MILESTONES

KOMANDO MERANGKUL KEMENANGAN UNIT TEMPUR TERULUNG KALI KE-20 BERTURUT-TURUT

29 Jun 2023

INI ADALAH KEMENANGAN UNIT TEMPUR TERULUNG BATALION PERTAMA KOMANDO YANG KE-37.

29jun23_news1-thumbnail

Story by

Photos by


Juara sepanjang zaman 1 Cdo Bn merupakan Unit Tempur Terulung SAF bagi tahun ke-20 berturut-turut.

Beret Merah telah melakukannya sekali lagi.

Mereka merangkul gelaran Unit Tempur Terulung dalam Pertandingan Unit Terbaik Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) tahunan – mencatat kemenangan kali ke-20 yang berturut-turut.

Pertandingan – yang diperkenalkan pada 1969 – mengiktiraf unit yang gemilang dalam bidang kesediaan tempur, kecekapan operasi dan kecemerlangan pentadbiran.

2WO Ng, RSM 1 CDO Bn, berasa bangga mengecapi kemenangan batalion tersebut.

Kemenangan ini amat signifikan kepada Rejimen Sarjan Mejar (RSM) Pegawai Waran Kedua (2WO) Jonathan Ng, yang menyertai Batalion Komando Pertama (1 Cdo Bn) 20 tahun lalu.

"2003 merupakan tahun pertama kami merampas semula kemenangan Unit Tempur Terbaik dan saya amat berbesar hati menjadi RSM yang mengetuai 1 Cdo Bn dalam memenangi anugerah ke-20 berturut-turut tahun ini," kata pegawai berusia 39 tahun itu.

"Kemenangan ini bukan secara kebetulan, ataupun nasib. Ia adalah berkat latihan progresif dan keazaman yang kuat serta daya tahan anggota tentera kita."

MEJ Tan berhasrat untuk terus mengibarkan bendera Komando setinggi-tingginya dan menjunjung budaya kecemerlangan batalion.

Semangat perjuangan komando

Dilatih untuk beroperasi jauh di dalam wilayah musuh, komando SAF terkenal dengan kemahiran tinggi mereka dalam operasi khusus seperti misi udara, pengintipan dan serbuan.

"Semangat perjuangan dalam setiap Komando lahir daripada dua perkara – persaudaraan dan pemahaman yang jelas tentang tujuannya," kata Mejar Pegawai Pemerintah (MEJ) Tan Rui Lin.

Menurut lelaki berusia 32 tahun itu, batalion tersebut berhasrat menggalakkan setiap komando untuk melakukan yang terbaik agar tidak mengecewakan saudara-saudaranya yang lain. Setiap komando juga jelas tentang tujuan dan misinya – iaitu untuk mempertahankan negara.

"Apabila kami keluar untuk menjalankan misi, beban di belakang kami agak berat. Tetapi ia tidak seberat tanggungjawab yang diamanahkan kepada kami dalam mempertahankan negara."

Pelatih komando menjalani upacara penggenapan X72. [Foto fail: Timothy Sim]

Perbarisan ketabahan

Sudah diketahui umum, Komando mengharungi beberapa latihan paling menjerihkan dalam SAF.

Bagi Koperal Kelas Pertama (CFC) Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) Alagappan Vishalcidambaram, misi X72 merupakan salah satu misi paling sukar pernah dilaluinya.

Misi yang meliputi perbarisan sejauh 72km selama tiga hari dengan rehat yang minimum, perbarisan penting ini memperlihatkan para pelatih melaksanakan tugas pertempuran seperti 'rappelling', merentasi halangan air dan juga memusnahkan pemasangan utama musuh – semuanya di samping menahan keletihan dan stres sepanjang tempoh latihan.

Hanya sesudah selesainya perbarisan mereka, mereka boleh menggelarkan diri mereka sebagai Komando.

Semasa misi X72, pelatih komando berlatih tiga mod sisipan: dengan rappelling, melalui udara, dan melalui bot. [Foto fail: Timothy Sim]

"Ia merupakan satu pengalaman yang amat mencabar dan hampir semua daripada kami tumbang atau rebah dalam satu masa. Tetapi kami tidak pernah berputus asa, kami terus mendorong dan saling memotivasi di antara satu sama lain," kenang Pejuang Komando berusia 20 tahun itu.

"Apabila saya tamat perbarisan dan dihadiahkan beret merah, saya berasa sungguh berpuas hati. Ia adalah salah satu detik kebanggaan saya."

Pelatih komando bersiap sedia untuk melalui ATS, yang menyerupai pengalaman payung terjun yang realistik.

Menurut CFC Vishal juga satu lagi cabaran yang perlu ditanganinya ialah kursus asas di udara, kerana dia berasa gayat.

Syukurlah, dia menjalani latihan progresif di Sistem Jurulatih Udara (ATS) – ini membantunya membina keyakinan supaya dia tahu apa yang harus dilakukan dan dijangkakan apabila tiba masanya untuk melakukan lompatan sebenar.

"Ia merupakan satu pengalaman yang mengerikan lagi menarik untuk melompat keluar dari pesawat dan saya berasa gembira kerana berjaya mengatasi rasa gayat saya. Tenaga pengajar banyak membantu, memujuk dan menggalakkan saya untuk menyahut cabaran ini dan saya amat berterima kasih kepada mereka," kata CFC Vishal.

Seorang pelatih komando melompat dari platform setinggi 11.2m untuk mensimulasikan keadaan sebenar terjun keluar dari pesawat. ATS membolehkan para pelatih menikmati pengalaman latihan penerbangan yang lengkap serta prosedur kecemasan semasa lompatan.

Memupuk hubungan persaudaraan yang kukuh

Bagi rakan Sarjan Ketiga NSF (3SG) Khant Tun, menjadi Komando adalah semata-matanya tentang hubungan persahabatan dan persaudaraan.

Sebagai generasi pertama warga Singapura yang menjalani Perkhidmatan Negara, dia mendapati dirinya dikelilingi keluarga saudara baharu apabila dia menyertai 1 Cdo Bn – saudara yang saling menyokong satu sama lain pada saat suka dan duka.

"Apabila seorang daripada kami menghadapi cabaran atau kesukaran, kami akan cuba membantu dan menggalakkan satu sama lain, dan memastikan dia dapat mengharunginya," kata Ketua Komando yang berusia 20 tahun itu.

Persaudaraan dan keakraban yang terjalin dengan rakan-rakan Komando mendorong NSF CFC Vishal (kiri) dan 3SG Khant Tun untuk menjalani latihan yang ketat.

Ikatan ini juga merupakan sebab 3SG Khant Tun berkata kenangan paling bermakna bagi beliau sebagai Komando adalah semasa menjalani latihan hutan di Brunei.

"Saya bersama-sama rakan sekelompok berada di sana untuk menjalani latihan navigasi dan setiap malam, selepas menaikkan khemah, kami akan bersembang dan membina ikatan teguh antara satu sama lain – kenangan ini akan terpahat dalam fikiran saya buat selama-lamanya."

Seorang pelatih Komando menerima beret merah selepas menamatkan misi X72. [Foto fail: Timothy Sim]

Bendera Komando berkibar megah

Setelah melihat generasi NSF menjalani latihan yang menjerihkan, mencari keyakinan mereka dan membina ikatan persaudaraan yang kukuh adalah sesuatu yang memberi kepuasan kepada 2WO Ng sebagai RSM.

"Apabila saya melihat bagaimana NSF mengubah budak-budak lelaki kepada pemuda dan berinteraksi dengan ibu bapa mereka semasa perbarisan pencapaian, dan (ibu bapa) ucapan terima kasih mereka kepada kami kerana mengubah anak lelaki mereka dan memulangkan mereka dengan selamat, ia membuatkan saya berasa bangga."

Bagi MEJ Tan, apa yang membanggakan beliau ialah bagaimana unit tersebut masih mengekalkan standard kecemerlangannya serta menjunjung tradisi Komando yang diwarisi turun-temurun.

"1 Cdo Bn hari ini berdiri di atas bahu gergasi. Bukan mudah untuk sampai ke sini dan ini adalah sesuatu yang kita tidak boleh memandang remeh," kata MEJ Tan.

"Terpulanglah kepada kita – generasi sekarang –untuk meneruskan budaya kecemerlangan ini dengan mengekalkan amalan terbaik kita dan berusaha untuk menjadi versi diri kita yang lebih baik.

"Kami perlu melakukan yang terbaik untuk diri dan warga emas kita agar terus berusaha dengan gigih, dan mengibarkan bendera kami dengan megahnya."

Share this story:

Got a great story to share?
Send it our way — we might feature it!

Share Your Story