LARIAN UNTUK MENGINGATI SAUDARA SEPERJUANGAN SAYA

13feb20_news1_photo1 https://www.defencepioneer.sg/images/default-source/_migrated_my/13feb20_news1_photo1.jpg?sfvrsn=216783af_2 https://www.defencepioneer.sg/pioneer-articles/LARIAN-UNTUK-MENGINGATI-SAUDARA-SEPERJUANGAN-SAYA
https://www.defencepioneer.sg/pioneer-articles/LARIAN-UNTUK-MENGINGATI-SAUDARA-SEPERJUANGAN-SAYA
LARIAN UNTUK MENGINGATI SAUDARA SEPERJUANGAN SAYA
13 Feb 2020 | PEOPLE

LARIAN UNTUK MENGINGATI SAUDARA SEPERJUANGAN SAYA

// BERITA OLEH TEO JING TING

// FOTO OLEH KENNETH LIN & SDE VIDEOGRAPHERS

Selepas kehilangan dua daripada rakan kumpulan penyelam angkatan laut kepada kanser, 2LT (NS) Rohan Mathew Thomas berhasrat mengutip derma untuk anak-anak muda yang sedang bertarung menghadapi penyakit ini dengan mencabar dirinya dalam larian berganti-ganti 6,400km merentasi AS dalam 49 hari.

Sebagai sebahagian daripada latihannya, 2LT (NS) Rohan berlari sejauh 6km ke tempat kerja setiap hari.

Menamatkan larian berganti-ganti 6,400km dalam 49 hari bukan sesuatu yang mudah. Namun ia tidak boleh dibandingkan dengan kepedihan menyaksikan kawan anda bertarung melawan kanser dan akhirnya tewas jua.

Selama dua tahun, kesedihan itulah yang dirasai oleh Leftenan Muda (2LT) (NS) Rohan ketika dia melawat rakan kumpulan Unit Selam Laut Angkatan Tentera Laut (NDU), mendiang Martin Kau, di hospital.

"Martin sentiasa mengadu tentang kesunyiannya kerana ditempatkan di dalam wad pengasingan atau wad yang dipenuhi orang tua, tanpa sesiapa yang boleh berborak dengannya atau yang memahami jiwa mudanya," 2LT (NS) Rohan mengingati semula.

Pada waktu itu, anggota berusia 24 tahun itu sedang belajar di Amerika Syarikat (AS). Itu tidak menghalangnya melawat Martin beberapa sekali seminggu setiap kali dia berada di Singapura.

Walaupun mereka tidak begitu rapat semasa dalam Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa, namun kerana dia kerap melawat, hubungan mereka menjadi semakin rapat.

"Ikatan sebagai saudara kumpulan akan tercipta apabila berada di dalam NDU. Dan apabila seorang yang sama-sama berjuang dengan anda jatuh sakit, ia meninggalkan kesan kepada anda,” kata Panglima Platun daripada Kumpulan Perobohan di Dalam Air di dalam NDU.

Berjuang bersama-sama: Pelatih NDU menjalani cabaran “Terapi Sejuk”, di mana mereka direndam di dalam air ais, semasa Minggu Pembinaan Pasukan. [Fail simpanan]

Tragedi kedua

Selepas kematian Martin pada 2018, 2LT (NS) Rohan secara kebetulan terjumpa Yayasan Ulman, pertubuhan amal yang menyokong anak-anak muda yang menghidap kanser, dan membuat keputusan untuk menyertai larian berganti-ganti Ulman 4K untuk Kanser yang akan berlangsung pada akhir tahun ini. ("4K” bermakna 4,000 batu, iaitu lebih kurang 6,400km)

Terdapat lima pasukan 30 orang yang akan mengambil bahagian tahun ini. Selama tempoh 49 hari, setiap pelari individu akan berlari sejauh lebih kurang 880 km, dan membantu menyebarkan kesedaran tentang anak-anak muda yang sedang bertarung dengan kanser. Mereka juga perlu mengumpul jumlah minimum $4,500 bagi menyokong pesakit muda yang menghidap kanser.

2LT (NS) Rohan semakin tekad dengan keputusannya untuk menyertai program ini apabila berita tentang seorang lagi rakan kumpulannya, Elliot Soh, juga menghidap kanser sampai kepadanya. Elliot meninggal dunia tiga hari selepas berita ini diterima, pada November 2019.

"Elliot memberitahu hanya beberapa orang kawan mengenai penyakitnya dan apabila kami mendapat berita, apa yang disampaikan ialah dia tiada lagi harapan.

"Dia belajar di United Kingdom ketika itu, jadi kami membuat keputusan untuk merekod mesej selamat tinggal untuknya. Tetapi apabila video itu siap diedit, dia telah pun meninggal dunia dan tidak berpeluang menyaksikannya.”

Sebagai pelatih NDU, Prebet Rohan ketika itu (hujung kiri) terpaksa melalui latihan fizikal dan mental yang menjerihkan seperti menahan semburan air sejuk selepas “Terapi Sejuk”. [Fail simpanan]

Bagai di rumah sendiri

Setelah seumur hidup menetap di Indonesia, 2LT (NS) Rohan hanya kembali ke Singapura dua minggu sebelum dia mendaftar pada 2014. NDU seterusnya menjadi rumah sebenar 2LT (NS) Rohan di Singapura, dan unit serta rakan kumpulan menjadi keluarganya.

Selama setahun, mereka membina ikatan persahabatan ketika melalui masa-masa yang sukar berjuang menghadapi penderitaan. Mereka sentiasa mencabar diri agar melepasi keupayaan fizikal mereka, terutamanya semasa Minggu Pembinaan Pasukan NDU (yang lebih dikenali sebagai Minggu Neraka).

"Pada penghujung Minggu Pembinaan Pasukan, pada satu ketika kami melutut di dalam laut sambil menggenggam erat tangan satu sama lain," 2LT (NS) Rohan mengingati semula.

"Kami menggenggam erat tangan satu sama lain bagi membakar semangat berjuang, sambil menjerit dan juga menangis: ia detik yang amat sensitif dan penuh emosi.

"Detik-detik seperti inilah yang saya tidak akan lupai."

Pelatih melutut di dalam laut sambil memegang tangan satu sama lain pada penghujung Minggu Pembinaan Pasukan. [Fail simpanan]

Minat berlari

Berkhidmat di dalam NDU menimbulkan minatnya terhadap sukan berlari.

"Lebih banyak saya berlatih, saya berupaya berlari dengan lebih laju dan menyedari bahawa saya menggemarinya dan boleh melakukannya dengan baik," kata 2LT (NS) Rohan.

Semasa di sekolah pegawai kadet dalam NS sepenuh masa, dia akan berlari 80 kali di sekeliling lapangan perbarisan setiap waktu rehat.

Hari ini, pegawai penyelidik dari Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR) berlari 6km ke tempat kerja setiap hari. Dia juga berlari sejauh 8km lagi semasa waktu makan tengah hari atau lebih kurang 13km selepas kerja jika dia ada kelapangan. Ini tambahan kepada 12 hingga 16km latihan kelajuan dua kali seminggu dan larian hari Ahad sehingga 35km. Setiap minggu, dia akan berlari secara purata 70km.

Walaupun dia secara fizikal bersedia untuk larian berganti-ganti menjelang Jun, dia tahu ia akan mencabar dari segi mental kerana laluannya terdiri daripada pemandangan sama yang membentang jauh. Tetapi latihan di NDU mengajarnya untuk tidak mengalah.

"Saya masih ingat bahawa sebelum Minggu Pembinaan Pasukan, salah seorang daripada pegawai waran ada memberitahu bahawa jika kami melepasi cabaran ini, kami boleh melalui apa sahaja.

"Anda belajar bahawa ia OK untuk berasa tidak selesa, untuk berasa sakit dan untuk terus berjuang. Minda perlu menguasai badan."

Sebagai duta berlari untuk program ini, dia juga akan berhenti di beberapa bandar, membuat khidmat bantuan masyarakat, bekerja dengan hospital kanser, bertemu pesakit dan membantu menyebarkan mesej serta mengumpul sokongan untuk Yayasan Ulman.

"Setiap hari, kami akan mendedikasikan larian kami kepada seseorang dengan menulis nama mereka di belakang kaki atau di pergelangan tangan kami untuk mengingatkan diri kami kenapa dan untuk siapa kami berlari. Ia mungkin kawan-kawan kita dan orang tersayang hinggalah pesakit yang kita jumpa sepanjang perjalanan hidup kita. Jadi ia sungguh bermakna."

2LT (NS) Rohan becadang untuk menyahut cabaran 6,400km larian berganti-ganti pasukan selama 49 hari bagi memperingati dua orang rakan kumpulannya yang tewas kepada kanser.

Menyebarkan kesedaran

Ia juga gerakan yang 2LT (NS) Rohan harap boleh diperkenalkan di Singapura: bahawa terdapat anak-anak muda Singapura yang sedang bertarung dengan kanser dan menghadapi cabaran yang tidak disedari oleh kebanyakan orang.

Contohnya, Yayasan Ulman menawarkan pengkrioawetan bahan genetik pesakit kerana ada kemungkinan kemoterapi boleh merosakkan kesuburan seseorang.

"Ia membina kesedaran bahawa ini adalah sesuatu yang kita perlu fikirkan dan tangani - yang kita boleh pelajari daripada pakar dan membawa mesejnya ke sini."

2LT (NS) Rohan juga menyertai Relay for Life 2020, larian berganti-ganti semalaman 100km yang dianjurkan oleh Persatuan Kanser Singapura pada 15 Feb, bersama-sama dengan pasukan dari A*STAR.

"Inilah caranya saya memulakan hubungan dengan organisasi ini dan saya berharap ia akan menjadi permulaan kepada sesuatu yang akan memperbaiki kehidupan pesakit kanser yang terdiri daripada anak-anak muda."

 

Suggested Reading
Feature
JODOH DICIPTA DALAM SAF
PEOPLE
13 Feb 2020

MAJ Jayaram Venugobalan Naidu dan Kasturibai Athmaram bertukar daripada teman sekolah kepada teman hidup selepas peluang dihantar ke unit yang sama menyebabkan mereka berhubung semula.

Simulasi gangguan bekalan elektrik, serangan pancingan data akan dijalankan sebagai sebahagian daripada latihan Pertahanan Mutlak
PEOPLE
13 Feb 2020

Dalam Latihan SG Ready tahun ini, tumpuan diberikan kepada gangguan kuasa yang disebabkan oleh ancaman siber, mencabar rakyat Singapura untuk berdaya tahan dan bersedia dalam dunia yang semakin digital.

DIA TERJUMPA EMAS (PENYELAM).
PEOPLE
13 Feb 2020

Diilhamkan oleh bapanya yang merupakan anggota NS Komando, 3SG Fong Zheng Wei beralih daripada kegagalan IPPT kepada mencapai Emas Penyelam.

DUA KALI KEKUATAN, GANDAKAN KEBANGGAAN
PEOPLE
13 Feb 2020

3SG Irfan dan 3SG Iryan Hidayat telah menempuh laluan yang hampir sama sepanjang hidup mereka —daripada bersekolah di sekolah yang sama hinggalah mendaftar ke NS dan, kini, menamatkan pengajian sebagai sarjan yang baru dilantik bersama-sama.

Feature
SELEPAS “SELAMA-LAMANYA”
PEOPLE
13 Feb 2020

Daripada kawan baik kepada pasangan kekasih, dan kini ibu bapa kepada dua anak (dengan ketiga dalam perjalanan!): Pasangan tentera CPT Nuraishah dan 3WO Shahibul berkongsi bagaimana cinta mereka masih kukuh.

Feature
SG bersedia untuk gangguan dalam latihan Pertahanan Mutlak di seluruh negara
PEOPLE
13 Feb 2020

Latihan SG Ready kembali untuk edisi kedua, dengan mobilisasi SAF dan fokus pada gangguan kuasa.

Feature
Berlabuh dalam cinta
PEOPLE
13 Feb 2020

Bagi pasangan Tentera Laut ini, cinta bukan hanya tentang gerak isyarat yang hebat. Ia mengenai perkongsian, persefahaman dan mencari kegembiraan dalam detik-detik kecil.

Cover story
PENDAFTAR PERTAMA TAHUN 2025
PEOPLE
13 Feb 2020

Selamat datang ke BMT: Sertai kumpulan pertama pendaftar tahun baru semasa mereka memulakan perjalanan NS mereka di Pulau Tekong

Feature
Kapal tanpa pemandu Tentera Laut meronda perairan S'pura
PEOPLE
13 Feb 2020

Kapal Permukaan Tanpa Pemandu Keselamatan Maritim (USV MARSEC) RSN adalah yang pertama seumpamanya beroperasi secara autonomi di kawasan yang sesak seperti Selat Singapura.

BERKHIDMAT UNTUK TUJUAN YANG LEBIH BAIK
PEOPLE
13 Feb 2020

ME4 Fion Lim Jia Hui dan ME4 Yee Jia Jun kedua-duanya memilih untuk menyahut panggilan untuk berkhidmat dengan cara mereka sendiri – dengan mencurahkan pengetahuan teknikal mereka ke dalam pertahanan Singapura.