2WO Denesh, yang kini bertugas sebagai Sarjan Mejar Kompeni Pasukan Kerahan Tentera, berkata: "Walaupun berasa opuas hati atas pencapaian ini, namun inovasi bukanlah mudah.

"Anda sentiasa boleh bermula dengan idea tetapi ada halangan yang perlu ditangani dan anda mesti sedar anda tidak bersendirian. Terdapat banyak saluran dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang boleh membantu anda."

Diperbuat daripada 100 peratus bahan terbiodegradasi, BSAT adalah saiz yang realistik untuk para pelaut mengasah kemahiran senjata api mereka.

Menghijau dengan BSAT

Semasa berkhidmat sebagai pegawai senjata api dalam kapal pemusnah periuk api RSS Kallang milik Tentera Laut Republik Singapura (RSN) pada 2021, Kapten (KPT) Ng Jing Xi dapat menyaksikan bagaimana rakan-rakan pelautnya menyediakan sasaran "tomato pembunuh" di laut untuk tembakan langsung.

Sasaran tomato pembunuh tradisional lazimnya memerlukan empat lelaki untuk membuat persediaan. [foto c/o RSN]

Empat pelaut diperlukan untuk mengembang tomato pembunuh dan masa yang diambil untuk melakukannya adalah hampir 30 minit. Menyediakan sasaran adalah semakin sukar di negeri laut yang bergelora.

Di samping itu, tomato pembunuh PVC menyumbang kepada sisa plastik di lautan selepas setiap tembakan langsung.

Sebagai sebahagian daripada usaha kemampanan RSN, KPT Ng meneroka pilihan untuk sasaran menembak alternatif.

Pegawai Staf Pelan Latihan dan Cawangan Sistem berusia 28 tahun dari Jabatan Latihan Tentera Laut ini menemui sebuah syarikat yang mengendalikan bahan terbiodegradasi dan mengambil keputusan untuk bekerja bersama-sama mereka.

Mereka akhirnya membekalkan prototaip kepada KPT Ng, yang diadaptasikan untuk menepati keperluan penembakan langsung.

Diperbuat daripada bahan mentah kitar semula yang terdiri daripada papan beralun bercetak dakwat larut air dan pelekat berkanji, Sasaran Senjata Kecil Terbiodegradasi (BSAT) boleh terurai dengan sepenuhnya.

Memandangkan ia lebih kecil (1.5m tinggi berbanding tomato pembunuh 3m tinggi) dan lebih ringan, kini ia memerlukan dua anggota tentera untuk memindahkan BSAT dalam masa lima minit sahaja. Saiznya juga menjadikannya sasaran yang realistik bagi pelaut untuk mengasah kecekapan senjata api mereka.

Berikutan kejayaan sesi percubaan 6-bulan merentasi platform RSN yang berbeza pada Mac lalu, BSAT telah dilaksanakan untuk semua tembakan senjata kecil, termasuk pistol dan sistem senjata api sehingga kaliber 25mm.

KPT Ng (kiri) menerima anugerah daripada Panglima Pasukan Pertahanan Naib Laksamana Aaron Beng.

Berani buat

KPT Ng kini sedang mengusahakan sasaran yang lebih besar untuk digunakan dengan senjata api OTO Melara 76mm. Idea beliau adalah untuk menggabungkan empat BSAT dengan mengguna pemasangan modular.

Beliau dihadiahkan anugerah Berani Buat MINDEF atas inovasi dan usaha gigihnya.

"Saya berasa amat besar hati atas penghargaan yang diberi terhadap usaha saya untuk BSAT, dan menyedari ini adalah sasaran yang lain daripada yang lain. Kami berasa gembira kerana orang ramai betul-betul menyokong idea itu… dan apabila ia melibatkan inovasi, mereka menerima dan menggalakkan dengan hati terbuka," kata KPT Ng, yang merupakan ketua projek bagi kumpulan dua-anggota BSAT.

"Kami juga mendapat sokongan daripada panglima formasi kami dan berjaya mendapat penyertaan daripada seluruh RSN dan bukan sahaja daripada formasi kami."

Share this story:

Got a great story to share?
Send it our way — we might feature it!

Share Your Story