PEOPLE

HADIAH TERBAIK UNTUK ANAK-ANAKNYA

18 Jun 2021

Setelah menempuh kesulitan semasa waktu membesarnya, KOL (NS) Chng Boon Kai bekerja keras supaya anak-anaknya boleh menikmati masa depan yang lebih baik, dan memberi inspirasi kepada anak perempuannya, KPT Eunice Chng untuk menyertai RSAF.

18jun21_photo1cropped
KOL (NS) Chng menyertai Tentera Udara sebagai Regular pada 1986, dan anak perempuannya KPT Chng mengikuti jejaknya 30 tahun kemudian.

// KISAH KOH ENG BENG

// FOTO KENNETH LIN & IHSAN KOL (NS) CHNG & KPT CHNG


English 华文
English 华文

Semasa Kolonel (KOL) (NS) Chng Boon Kai berada di Menengah 3, bapanya diserang penyakit strok yang melumpuhkan sebelah bahagian tubuhnya. Ia memberi tamparan yang hebat kepada keluarga lima beranak, yang sedang susah mencari sara hidup. Peristiwa itu berlaku pada 1983.

Ibunya terpaksa memikul tanggungjawab untuk membesarkannya, dan adik-adik lelaki dan perempuan. Mereka menetap di pangsapuri satu bilik yang disewa.

"Setelah tamat pengajian O-level saya, kami mempertimbangkan sama ada saya harus mendaftar dengan SAF (Angkatan Bersenjata Singapura). Tetapi bapa saudara saya pula menasihatkan, ‘Memandangkan dia tekun belajar (dengan baik), biarlah dia belajar selama dua tahun lagi dan kami akan menilai semula selepas itu," kata KOL (NS) Chng.

KOL (NS) Chng (kanan) semasa kecil bersama dengan adik-adiknya. Beliau belajar dengan tekun dan mula bekerja lebih awal untuk membantu menguruskan pembayaran pendidikan mereka.

Dia menamatkan pengajian A-level di Victoria Junior College sebelum mendaftar untuk Perkhidmatan Negara. Titik perubahan bagi keluarganya datang semasa beliau sedang menjalani Latihan Asas Tentera–dia memperoleh biasiswa dari SAF untuk belajar di Akademi Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) yang berprestij.

"Kami bukan keluarga yang berada– saya mendaftar supaya saya boleh memperoleh ijazah universiti, dan untuk membantu menyara kos pendidikan adik-adik lelaki dan perempuan saya," kata KOL (NS) Chng, yang menjadi juruterbang Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV) dengan Republik Tentera Udara Singapura (RSAF).

KOL (NS) Chng (kanan) bersama rakan lulusan Akademi Tentera Udara AS di majlis tamat pengajian mereka pada 1991.

Masa sukar semasa waktu kecilnya telah membentuk cara beliau mendekati pekerjaan dan kebapaan – dia bekerja keras dan cemerlang dalam karier ketenteraannya, menaiki pangkat sehingga ke peringkat kolonel. Dia juga cermat dengan perbelanjaannya dan menyimpan wang secara tetap.

Alasannya? Supaya anak-anaknya tidak perlu menanggung beban kewangan, dan bebas untuk memilih minat masing-masing bila dewasa kelak.

"Saya telah melalui kesusahan; sebab itu saya akan memastikan kewangan keluarga kami dijaga," kata KOL (NS) Chng. Keluarganya kini menetap di pangsapuri HDB lima bilik di Bedok. Beliau juga mengetepikan wang simpanan untuk persaraannya dan isterinya, dan sebelumnya untuk pendidikan universiti anak-anaknya.

KOL (NS) Chng bersama-sama KPT Chng semasa muda.

Anak perempuannya, Kapten (KPT) Eunice Chng –mengikuti jejaknya untuk menjadi Regular Tentera Udara–bersyukur atas segala kerja keras dan pengorbanannya.

"Saya amat berterima kasih kepada ayah saya kerana menjaga keluarga dengan baik. Saya dapat melakukan apa yang saya minati, yang merupakan suatu hak keistimewaan kerana bagi sesetengah orang, mereka perlu memilih apa yang membahagiakan mereka dan (apa yang boleh) membantu menyara keluarga mereka."

Anggota berusia 27 tahun itu memilih kerjaya dengan RSAF kerana beliau minat dalam bidang penerbangan sejak muda lagi – dia mengendalikan aeromodelling di Singapore Youth Flying Club di sekolah menengah, dan menuntut pengajian kejuruteraan aeroangkasa di Universiti Teknologi Nanyang.

Leftenan Chng yang baharu ditauliahkan (dua dari kiri) bersama (dari kiri) ibunya, adik lelaki dan ayahnya semasa perbarisan pentauliahan pegawai pada 2017.

Setentunya keputusannya dipengaruhi sebanyak sedikit oleh ayahnya yang bertugas dengan angkatan tentera. "Semasa muda, saya sering bertanya-tanya kenapa ayah saya selalu bertugas di luar, dan ibu akan mengatakan, ayah sedang bertugas melindungi negara ini. Justeru, saya membesar dengan set minda bahawa (misi) Tentera Udara adalah suatu tugasan yang amat mulia," kata KPT Chng.

Sebagai Pegawai Perang Udara (Pengurusan Pertempuran Udara) di 200 Skuadron, peranannya adalah untuk mengawasi langit Singapura dan sentiasa bersedia untuk mengarahkan pesawat RSAF dari sebarang potensi ancaman udara.

Kedua-dua ayah dan anak perempuan menaruh minat yang mendalam untuk berkhidmat dengan Tentera Udara.

KOL (NS) Chng, 53, terus berkongsi semangat yang sama untuk Angkatan Udara – beliau telah bersara dari RSAF pada 2013, tetapi terus berkhidmat sebagai Anggota Perkhidmatan Negara yang Sedia Beroperasi (NSman). Beliau kini bertugas sebagai penolong komander di Perintah UAV.

Apabila ditanya apakah keinginannya untuk sambutan Hari Bapa ini, beliau menjawab: "Bagi saya, jika anda membawa anak-anak anda ke dunia ini, anda harus menjaga mereka, mendidik mereka, dan memastikan bahawa mereka gembira (dan) dapat melakukan perkara-perkara yang mereka inginkan. Itulah yang akan saya lakukan, dan kebanyakannya telah pun membuahkan hasil.

"Saya berharap agar anak-anak saya menjadi lebih matang dan melihat dunia menerusi lensa yang betul. Jangan ambil jalan pintas, dan cuba mencapai kejayaan dengan cara yang mudah; ia tidak berbaloi pada akhirnya."

"Ayah, Selamat Hari Bapa! Terima kasih atas segala-gala yang ayah telah lakukan. Ayah telah menjalankan tanggungjawab yang cukup hebat dalam menguruskan keluarga dan membesarkan kami."

Ungkapan KPT Chng kepada ayahnya pada Hari Bapa ini
Share this story:

Got a great story to share?
Send it our way — we might feature it!

Share Your Story