MILESTONES

ANGKATAN LAUT MELANCARKAN KAPAL SELAM KELAS INVINCIBLE YANG KEDUA DAN KETIGA

13 Dec 2022

Dibina di Kiel, Jerman, kapal selam kelas Invincible tersebut direka bentuk secara tersuai untuk operasi di kawasan perairan Singapura yang cetek dan sibuk.

13aug22_news1-herobanner
Kapal selam Angkatan Laut Jenis 218SG, iaitu Illustrious (di latar depan) dan Impeccable telah dilancarkan dalam majlis pada 13 Disember.

LAPORAN OLEH THRINA THAM // FOTO OLEH CHUA SOON LYE


English 华文
English 华文

Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) telah melancarkan kapal selam yang kedua dan ketiga daripada empat buah kapal selam kelas Invincible mereka – Impeccable dan Illustrious – di Kiel, Jerman pada 13 Disember.

Berbanding dengan kapal selam terdahulu, kapal selam kelas Invincible telah dibina secara tersuai sepenuhnya dan dilengkapi keupayaan automasi untuk membantu anak kapal apabila membuat keputusan.

Sebagai contoh, walaupun kapal selam kelas Challenger dan Archer memerlukan pengiraan manual, alat analitis data pada kelas Invincible membolehkan ia menerima maklumat seperti kelajuan kapal yang semakin hampir dan memberi amaran kepada operator tentang kemungkinan pelanggaran.

Kapal selam tersebut juga lebih senyap dan lebih lincah. Ia dilengkapi sistem Pendorongan Tidak Bersandar Udara lanjutan dan pemacu kemudi baharu yang memudahkan navigasi di kawasan perairan Singapura yang lebih cetek dan sibuk.

Sebuah kapal selam kelas Invincible menjalani percubaan laut. Kapal ini direka bentuk secara tersuai untuk operasi di kawasan perairan Singapura yang cetek dan sibuk. [Kredit Foto: RSN]

Kapal Selam kelas Invincible akan memperkukuhkan keupayaan Angkatan Laut untuk melindungi talian komunikasi laut Singapura, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang menjalankan upacara pelancaran dua kapal tersebut.

Beliau menambah bahawa kapal selam tersebut merupakan bukti hubungan pertahanan yang mesra dan semakin berkembang antara Singapura dengan Jerman, menyatakan: "Kerjasama kami dalam keupayaan strategik ini menggarisi perkongsian dan kepercayaan mendalam antara angkatan laut kami dan industri pertahanan kami."

"Saya yakin bahawa hubungan antara Jerman dengan Singapura akan bertumbuh daripada kekuatan kepada kekuatan, dan saya berharap akan terdapat lebih banyak interaksi bermakna antara angkatan tentera kami."

PM Lee menjalankan upacara pelancaran kapal selam tersebut, menyatakan bahawa ia bukti hubungan pertahanan yang mesra dan semakin berkembang antara Singapura dengan Jerman.

Isteri Encik Lee, iaitu Puan Ho Ching, telah melancarkan dua kapal selam yang akan memulakan fasa latihan laut pada tahun seterusnya dan selepas itu dihantar ke Singapura. Pelancaran kapal laut oleh seorang wanita merupakan tradisi laut turun-temurun.

Kapal selam pertama Invincible telah dilancarkan pada 2019, manakala kapal selam keempat dalam kelas yang sama, Inimitable sedang dibina

Upacara tersebut juga dihadiri oleh Menteri Pertahanan Dr. Ng Eng Hen, Menteri Luar Dr. Vivian Balakrishnan, Panglima Tentera Laut Laksamana Muda Aaron Beng RSN dan Ketua Angkatan Laut Jerman Laksamana Madya Jan Christian Kaack.

Isteri Perdana Menteri Lee Hsien Loong, iaitu Puan Ho Ching, melancarkan kapal selam Impeccable dan Illustrious.

Melatih anak kapal yang mahir

Pasukan kapal selam yang hebat akan memberi RSN kehormatan profesional, membantu dalam pembinaan hubungan perkongsian dan menghantar mesej pencegahan, kata Pegawai Pemerintah (Bakal) bagi Impeccable, Leftenan Kolonel (LTC) Phang Chun Chieh.

"Banyak angkatan laut yang gemar menjalankan latihan dengan kapal selam kami kerana kami menyediakan nilai latihan yang tinggi dan kerana kami menunjukkan prestasi baik dalam latihan ini," kata LTC Phang, 37.

Dia dan anak kapal Impeccable serta anak kapal Illustrious telah memulakan latihan di Kiel pada Jun 2021, ketika pelaksanaan langkah Covid-19 yang ketat.

Sementara kapal selam masih sedang dibina, anak kapal tersebut menjalani latihan berkenaan dengan empat sistem pelatih yang mensimulasikan latihan termasuk bertempur di set pertempuran, mengemudi kapal dan menyelenggara kelengkapan kapal.

Tempat tidur kapal selam Jenis 218 SG, seperti direplikasi pada VPT.

Salah satu sistem, Pelatih Prosedur Maya (VPT), mereplikasikan seluruh kapal selam – dengan kesemua 12 juta bahagian – untuk membuat model kapal dan tingkah laku kapal tersebut secara realistik.

"VPT tersebut menempatkan kami dalam persekitaran kapal maya yang membolehkan saya benar-benar melihat, menilai dan mengendalikan injap…Ia memberikan latihan fideliti tinggi bagi cara kami beroperasi dalam persekitaran kami serta cara bergerak balas dalam kecemasan," kata LTC Phang.

Ia juga merupakan ciri latihan yang baharu bagi kapal selam kelas Invincible. Ia akan menyediakan latihan yang lebih berkesan untuk mendidik "anak kapal yang mahir dari segi operasi" dalam perjalanan kapal selam, tambah LTC Phang.

Latihan sedemikian membantu Pakar Tentera (ME) 2 Navinraj A/L Chandra Segran, 29, yang merupakan anggota kapal selam buat kali pertama. Sebelum ini dia telah berkhidmat sebagai Penyelia Sistem Navigasi di atas kapal frigat RSS Formidable.

(Dari kiri) ME2 Navinraj, LTC Phang dan Juragan (Bakal) Impeccable ME3 Marcus Chua telah menjalani latihan di Kiel sejak Jun yang lalu.

Penyelia Sistem Dalam Air (Bakal) untuk Impeccable menyatakan: "Di atas frigat, saya merupakan mata kapal, jadi saya akan menavigasi melalui radar saya. Tetapi dengan kapal selam, saya hanya mempunyai bunyi."

"Jadi, saya harus menggunakan bunyi dan garisan untuk menentukan lokasi kapal saya. Ini hal yang sama – navigasi – tetapi menggunakan sensor yang berbeza sama sekali."

Kapal selam kelas Invincible, walaupun bersaiz lebih besar, akan dikendalikan oleh anak kapal sebanyak 28 orang, sama seperti kapal selam sebelumnya.

Sesudah siap, ia akan menggantikan kapal selam Angkatan Laut pada masa ini, yang telah beroperasi selama lebih dari 20 tahun.

RSN pada masa ini mengendalikan dua kapal selam kelas Challenger dan dua kapal selam kelas Archer, yang diperoleh secara terpakai daripada Sweden dan diubah suai.

 

Share this story:

Got a great story to share?
Send it our way — we might feature it!

Share Your Story