PEOPLE

ANDA DALAM RADAR SAYA

07 Feb 2024

Apakah rahsia yang membolehkan pasangan Anggota Tentera Laut ini kekal teguh dalam hubungan selama 11 tahun, empat orang anak dan tugas kerjaya yang amat berat?

07feb24_news1_photo1
ME2 Ng (kiri) dan KPT Foo (tengah) telah bersama selama 11 tahun dan mereka mempunyai empat orang anak.

// KISAH THRINA THAM / FOTO KENNETH LIN & IHSAN CPT FOO


English 华文
English 华文

Dia tidak pernah bergiat dalam sukan, atau menyukai anjing. Namun apabila KPT Foo menarik hatinya semasa penggal kedua pengajian politeknik, dia bergegas menyertai kelab tenis untuk mengenali KPT Foo.

KPT Foo membela seekor anjing; ME2 Ng takut terhadap haiwan. Jadi dia mula bawa anjing kawannya berjalan-jalan untuk mengatasi rasa takutnya.

Dan apabila pergelangan kaki KPT Foo terpatah dan dia terpaksa berjalan menggunakan topang selama sebulan, Pakar Tentera (ME) 2 Ng Zi Yin lekas meminjam kereta ayahnya dan menawarkan untuk menghantarnya pulang ke rumah.

"Asalnya saya sangka kawan sekelas ini suka menolong. Dia bantu membawa saya ke mana-mana, malah dia juga menghantar saya pulang. Saya sangka itu tanda baik hati," kata Kapten (KPT) Renee Foo.

"Saya lakukan itu dengan niat lain!" kata ME2 Ng sambil tertawa.

Pasangan tersebut bertemu pada penggal kedua pengajian politeknik dan mula bersama setahun kemudian, ketika mereka berdua berumur 20 tahun.

Usahanya membuahkan hasil. Pasangan itu mula rapat dan keluar berjanji temu, seterusnya membuat hubungan mereka rasmi sebulan yang kemudian pada Oktober 2013.

Kini, 11 tahun selepas itu – mereka telah berkahwin selama enam tahun dan dikurniakan empat orang anak. Pasangan ini, kedua-duanya berumur 31 tahun, juga berkhidmat dalam Angkatan Laut Republik Singapura.

Bersama mengharungi lautan berombak

KPT Foo mengetuai Ops Tenaga Manusia Semasa dalam Jabatan Kakitangan Tentera Laut, manakala ME2 Ng ialah seorang Penyelia Sistem Kawalan Senjata di atas kapal misi pesisir iaitu RSS Indomitable.

"Saya rasa sangat mudah saling memahami (kerana pasangan saya berkhidmat dalam Tentera Laut). Saya boleh bercerita tentang kerja, dan dia faham," kata KPT Foo.

Bagi suaminya, faedah terbesar ialah perkongsian pengetahuan antara mereka berdua. "Oleh sebab dia bertugas di HQ (markas), dia mempunyai gambaran yang lebih lengkap tentang sebab kami (di lapangan) perlu melakukan perkara tertentu. Dia berkongsi dengan saya, jadi saya boleh lebih memahami."

Walaupun pasangan ini tidak bertemu dalam angkatan, mereka berdua berpendapat amat membantu apabila pasangan mereka memahami kerja yang mereka lakukan.

KPT Foo telah bertugas sebagai Pegawai Turus di Hab Pasukan Petugas Keselamatan Maritim (MSTF) selama beberapa tahun – di sana, dia benar-benar dapat melihat ME2 Ng pada radarnya.

"Saya bertugas di atas kapal operasi, dan dia tahu lokasi saya 24/7. Saya tidak perlu beritahu pun, dia dapat lihat kapal saya pada radar," katanya.

Namun, bukan semua perkara sentiasa berjalan lancar. Walaupun KPT Foo membuat keputusan untuk tinggal di darat sejak dikurniakan anak, keadaan masih mencabar apabila ME2 Ng dikerahkan untuk tugasan jangka panjang.

Beberapa tahun yang lalu, bayi perempuan berumur dua tahun mereka jatuh sakit dengan demam panas ketika ME2 Ng sedang bertugas di laut sebagai peronda yang melindungi kawasan perairan Singapura.

"Saya bergegas membawa anak saya ke hospital. Dia asyik menangis mencari ayahnya. Saya sarat hamil ketika itu (dengan anak kami yang keempat), dan saya tidak dapat masuk ke bilik sinar X bersama dia," ingati KPT Foo.

"Pada masa itu, saya amat sedih dan menangis juga. Mujurlah, dia sihat menjelang masa ayahnya kembali. Saya tahu dia rasa sangat bersalah."

"Ya, saya banyak rasa bersalah," kata ME2 Ng, dengan agak silu.

ME2 Ng dan KPT Foo di perbarisan tamat pengajian Latihan Asas Tentera mereka, masing-masing pada 2015 dan 2016.

Perkara kecil adalah yang terpenting

Secara keseluruhannya, pasangan ini memanfaatkan sebaik mungkin masa yang mereka ada bersama anak-anak mereka dan menghargai perkara kecil tentang satu sama lain.

Apabila membincangkan perkara paling manis yang isterinya pernah lakukan untuk dia, ME2 Ng mengingati tempoh kira-kira enam bulan semasa dia sibuk dengan audit kapalnya dan menghabiskan sepanjang hari bekerja dari 6 pagi hingga 10 malam.

"Walaupun saya sentiasa pulang amat lewat, dia tidak masuk tidur. Dia berjaga dan memasak makan malam untuk saya," katanya.

KPT Foo dan ME2 Ng dengan dua anak lelaki tertua mereka di acara Navy@Vivo tahun lalu. Pasangan ini sering cuba berkongsi tentang kerja mereka bersama anak mereka.

Bagi KPT Foo, dia menyukai bahawa suaminya masih sentiasa menghantarnya pulang bila-bila dapat berbuat demikian.

"Tidak kira hujan atau panas, sama ada saya di tempat kerja atau hanya di luar, dia akan berkata, 'Tunggu saya, nanti saya datang'."

Malah terdapat masa apabila dia bekerja di Pangkalan Tentera Laut Changi tetapi sanggup memandu merentas pulau untuk mengambil KPT Foo dari Bangunan MINDEF di sebelah barat.

"Dia masih berkeras mahu (menghantar saya pulang). Kadangkala (itu bermakna) saya perlu tunggu lebih lama untuk dia. Namun masa pulang bersama itu penting, iaitu waktu khas untuk kami berkongsi perkembangan satu sama lain," said CPT Foo.

Sekiranya anda ingin tahu, ME2 Ng berhenti main tenis sejurus selepas mereka mula menjadi pasangan; tetapi dia tidak berhenti menunjukkan tanda cinta ini!

"Kami pasangan SAF, sudah tentu kami..." Apakah persamaan antara pasangan tentera?

Share this story:

Got a great story to share?
Send it our way — we might feature it!

Share Your Story