MILESTONES

295 SA ADALAH UNIT ARTILERI NS TERBAIK UNTUK TAHUN KE-2 BERTURUT-TURUT

30 Jun 2023

Kemenangan itu menandakan penamat yang sesuai untuk batalion itu, yang melengkapkan kitaran NS selama 10 tahun mereka tahun ini.

30jun23_news1-thumbnail

//KISAH TEO JING TING / FOTO CHUA SOON LYE & IHSAN 295 SA


Kemenangan itu menandakan penamat yang sesuai untuk batalion itu, yang melengkapkan kitaran NS selama 10 tahun mereka tahun ini.

(Dari kiri) KPL (NS) Aidil, KPT (NS) Jitendra, LTC (NS) Choo dan 2SG (NS) Lim berasa megah dengan kemenangan unit mereka.

Ia menghampiri kemuncak COVID-19 pada 2020.

Anggota tentera Batalion ke-295, Artileri Singapura (295 SA) menjalani latihan di luar negara.

Ia merupakan Latihan Dalam Kem (ICT) ketujuh mereka dan mereka hampir melengkapkan latihan menembak secara langsung. Tiba-tiba mereka mendapat tahu, Singapura telah menaikkan tahap Keadaan Sistem Tindak Balas Wabak Penyakit (DORSCON) kepada jingga dan mereka terpaksa terbang pulang.

Meskipun begitu, mereka berjaya menyelesaikan misi mereka, dan juga mendapat 99.14 peratus ketepatan semasa latihan menembak secara langsung.

"Itulah kemuncak bagi unit kami kerana kami mendapat keputusan yang terbaik pada tahun itu. Tahun ini, kami juga hampir mendapat 100 peratus dalam kemahiran menembak untuk senjata kecil kami," kata Pegawai Pemerintah 295 SA, Leftenan Kolonel (LTC) (NS) Choo Joo Liang.

Memenangi anugerah Unit Artileri NS Terunggul menandakan kesediaan operasi 295 SA serta komitmen tinggi terhadap Perkhidmatan Negara (NS), tambah pegawai berusia 44 tahun itu, yang merupakan pensyarah kanan di Politeknik Temasek.

Batalion itu juga memenangi anugerah itu pada tahun lepas.

"Kami berusaha dengan gigih untuk mencapai standard latihan yang tinggi ini, justeru anugerah ini adalah perangsang besar kepada semangat kami dan ia memupuk semangat yang lebih kuat terhadap apa yang kami lakukan," kata LTC Choo.

Anggota tentera bersiap sedia untuk pengerahan Meriam Howitzer Pegasus Ringan Singapura (SLWH) semasa tembakan langsung di luar negara pada 2020. [Foto: 295 SA]

Menentusahkan kecekapan unit

Latihan tembakan langsung di luar negara itu juga merupakan acara kemuncak kitaran NS Kapten (CPT) (NS) Jitendra Singh.

Ia bukan sahaja menentusahkan kecekapan unit, ia juga memperlihatkan kerja keras dan latihan mereka membuahkan hasil.

"Perkara yang terbaik mengenainya adalah walaupun kami melakukannya dengan bagus dan mencapai objektif misi, keselamatan tidak terjejas. Ini mengesahkan kami sebagai penembak artileri, sebagai askar Artileri Singapura," kata pegawai arah tembakan berusia 35 tahun di Bateri Ibu Pejabat (HQ).

Para penembak dari 295 SA menghalakan SLWH Pegasus ke arah kawasan sasaran semasa latihan. [Foto: 295 SA]

Setiap askar adalah penting

Bagi rakan Anggota Perkhidmatan Negara Sedia Beroperasi Sarjan Kedua (2SG) (NS) Lim Yi Jie, beliau dan pasukannya adalah umpama tulang belakang 295 SA.

Sebagai penyelia logistik di HQ Bateri, beliau menjaga keperluan asas unit – daripada tempat penginapan dan kit medan lapangan sehingga peralatan dan catuan.

"Tugas kami adalah untuk memastikan anda tidak perlu memikirkan tentang kami, kerana kami akan pastikan segala keperluan anda ada di sana," kata pegawai berusia 32 tahun itu, yang bekerja sebagai ejen hartanah di ERA Singapura.

Semasa latihan di luar negara, jarak dari kem pangkalan adalah agak jauh – di mana semua keperluan logistik dan peralatan disimpan – ke tempat di mana sebahagian besar anggota tentera ditempatkan. Ini bererti 2SG (NS) Lim dan pasukannya terpaksa berulang-alik.

"Setiap kali kami melakukan larian bekalan semula seperti membawa mereka minuman sejuk atau juadah manisan, askar-askar tentera akan selalu teruja melihat kami. Ia menyemarakkan semangat mereka dan bagi kami, itu adalah satu pencapaian," kata 2SG (NS) Lim.

"Kami berasa seolah-olah kami membentuk struktur tulang belakang (yang) membantu askar dan memberi mereka ketenangan fikiran untuk melakukan yang terbaik, supaya kami semua dapat mencapai anugerah Unit Artileri NS Terunggul."

Awal Februari ini, 295 SA menjalankan perbarisan berdiri di Marina Barrage. [Foto: 295 SA]

Menghargai talian persaudaraan

Awal Februari ini, 295 SA menjalankan perbarisan berdiri di Marina Barrage.

Perbarisan itu menandakan kejayaan askar-askar melengkapkan kitaran latihan NS Sedia Beroperasi selama sepuluh tahun, dan peralihan rasmi mereka ke Askar Simpanan MINDEF.

Ketika disoal apakah yang paling dirindui tentang ICT, Koperal (CPL) (NS) Aidil Bin Johari segera menjawab: "Ketawanya."

"Sudahpun genap 10 tahun. Setiap kali kami berkumpul bersama, kami berjauhan daripada keluarga dan keakraban ini, kumpulan saudara, inilah semua yang kami ada," jelas penembak berusia 39 tahun dari Alpha Battery.

Dalam tugas hariannya, KPL (NS) Aidil bekerja sebagai juruteknik penerbangan di sebuah syarikat multinasional.

"Tahun berganti tahun, dan kisah-kisahnya juga turut berubah, tetapi setiap kali kami berkumpul, gelak ketawa dan ikatan persaudaraan masih sama – itu yang saya rindu sekali."

Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara 295 SA bersama dengan keluarga dan rakan-rakan mereka semasa perbarisan berdiri. [Foto: 295 SA]

Menyokong Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara

Tentang sokongan majikan, KPT (NS) Jitendra bersyukur kerana bos dan rakan sekerjanya membenarkannya berkhidmat dengan ICTnya dengan tenang.

"Saya sentiasa mengadakan perbualan terbuka dengan bos dan rakan sekerja saya untuk memberitahu mereka dengan baik tentang jadual saya dan di mana tahap tugasan saya.

"Saya juga akan memberitahu mereka terlebih dahulu tentang ICT saya supaya kami boleh merancang lebih awal dan memastikan semuanya berjalan lancar dan cekap semasa saya tiada," kata penasihat pelaburan kanan di Standard Chartered Singapura itu.

Keluarganya juga memahami tujuan Perkhidmatan Negara dan sentiasa meneliti untuk memastikan dia berada dalam keadaan baik setiap kali dia berada di medan lapangan.

"Kasih sayang dan sokongan padu daripada keluarga saya sentiasa ada, semenjak saya menjadi NSF (anggota perkhidmatan negara sepenuh masa), dan saya amat berterima kasih kepada mereka."

Walaupun mereka memanjadi Anggota Simpanan MINDEF, ikatan antara saudara-saudara ini masih kekal kukuh. [Foto: 295 SA]

Menginspirasikan generasi Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara seterusnya

Meskipun 295 SA menandakan berakhirnya kitaran NS 10 tahun mereka, LTC (NS) Choo tidak ragu-ragu semangat positif mereka akan sentiasa membara.

Menyedari 17 Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara telah memutuskan untuk terus berkhidmat selepas kitaran Perkhidmatan Negara mereka, LTC (NS) Choo berkata ia membuktikan anggota tentera ini telah menikmati perjalanan Perkhidmatan Negara yang positif, dan menunjukkan komitmen yang kuat terhadap pertahanan.

"Saya yakin mereka akan terus melakukan yang terbaik, menyumbang secara signifikan kepada Perkhidmatan Negara selain memupuk tenaga positif dan nilai Perkhidmatan Negara yang tepat kepada generasi baharu di bawah bimbingan mereka."

Share this story:

Got a great story to share?
Send it our way — we might feature it!

Share Your Story